Rabu, 20 Julai 2016

PEMBUKAAN JALAN ROMPIN-GEMAS DI NEGERI SEMBILAN 20 Julai 1956

Kemudahan prasarana yang disediakan terutama jalanraya bukan sahaja berkaitan dengan kemudahan asas tetapi juga sebahagian usaha menghapus kegiatan pengganas Komunis dari 1948-1960. Antara pembinaan jalan yang disediakan membawa maksud di atas ialah pembinaan Jalan Rompin-Gemas, Negeri Sembilan. Pada hari ini 20 Julai 1956, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan pembukaan Jalan Rompin-Gemas di Negeri Sembilan. Turut hadir di upacara tersebut ialah Menteri Kerja Raya, Pos, Telekom, Encik Sardon Haji Jubir. Jalan baru Rompin-Gemas telah menghubungkan secara terus Gemas dan Rompin yang jarak sejauh 14.8 kilometer. Jalan ini telah dibina dengan belanja lebih daripada RM1 juta. Ianya disiapkan dalam masa 17 bulan dengan kerjasama pihak awam dan tentera. Dengan adanya jalan ini, akan dapat memberi kemudahan pergerakan kepada pasukan keselamatan membersihkan beberapa kawasan di Negeri Sembilan daripada kegiatan pengganas Komunis. Pembinaan jalan ini sekaligus merupakan serampang dua mata kerajaan berkaitan dengan kemudahan asas kepada rakyat serta menyediakan jalan untuk pergerakan pasukan angkatan tentera untuk menghapus kegiatan pengganas komunis dengan lebih pantas lagi.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/hids

Tiada ulasan:

Catat Ulasan