NORAWAZNI YUSOF
15 JULAI 2016
‘Dia meraung
kesakitan kaki putus’ Shamsudin Kadri
KUANTAN –
Walaupun sudah lebih 40 tahun berlalu, peristiwa rakan setugas putus kaki kanan
akibat terpijak jerangkap samar ketika membuat rondaan menjejak pengganas
bersama tentera Thailand pada 1977 masih segar dalam ingatan Sarjan Shamsudin
Kadri.
Pesara tentera
berusia 60 tahun yang pernah berkhidmat dengan Unit Armor Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) itu berkata, ketika kejadian, dia dan mangsa, Zakaria Baba
sedang melakukan rondaan di hutan selatan Thailand ke Ban Cho Wa di selatan
Naratiwat.
Katanya, dia
tidak dapat membayangkan kesakitan dialami sahabatnya karibnya itu dan hingga
kini jeritannya masih terngiang di telinganya.
“Jeritan (sakit)
hingga kini bermain di ingatan saya. Saya tak boleh bayangkan kesakitan
dialaminya,” katanya ketika ditemui di sini.
Mengimbau
kembali peristiwa menyayat hati itu, Shamsudin berkata, pada mulanya dia dan
rakan setugas lain tidak menyedari Zakaria terpijak jerangkap samar kerana leka
menjalankan intipan.
“Waktu itu,
semua rakan lain begitu leka menjalankan intipan sebelum terdengar teriakan
kuat. Saya melihat dia menangis dan meraung apabila kakinya putus.
“Saya faham
keadaan dia pada ketika itu dan terus memeluk serta beri kata-kata semangat
dengan harapan kesakitannya hilang,” katanya.
Menurutnya, dia
boleh merasakan badan Zakaria menggigil menahan kesakitan dan mangsa meminta
supaya betisnya diikat bagi memberhentikan darah sementara menunggu bantuan
perubatan tiba.
Katanya, selepas
hampir sejam menunggu, akhirnya pesawat penyelamat tiba dan membawa Zakaria ke
Hospital Kota Baharu untuk rawatan lanjut.
Shamsudin
berkata, kini rakannya itu berada di Negeri Sembilan tetapi mereka sudah
terputus hubungan.
Jadi lebih
matang, berani
Menyertai misi
ke Thailand pada awal usia 21 tahun menjadikan Shamsudin lebih matang.
Katanya, dia
menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan berani menempuh segala onak
duri setiap kali diarahkan menjalankan operasi atau misi keselamatan.
Menurutnya,
tiada perasaan takut pada waktu itu, sebaliknya perhatian ditumpukan sepenuhnya
kepada misi membanteras pengganas seperti diarahkan.
“Saya tak pernah
gentar dengan apa sahaja misi yang pernah saya sertai, malah ia akan membuatkan
saya lebih matang serta berani berdepan dengan apa jua situasi.
“Bila minat
sudah ada dalam diri, saya sanggup habiskan masa muda saya berada di hutan demi
memastikan keamanan negara,” katanya.
Shamsudin
berkata, isteri dan tujuh anaknya sering ditinggalkan selama berbulan-bulan
setiap kali dia diarahkan menyertai pelbagai misi keselamatan bagi mengawal
sempadan negara dan membanteras komunis
“Tugas kami
bukan saja jaga sempadan tetapi tugas berkaitan teknikal pun kena tahu.
“Saya galakkan
anak-anak muda sekarang supaya menceburi bidang ketenteraan kerana gaji agak
lumayan dan banyak insentif disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Menurutnya,
sepanjang berkhidmat selama 21 tahun, segala keringatnya dicurahkan untuk
membanteras kegiatan komunis ketika itu demi memastikan negara kekal aman
sehingga hari ini.
Sumber-sinar
Harian online 15 JULAI 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan