ARKIB : 18/03/1998
Sumpah Sang Kelembai
BATU tergantung. Batu ini
dipalu dengan batang tepus untuk mendapatkan pinggan mangkuk.
Ketika berjalan mulutnya
merapu-rapu, bukannya kerana mabuk, tetapi sudah menjadi kebiasaannya, apatah
lagi jika ada sesuatu yang tidak kena dengan kerenah manusia. Sama ada sang
kelembai itu manusia atau pari-pari tidaklah pula diketahui dengan jelas.
Orang Melayu sejak zaman dahulu
lagi kenal dengan cerita dongeng Sang Kelembai. Namun tidak pula cerita itu
dibukukan seperti orang barat membukukan cerita-cerita dongeng seperti Robin
Hood yang terkenal di seluruh dunia.
Salahkah orang-orang Melayu
membukukan cerita-cerita rakyat sedemikian? Sungguhpun dianggap dongeng, ada
banyak pengajaran yang boleh diambil daripada cerita tersebut.
Kerana tertarik dengan cerita
Sang Kelembai yang dikatakan pernah berlaku di kampung saya di Lenggung, Perak,
saya mengambil kesempatan baru-baru ini untuk melawat tempat-tempat yang
dikatakan pernah Sang Kelembai hidup berseorangan tanpa suami dan anak.
Menurut orang-orang kampung,
Sang Kelembai bukan jenis manusia. Kalau bukan jenis manusia tentulah tergolong
daripada jenis yang orang kampung saya panggil pari-pari. Saya pun tidak pasti
mengapa dipanggil pari-pari.
Di muka gua Gunung Tasik
berhampiran rumah saya ada batu tergantung yang besar. Menurut orang kampung
batu tersebut mempunyai rahsia tersendiri.
Di zaman antah-berantah di mana
Sang Kelembai memuja batu tersebut dan (ada baiknya juga Sang Kelembai itu)
sesiapa yang hendak meminjam pinggan mangkuk untuk mengadakan majlis kenduri
kahwin bolehlah memukul batu tersebut dengan batang tepus, dan berserulah
beberapa banyak pinggan mangkuk yang hendak dipinjam. Dalam sekejap masa sahaja
keluarlah pinggan mangkuk bertimbun-timbun dari batu tersebut.
Demikianlah baiknya Sang
Kelembai yang dianggap makhluk yang serupa manusia tetapi luar biasa kerana
buah dadanya panjang dan terpaksa disangkutkan di bahu.
Di suatu ketika seorang raja
telah mengahwinkan puteranya di tempat yang bernama Hulu Jepai iaitu berdekatan
dengan beberapa gua yang dijadikan istana.
Selepas kenduri sang raja yang
telah meminjam pinggan mangkuk terlupa hendak memulangkannya sehinggalah
beberapa tahun kemudian sang raja tersebut mengahwinkan pula seorang puterinya
yang jelita.
Sang Kelembai marah dengan
perangai raja yang mementingkan diri sendiri itu dan tidak pula suka menolong
rakyatnya yang ditimpa kesusahan. Dia mengambil keputusan untuk melihat
perayaan perkahwinan yang besar dan banyak menggunakan harta rakyat, lalu
berjalan ke arah istana raja di Hulu Jepai itu.
Orang-orang besar istana lalu
memberitahu raja bahawa Sang Kelembai telah berada di pintu gerbang istana dan
tidak ada sesiapa yang berani menahannya. Raja sangat marah dengan kedatangan
Sang Kelembai yang tidak diundang itu. Tetapi raja lupa bahawa pinggan mangkuk
yang digunakan dalam istiadat perkahwinan itu dipinjam daripada Sang Kelembai
dan tidak dikembalikan semula.
Sang Raja lalu menyuruh
pengawal-pengawalnya menghalau Sang Kelembai dari dalam istana. Sang kelembai
yang selama ini dianggap banyak menolong manusia yang susah tidak dapat menahan
perasaan marahnya, lalu dia terus menyumpah Sang Raja.
Kerana sumpahan itu Sang Raja
dan permaisuri serta seisi istana telah menjadi batu termasuk juga pinggan
mangkuk, segala hidupan, katil, kelambu dan sebagainya.
Itulah sumpah Sang Kelembai
terhadap raja yang mementingkan diri sendiri. Istana raja yang disumpah itu
terkenal hingga sekarang dengan panggilan Gua Puteri.
Semasa saya kecil-kecil dahulu
pernah saya melawat ke dalam gua Puteri bersama rombongan budak sekolah, iaitu
kira-kira pada tahun 1948. Ketika itu saya dapati masih ada arca batu seperti
orang bersanding, ada katil dan kelambu, ada pinggan mangkuk yang berisi ikan,
siput dan sebagainya.
Pada lawatan saya baru-baru ini
semuanya telah musnah. Para pelawat memecah-mecahkan arca-arca tersebut dengan
mengetuknya hingga pecah termasuk batu-batu yang berbentuk manusia bersanding.
Sayang sekali khazanah silam itu kian terhapus oleh perbuatan manusia sendiri.
Ketika keluar dari muka Gua
Puteri itu, saya dengan tiba-tiba terserempak dengan sekumpulan kerbau liar
yang jumlahnya kira-kira 30 ekor. Kerbau-kerbau tersebut lalu menyerbu kami dan
saya serta anak saya Hazrul terpaksa berlari dan memanjat pokok yang
berdekatan.
Oleh: N.A. HALIM
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4DyoyqAdp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan