Jumaat, 29 Julai 2016

P. Ramlee...kekayaannya tidak disingkap

ARKIB : 01/04/1998
Pada 22 Mac lalu adalah ulang tahun kelahiran seniman tersohor, P. Ramlee. Dan kalau hayatnya masih ada, P. Ramlee telah berusia 70 tahun. Tahun ini juga masyarakat pelbagai kaum dan darjat telah suku abad kehilangan seniman yang disifatkan sebagai milik rakyat ini.

Pelbagai gelaran diberikan kepada P. Ramlee termasuk seniman agung dan Tan Sri; gelaran paling tinggi yang pernah dimiliki oleh seniman negara ini.

Sekalipun telah suku abad meninggal dunia tetapi poskad P. Ramlee tentang isu sosial seperti dalam Antara Dua Darjat, Penarik Beca, Semerah Padi atau trilogi Bujang Lapuk terus ditatap oleh generasi hari ini.

Bagi kebanyakkan orang, P. Ramlee adalah seniman besar yang pernah dilahirkan oleh dunia kepulauan Melayu ini. Beliau menguasai semua bidang dalam seni; berlakon, menyanyi, berlawak mengarah dan mencipta lagu.

Bakat P. Ramlee memang luar biasa dan sukar dimiliki oleh seniman lain kalau mengambilkira penguasaannya dan penerimaan masyarakat terhadap karya filem dan muziknya.

Baru-baru ini sempena memperingati hari lahir P. Ramlee ada dianjurkan persembahan Pandanglah Lihatlah. Antara isi kandungan persembahan itu ialah memperagakan pakaian P. Ramlee dan Saloma serta menyanyikan lagu-lagu P. Ramlee.

Majlis seperti ini bukannya tidak boleh dianjurkan sebagai memperingati P. Ramlee tetapi sewajarnya ada acara lain yang lebih mengenengahkan atau membongkarkan pemikiran luar biasa P. Ramlee.

Karya-karya P. Ramlee adalah milik masyarakat dan P. Ramlee perlu diketengahkan sebagai seniman yang menjadikan zaman kegemilanganya di Jalan Ampas sebagai ruang untuk mengubah pemikiran masyarakat.

Sejak 25 tahun lalu hingga kini nampaknya belum ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk memartabatkan P. Ramlee sebagai seniman besar setaraf dengan khazanah seni yang ditinggalkan.

Lebih malang lagi bagi sesetengah pihak isu royalti karya P. Ramlee lebih penting daripada menyelongkar ''kekayaan'' dalam karya-karya P. Ramlee. Isu royati P. Ramlee boleh diselesaikan dengan saluran yang betul dan itu bukan isu masyarakat.

Malanglah bagi P. Ramlee kalau khazanah yang ditinggalkan tidak ditelaah oleh generasi anak cucunya. Bagi seniman sehebat dan dihormati seperti P. Ramlee, nilai karyanya bukan terletak kepada royalti kerana itu bukan isu sejagat.

Banyak orang terlupa bahawa P. Ramlee dalam konteks kita adalah John Wayne atau Orson Welles. Dan di mana-mana tempat di dunia tidak mempunyai banyak manusia seperti P. Ramlee. Kerana itu masyarakat dan negara wajar berbangga memiliki P. Ramlee.

Berbangga sahaja tidak ada membawa karya P. Ramlee ke martabat sewajarnya kalau tidak dirangsang ke arah membuat kajian yang menyeluruh ke atas seniman ini. Bayangkan setelah suku abad P. Ramlee meninggal dunia, belum ada usaha ke arah apresiasi untuk melihat P. Ramlee dalam konteks cinema dunia.

Saban tahun, P. Ramlee hanya dilihat daripada sudut yang membangkitkan nostalgia. Sedangkan tidak semua orang mempunyai nostalgia itu sekalipun mereka terpegun dengan sinikal Bujang Lapuk kritikan tajam dalam Antara Dua Darjat. Atas alasan itu, P. Ramlee perlu dilihat secara retrospektif.

Masyarakat tidak perlu merasa tersinggung kalau ada kalangan generasi muda yang melihat P. Ramlee daripada sudut pandangan yang agak provokatif. Barangkali masyarakat juga perlu realistik kalau ada generasi muda menganggap P. Ramlee mendahului pengagum Marxist atau sosialis mengecam golongan bangsawan.

Ada sesetengah pula menganggap, P. Ramlee bertanggungjawab menjadikan orang Melayu berjiwa kecil. Lihat sahaja imej manusia kaya yang digambarkan dalam filem P. Ramlee, mereka semua berpekerti buruk, tamak dan penindas yang tidak berperikemanusiaan.

Kekayaan bagi orang Melayu adalah suatu yang negatif malah boleh menjadikan seseorang itu menjadi seburuk Haji Bakhil dalam filem P. Ramlee.

Benarkah kesan daripada ketaksuban terhadap filem-filem P. Ramlee menjadikan orang Melayu kecil dan kerdil jiwa mereka? Ini kerana yang baik pekerti dan budinya adalah yang miskin melarat dan papa seperti watak lakonan P. Ramlee dalam filem-filemnya. Benarkah?

Sewajarnya ada apresiasi tentang P. Ramlee yang membuka atau mengupas tanggapan seperti ini tanpa sebarang segan silu. Kalau tangapan ini tidak benar, apa pula yang sebenarnya?

Apakah P. Ramlee berfahaman sosialis apabila melihat semua golongan bangsawan atau orang kaya sebagai musuh nombor satunya? Semua ini menuntut pengkajian yang menyeluruh tentang P. Ramlee. Karya P. Ramlee harus dilihat sebagai arkib yang merakamkan pengaruh seniman dalam budaya popular pada zaman awalnya.

Tentunya ia tidak ada terjawap kalau sekadar persembahan dan artis generasi hari ini memakai kaca mata hitam imej Panca Sitara atau sketsa filem komedi P. Ramlee. Sebagai seniman besar, P. Ramlee perlu dilihat dengan pemikiran yang lebih besar daripada isu remeh yang mengaibkan P. Ramlee.

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_02.htm#ixzz4FqL7kvPS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan