Isnin, 25 Julai 2016

Halim dapat 'beraksi' di Piala Dunia

ARKIB : 04/02/1998
'SYUKUR Alhamdulillah'. Itulah luahan pertama Halim Abdul Hamid, 35, yang tidak menjangka mendapat 'hadiah' Hari Raya paling sukar dilupakan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila dipilih sebagai penolong pengadil untuk Piala Dunia di Perancis dari 10 Jun hingga 12 Julai ini, SAADON JAAFAR melaporkan.

Pemilihannya ke kejohanan itu membuka lembaran sejarah baru arena bola sepak negara kerana menjadi rakyat Malaysia pertama memikul tugas itu, serta wakil tunggal negara.

Halim yang berasal dari Mata Air, Perlis mula menjadi pengadil sejak 1990 selepas meninggalkan skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beraksi pada Liga Semi-Pro dari 1986 hingga 1990.

''Saya memang terkejut dan rasa macam tak percaya apabila dihubungi oleh pegawai FAM pagi tadi yang memberitahu saya akan menjadi penolong pengadil Piala Dunia.

''Apa yang saya harapkan kini, pihak atasan ATM dapat memberikan pelepasan kerana saya kini masih dalam kursus pegawai yang dijangka tamat pada Jun ini,'' katanya.

Menurutnya, walaupun tugas itu nampak mudah namun memerlukan ketelitian bagi menjamin mutu pengadilan yang memuaskan, serta sering berdepan masalah peminat liar.

''Pernah berlaku pada Kejohanan Kemerdekaan Bangladesh, saya dijemput menjadi pengadil pertemuan Kelab Mohamadan dan Kelab Abu Hani yang mencetus rusuhan.

''Saya terpaksa melayangkan kad merah kepada salah seorang pemain yang jelas melakukan kekasaran, tetapi peminat pasukan tersebut tidak boleh menerimanya dan mula memberontak,'' katanya.

Katanya lagi, pada perlawanan itu yang turut melibatkan persaingan politik antara penyokong Khalida Zia dari Kelab Mohamadan dan Shaikh Hasina yang diwakili penyokong Kelab Abu Hani memaksa polis mengawal ketat stadium.

''Penyokong kedua-dua pasukan mula bergaduh sesama sendiri dan rusuhan terus merebak yang mengakibatkan kira-kira 150 orang cedera parah.

''Itulah antara pengalaman yang paling sukar saya lupakan kerana saya terpaksa dikawal ketat untuk menjamin keselamatan oleh polis apabila keluar dari padang,'' tambahnya.

Beliau yang pernah bermain di posisi sayap kiri bersama ATM berkata, tempoh yang panjang ketika di Perancis, serta nasihat badan induk pengadilan FIFA tidak mengizinkannya membawa keluarga ke negara Eropah itu.

''Sebagai pengadil kami sememangnya tidak digalakkan membawa keluarga dan mereka memahami tugas saya ini.

Halim pernah mengadili beberapa perlawanan penting dalam dan luar negara, termasuk Kejohanan Bola Sepak Belia Piala Dunia 1997, serta Kejohanan Piala Kebangsaan Afrika Selatan pada 1995.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FUgJileV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan