Jumaat, 15 Julai 2016

Jimat cermat di London 1948

SUSUNAN SAIFUL HAIZAN HASAM  |  15 Julai 2016 12:07 AM 
Atlet dalam acara trek bersiap sedia di garisan pelepasan dalam Sukan Olimpik London 1948.

APABILA London diumumkan sebagai tuan rumah Olimpik 1948, terdapat perdebatan sama ada temasya itu wajar dianjurkan kerana dua edisi sebelumnya iaitu pada 1940 dan 1944 ia gagal diadakan ekoran Perang Dunia II.
Antara yang dibangkitkan ialah kewajaran menganjurkan festival sedemikian sewaktu banyak negara Eropah mengalami kemusnahan teruk sehingga rakyatnya hampir kebuluran.
Bagaimanapun, melalui pendekatan ‘penyesuaian pasca perang’, ia berjaya dilangsungkan dari 28 Julai hingga 14 Ogos dan muncul antara temasya pa­ling berjaya dan dikenang.
Dengan belanja penganjuran sebanyak 730,000 pound sahaja, Olimpik tersebut diberi jolokan ‘temasya berjimat cermat’ yang menyaksikan tiada kemudahan baharu dibina.
Stadium Wembley yang terselamat dalam peperangan terbukti masih boleh digunakan dan ditingkatkan dengan kemudahan trek sementara.
Bangunan kerajaan pula dimanfaatkan sepenuhnya seperti untuk kegunaan petugas media.
Perkampungan Sukan juga tidak dibina. Atlet lelaki ditempatkan di kem askar di Uxbridge, manakala atlet wanita menginap di asrama Southlands College.
Atlet tuan rumah pula hanya menginap di rumah masing-masing dan berulang alik ke venue pertandingan dengan menaiki pengangkutan awam.
Turut kekurangan ialah bekalan makanan sehingga penganjur menggalakkan negara peserta membawa makanan sendiri bagi mengurangkan beban tuan rumah.
Mana-mana negara berkemampuan disaran menderma makanan kepada negara lain.
Lebihan makanan yang dibawa kemudian didermakan kepada hospital di Britain.
Dalam semangat Olimpik, banyak negara menghulurkan bantuan, umpamanya Denmark yang membekalkan 160,000 biji telur dan Belanda pula menghantar ratusan tan buah-buahan.
Langkah penjimatan turut merangkumi kos penyediaan pingat sehinggakan pingat emas diperbuat daripada perak yang teroksida.
Di sebalik kekurangan itu, terdapat beberapa negara yang membuat kemunculan pertama Sukan Olimpik seperti Burma, (kini Myanmar) Ceylon, Puerto Rico, Syria dan Venezuela.
Jerman dan Jepun pula yang merupakan pihak yang agresif dalam Perang Dunia II tidak dijemput menyertai kejohanan itu, manakala Kesatuan Soviet tidak menghantar wakil walaupun telah diundang.
Temasya itu turut menampilkan inovasi apabila blok bagi membantu pelari pecut memulakan larian mereka diperkenalkan.
Penggunaan Kolam Renang Empire yang boleh memuatkan 8,000 penonton juga mencatatkan sejarah Olimpik sebagai venue acara akuatik pertama yang berlangsung di dalam premis berbumbung.
Memandangkan panjangnya melebihi 50 meter yang menjadi syarat kolam renang Olimpik, penganjur memasang platform kayu di salah satu penghujung­nya untuk memendekkan jarak.
Platform itu digunakan untuk menempatkan para juri dan pegawai pertandingan.
Buat kali pertama juga, acara akuatik berlangsung di dalam kolam renang tertutup, tidak sebagaimana kebiasaan.
Dalam aspek pertandingan, Britain hanya memenangi tiga emas dan menamatkan saingan di tempat ke-12 keseluruhan.
Ini merupakan kali pertama negara tuan rumah gagal menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.
Apapun, warna pingat dan kemasyhuran bukanlah segala-galanya kerana apa yang lebih penting ialah kejayaan London menganjurkan Sukan Olimpik walaupun dihimpit pelbagai kekangan dan serba kekurangan.
-sumber-http://www.utusan.com.my/sukan/jimat-cermat-di-london-1948

1.353619#sthash.o8taqT4K.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan