Rabu, 6 Julai 2016

PERLETAKAN BATU ASAS KOMPLEKS PUSAT ISLAM KUALA LUMPUR 6.7.1973

Pada hari ini dalam tahun 1973, satu upacara meletakkan batu asas Kompleks Pusat Islam telah dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak. Kompleks itu yang terletak berhampiran dengan Masjid Negara, merupakan bangunan yang menjadi lambang perkembangan dan kebangkitan Islam di negara ini. Pembinaan Kompleks itu adalah bertujuan menjadikannya pusat yang akan menempatkan Ibu Pejabat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Belia Malaysia, Pusat Penyelidikan Islam, Institut Dakwah Islamiah dan Institut Pengajian AI-Quran. Perdana Menteri dalam ucapannya, telah menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan supaya satu kajian dibuat untuk memperkemaskan penyusunan jentera Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan semua badan-badan serta institusi-institusi yang terletak di bawahnya. Penyusunan semula itu akan membawa kepada usaha yang lebih teratur dan dinamis untuk perkembangan dan kemajuan agama Islam di negara ini. Di samping itu, Tun Abdul Razak juga menyeru kepada semua golongan umat Islam supaya memperhebatkan lagi gerakan-gerakan memajukan agama Islam terutama gerakan dakwah. Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan supaya sebuah Yayasan Dakwah Islamiah disusun yang akan bertindak sebagai satu jentera pusat bagi menyelaras dan mengembangkan usaha-usaha dakwah Islamiah di seluruh negara.

SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids

Tiada ulasan:

Catat Ulasan