ARKIB : 01/01/1998
Pelaksanaan ini telah
menggambarkan kepada kita betapa pentingnya ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam
bidang teknologi maklumat yang perlu dimiliki oleh setiap guru ke era baru
dalam sistem persekolahan nanti.
Persoalan yang mungkin
tergambar dalam fikiran masing-masing ialah:
* Apakah teknologi maklumat ini
akan mengambil alih peranan guru dalam bilik darjah?
* Apakah komputer ini mempunyai
kemampuan untuk mengendalikan segala perancangan pengajaran kepada pelajar?
* Apakah setiap guru perlu
menjadi pengaturcara komputer untuk merancang perisian pelajaran kepada
pelajar-pelajar?
Perkara-perkara inilah yang
'menakutkan' segolongan daripada guru yang baru hendak berjinak-jinak dengan
komputer, lantas gambaran ini akan menjadikan guru-guru 'lemah semangat' untuk
berhadapan dengan komputer.
Memang kita akui bahawa
komputer sebagai pendekatan yang menggunakan teknologi memainkan peranannya
yang penting dalam pelaksanaan sekolah bestari nanti. Tetapi kita harus sedar
bahawa 'teknologi' bukan bererti menggunakan komputer sahaja. Seperti salah
satu media yang lain, ia mempunyai ciri-cirinya tersendiri termasuklah kekuatan
dan kelemahan serta kesesuaiannya pada satu-satu tahap pembelajaran.
Richard E. Clark & Gavriel
Salomon (1986), dalam penulisan mereka berjudul Media in Teaching mengatakan
bahawa ''... pemilihan media dalam pengajaran perlulah juga diberi perhatian
bukan sahaja dari segi ciri-cirinya sahaja, tetapi harus melihat bagaimana
ciri-ciri ini dapat disesuaikan dengan proses kognitif yang berlaku pada
pelajar tersebut...,''
Dari huraian yang dibuat oleh
kedua-dua penulis di atas, maka kita dapat membuat interpretasi bahawa
pengetahuan tentang penggunaan komputer sahaja tidak menjamin peningkatan
proses pembelajaran di sekolah. Media yang digunakan harus mampu menyelesaikan setiap
masalah yang timbul dalam proses yang berlaku sewaktu seseorang pelajar itu
memproses maklumat. Ia harus mampu mengembangkan daya kognitif pelajar.
Oleh itu, setiap guru harus
mahir mengekploitasikan segala bentuk media untuk digunakan dalam proses
pengajaran pembelajaran. Guru juga harus inovatif dalam menggunakan pelbagai
media dengan secara lebih kreatif. Penggunaan komputer bukan hanya terhad untuk
digunakan dengan perisian yang sedia ada, tetapi harus dianggap sebagai alat
yang mempunyai potensi untuk memudahkan penghasilan media lain secara lebih
kreatif dan inovatif.
Jika pada satu ketika dahulu
guru menghasilkan bahan transparensi dengan hanya menulis 'risalah-risalah,
tetapi dengan perkembangan teknologi maklumat, komputer dapat digunakan untuk
menghasilkan bahan transparensi ini dengan lebih mudah. Komputer juga dapat
digunakan untuk menghasilkan grafik atau teks untuk diintegrasikan dengan
penghasilan video.
Walaupun sekolah bestari
mementingkan teknologi dalam kurikulumnya, tetapi guru harus melihatnya dengan
lebih luas. Teknologi bukan bererti menggunakan hanya komputer sahaja, tetapi
segala bentuk media yang boleh membantu pelajar memperolehi maklumat dengan
lebih mudah.
Kedudukan guru dalam sekolah
bestari adalah penting. Mereka bukan sahaja menjadi pemudahcara sahaja, tetapi
sebagai seorang pembimbing yang utama dalam proses pembelajaran.
Galakan menggunakan teknologi
dalam proses pembelajaran ini bukanlah satu agenda baru dalam bidang
pendidikan, tetapi boleh saya katakan sebagai satu kesinambungan pada keperluan
yang ada dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah (KBSM) yang lalu.
Kita masih ingat pada satu
ketika bagaimana peritnya usaha yang dilakukan oleh pihak Bahagian Teknologi
Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan dalam mempromosi penggunaan media di
sekolah-sekolah. Pusat Sumber Sekolah (PSS), Pusat Sumber Daerah (zon) (PSDZ)
dan Pusat Kegiatan Guru (PKG) telah ditubuhkan ke arah melaksanakan tugas ini.
Apakah dengan munculnya teknologi
baru ini, bahan-bahan yang sedia ada akan hanya dijadikan sebagai bahan pameran
sahaja? Sebagai kesimpulannya, sekolah bestari dari aspek penggunaan
teknologinya harus dilihat dengan lebih luas. Perkembangan dan penggunaan
komputer merupakan salah satu agenda yang penting bagi negara, tetapi ia harus
juga dapat dijadikan sebagai satu alat yang dapat menghasilkan pelbagai media
yang lain dengan lebih mudah.
Akhirnya, apakah tiga persoalan
yang dikemukakan di atas telah terjawab? Persoalan ini mungkin boleh dijadikan
satu refleksi terhadap tugas dan tanggungjawab kita dalam profesion perguruan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_07.htm#ixzz4FCujUaOd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan