Jumaat, 22 Julai 2016

Najib akui SPM bocor -- Dua guru , seorang awam ditahan di bawah OSA

ARKIB : 01/01/1998
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Kementerian Pendidikan mengesahkan kebocoran tiga kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini tetapi memutuskan untuk tidak mengadakan semula peperiksaan berkenaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, memandangkan kebocoran Sejarah (Kertas 1), Matematik (Kertas 1) dan Sains (Kertas 2) tidak meluas, pengambilan semula mata pelajaran berkenaan tidak perlu.

''Polis mengesahkan pembocoran kertas soalan itu bersifat setempat iaitu di daerah Klang dan Shah Alam.

''Siasatan polis telah selesai dan mengenal pasti hanya 10 orang calon terdedah kepada kertas yang bocor serta tiga lelaki yang terlibat kini ditahan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA),'' katanya.

Kata beliau, daripada tiga lelaki yang ditahan itu, salah seorang adalah guru yang dilantik sebagai ketua pengawas sebuah pusat peperiksaan di Klang.

Jelas beliau, dua yang lain adalah seorang awam dan guru sebuah pusat tuisyen di Klang, yang dipercayai ketua sindiket pengedaran kertas soalan peperiksaan.

Najib menyatakan demikian pada sidang akhbar khas bagi menjelaskan hasil siasatan polis dan kementeriannya berhubung dakwaan kebocoran kertas soalan SPM tahun ini.

Utusan pada muka depan 12 Disember menyiarkan dakwaan kebocoran kertas-kertas soalan SPM ekoran aduan tiga pelajar Sekolah Menengah Seafield di Subang Jaya.

Ekoran itu, empat pelajar termasuk seorang yang disyaki menjadi orang tengah komplot tersebut ditahan oleh polis pada keesokannya.

Bagaimanapun pada hari yang sama, Najib memberitahu bahawa tiada kesahihan berhubung dakwaan kebocoran itu.

Turut hadir pada sidang akhbar hari ini ialah Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Ramli Yusof; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Matnor Daim dan Pengarah LPM, Datuk Mohd. Nordin Awang Mat.

Najib berkata, keputusan untuk tidak mengadakan semula peperiksaan itu dibuat memandangkan mereka yang disyaki terlibat hanya mempunyai masa yang terhad untuk mengedarkan kertas-kertas soalan terbabit.

Tambah beliau, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mendapati calon yang disyaki terlibat tidak mendapat faedah yang ketara ekoran kebocoran kertas-kertas berkenaan.

Najib turut menjelaskan, kenyataannya pada 12 Disember lalu mengenai kebocoran soalan SPM telah disalahtafsirkan oleh media.

''Pihak kementerian tidak menolak atau menafikan kemungkinan berlaku kebocoran memandangkan siasatan polis masih berjalan.

''Tetapi ada media yang mentafsirkan kenyataan yang saya buat sebagai penafian tentang adanya kebocoran. Ini tidak tepat,'' katanya.

Beliau seterusnya berkata, polis telah memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan bahawa dalam siasatan mereka mendapati ''terdapat bukti wujudnya persepakatan pihak tertentu membocorkan tiga kertas peperiksaan SPM itu.''

Kata beliau lagi, kes tiga lelaki yang ditahan mengikut OSA akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

''Manakala tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap guru sekolah kerajaan itu.

''LPM pula akan mengambil tindakan terhadap 10 pelajar yang disyaki terbabit berdasarkan Peraturan Pentadbiran Peperiksaan dan Undang-undang Kecil Peperiksaan 1966 iaitu keputusan mereka boleh dibatalkan atau menggantung mereka dari mengambil peperiksaan atau kedua-dua sekali,'' katanya.

Ditanya bagaimana kebocoran itu berlaku, Najib berkata, beliau tidak akan mendedahkannya atau cara-cara pengawalan keselamatan diambil.

''Ia seperti Bank Negara yang tidak perlu diketahui dan tidak wajar diketahui,'' katanya.

Namun, jelas beliau, kadar jualan yang didakwa di antara RM1,500 hingga RM5,000 itu agak tinggi daripada harga sebenar yang terlibat.

''Lembaga Peperiksaan akan mengambil langkah dan tindakan susulan bagi mengatasi kelemahan ini, termasuklah memperketatkan langkah keselamatan terutamanya proses pengedaran kertas soalan di peringkat negeri dan daerah serta pusat-pusat peperiksaan,'' katanya.

Ditanya mengenai jaminan yang serupa pernah diberikan oleh Kementerian Pendidikan apabila berlakunya kebocoran soalan SPM pada 1982 dan 1987 tetapi ia masih wujud, Najib berkata, keadaannya adalah berbeza antara satu kes dengan yang lain.

''Kebocoran itu berlainan jenis dan coraknya. Yang diperketatkan ialah di peringkat mencetak dan semasa prosedur menyediakan kertas soalan di ibu pejabat.

''Tetapi kali ini, kebocoran berlaku dalam proses masa yang singkat dalam waktu pengedaran,'' katanya.

Oleh: JOHARDY IBRAHIM

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4FCtQ8m9A © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan