PERDANA MENTERI MEMBENTANGKAN
RANCANGAN MALAYSIA KETIGA DI PARLIMEN
Pada hari ini 19.07.1976,
Perdana Menteri Datuk Hussein Onn telah membentangkan usul Rancangan Malaysia
Ketiga (RMK 3) Peringkat kedua dalam perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di
Parlimen. Ketika bangun membacakan usul itu Datuk Hussein Onn antara lain
berkata bahawa keupayaan dan pencapaian usaha yang dilaksanakan dalam peringkat
pertama DEB melalui RMK 2 menggalakkan Kerajaan meneruskan usaha mencapai
tujuan penting terhadap perpaduan negara melalui pembasmian kemiskinan tanpa
mengira kaum, dan penyusunan semula masyarakat Malaysia serta berusaha
memperkukuhkan lagi keselamatan negara. RMK 3 dibentuk dengan mengambil
perhitungan pengalaman yang diperolehi dari usaha memajukan pembangunan ekonomi
dan sosial, dengan menentukan tempoh pembangunan di samping keupayaan ekonomi
kita yang sedang berkembang mengambil kesempatan dari keadaan perdagangan dunia
yang bertambah baik. Selaras dengan usaha-usaha memperbaiki daya pengeluaran
golongan yang miskin di kawasan pertanian, tanah baru akan dibuka dan dimajukan
sebagai kawasan penempatan yang dapat memberikan peluang pekerjaan yang
produktif kepada mereka yang tidak bertanah atau mempunyai bidang tanah yang
tidak ekonomik. Di samping itu pembangunan di negeri-negeri Perlis, Kedah,
Kelantan, Terengganu, Melaka, Sabah dan Sarawak akan diutamakan bagi
mengurangkan jurang perbezaan ekonomi di kalangan negeri-negeri. Kerajaan juga
akan berusaha menambahkan peruntukan hak milik modal saham syarikat bagi
orang-orang Melayu dan kaum bumiputera lain. Sehubungan dengan ini satu tabung
pelaburan bumiputera akan ditubuhkan bagi membantu bumiputera yang terhad
pendapatannya. Tujuan dasar RMK 3 untuk memberi faedah kepada semua golongan di
mana program mengurangkan kemiskinan memberi faedah kepada semua rakyat miskin
dari semua kaum. Sementara itu program penyusunan semula disusun untuk
memperbaiki dengan lebih progresif dan serentak keadaan sosio ekonomi semua
golongan masyarakat dalam semua sektor di mana mereka berada sekarang. Malah
program yang dirangka khusus untuk orang-orang Melayu dan kaum bumiputera lain
akan menghasilkan faedah kepada kaum-kaum yang lain kerana mereka juga turut
serta dalam perlaksanaan semua projek ini dengan sentiasa berurusan dengan
agensi kerajaan, orang-orang Melayu dan kaum bumiputera lainnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan