ARKIB : 01/01/2004
Retrospektif Lat - Menelusuri
empat dekat seni kartun
Oleh LUQMAN HAKIM
Salah satu siri Kampung Boy -
Yesterday & Today yang di pamerkan dalam retrospektif lat di balai seni
lukis negara, kuala lumpur.
DALAM perkembangan seni di
Malaysia, kartun mempunyai signifikan dan impaknya tersendiri dalam konteks
kehidupan sezaman. Ia melepasi tanggapan sebagai suatu yang tidak memiliki
kejiwaan, malah menjadi medan pengucapan yang begitu kuat nuansanya.
Lantaran itu persoalan bakat
yang dimiliki oleh seorang kartunis tidak pernah menjadi persoalan, sebaliknya
sejauh manakah kemampuannya memberikan tafsiran dan pemikiran kepada
persekitaran manusia dan kehidupan.
Kelebihan yang dimiliki oleh
kartun terletak kepada kekuatan simplisitinya dalam mengangkat persoalan yang
dianggap besar dan penting, malah begitu halus dan tajam sehingga upaya menjana
suatu tanggapan dan pemahaman.
Meneliti karya-karya yang
dihasilkan oleh Datuk Mohd. Nor Khalid dalam penglibatannya hampir empat dekad
dalam seni kartun, ia bukan sekadar memperkatakan suatu kelangsungan ruang
masa.
Jangka masa yang panjang itu
memperlihatkan suatu perkembangan tersendiri kepada dunia kreativiti kartunis,
pada masa yang sama perkembangan manusia dan persekitaran yang menjadi rempah
ratus seninya itu.
Kartunis yang lebih dikenali
dengan nama Lat ini berjaya menghantar suatu lagi catatan dalam nuansanya
sendiri ketika memperkatakan manusia dan realiti sosial, ekonomi, politik dan
budaya.
Kekuatan karya beliau terletak
pada kekuatan tarikan visual melalui kesan dan gaya stroke yang menjadi
alirannya, yang turut dikuatkan dengan kekuatan subjek atau isu pilihan yang
sering menyentuh nurani, sama ada berbentuk satira yang tajam sindirannya, atau
suatu lelucon yang menghiburkan.
Disokong oleh teks yang ringkas
dan padat, tetapi berupaya menyalurkan makna yang tekal secara jelas kepada
visual kartun-kartun Lat menggambarkan kehidupan Malaysia dan senario
antarabangsa.
Kehidupan Malaysia beliau
adalah kejayaannya memberikan warna sebenar kepada realiti seperti latar
masyarakat yang majmuk dengan pelbagai adat resam dan budaya yang menjadi unik
dan menarik dalam seni kartunnya.
Karya-karya seperti At a Sikh
Wedding, A Hakka Wedding dan The Story of a Perak Wedding merupakan suatu
dokumentasi budaya dan adat resam Malaysia yang dilengkapkan teks sebagai
rujukan untuk menguatkan lagi nuansa visualnya.
Seni kartun beliau memaparkan
daya sensiviti yang tinggi tentang kepelbagaian dan ragam kehidupan pelbagai
kaum, agama dan kepercayaan.
Daripada kesibukan
membeli-belah dalam Selamat Hari Raya Aidilfitri, Chinese New Year in KL dan In
Deepavali Mood membawa kepada kartun yang memperkatakan permasalahan seperti
lepak, bahan-bahan lucah dan persoalan jati diri.
Di sebalik hampir empat dekad
meneladani seni kartun, Lat sebenarnya tidak memiliki batas ruang masa dan zaman
dalam karya, lantaran ia turut meneroka fakta-fakta sejarah dan zaman.
Biarpun fakta-fakta sejarah
yang beliau terjemahkan ke dalam seni kartun merupakan suatu yang tidak asing
bagi kebanyakan rakyat, ia tetap menarik dan memberikan kekuatannya sendiri.
Lat's story of Perak misalnya
memaparkan bagaimana kedatangan penjajah dan campur tangan Inggeris di Perak
suatu ketika dulu.
Ia menjadi menarik apabila
memperkatakan meja bulat buatan tukang kayu bernama Ismail yang pernah di
gunakan untuk menandatangani Perjanjian Pangkor pada 1874 kini masih tersimpan
dan dijaga rapi di muzium negara.
Demikian juga perihal
kedatangan dan kemakmuran getah sebagai sumber ekonomi di Tanah Melayu diakhiri
dengan kartun yang menunjukkan keadaan ladang-ladang getah terbiar dipenuhi
semak-samun.
Sumbangan dan peranan Lat
kepada seni kartun di negara ini begitu signifikan lantaran kejayaannya
mencetuskan suatu aliran tersendiri dan produktivitinya dalam berkarya.
Beliau tampil dengan membawa
ruang pemikiran kepada seni kartun kepada tahap yang lebih tinggi dalam
masyarakat dan negara.
Pameran Retrospektif Lat yang
dirasmikan oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr. A Samad Said kini berlangsung di
Balai Seni Lukis Negara hingga 28 Februari ini. Sebanyak 200 keping hasil karya
oleh Lat yang mendokumentasikan kekayaan budaya dan cara hidup masyarakat
Malaysia dari 1964 hingga 2003 sedang dipamerkan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm#ixzz4DsETECyl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan