PENDUDUK kampung menunjukkan
perigi didakwa dibina Hang Tuah.
Mohd Firdaus Ibrahim dan
Syazwan Msar
am@hmetro.com.my
Pattani (Thailand): Dakwaan
kewujudan perigi ataupun telaga Laksamana Hang Tuah di Kampung Krisik, di sini,
bukanlah sekadar mempunyai elemen sejarah sebaliknya simbol kebanggaan buat
penduduk tempatan.
Mana tidaknya, telaga berkenaan
dikatakan wujud selepas ‘orang kuat’ kerajaan Melayu Melaka itu didakwa
dimalukan pemerintah kerajaan Melayu Islam Pattani Darussalam ketika itu iaitu
Raja Hijau disebabkan sikap sombongnya.
Berdasarkan cerita penduduk
tempatan yang juga Pengerusi Bunga Raya Group untuk Pendidikan Pattani Hassan
Mohd Toha berkata, telaga berkenaan digali Hang Tuah selepas dia tidak
diberikan sebarang makanan mahupun minuman oleh Raja Hijau iaitu pemerintah
wanita Kerajaan Pattani.
Menjelaskan lanjut, Hassan
mendakwa Hang Tuah yang dihantar Sultan Mahmud untuk melakukan kunjungan ke
Kerajaan Ayuthia singgah di Pattani bersama rombongannya pada 15 Zulhijjah
1387.
“Sebaik tiba di istana
pemerintah, Hang Tuah mengatakan Kerajaan Melaka lebih kuat berbanding negara
ini (Kerajaan Pattani) selepas melihat ia (negara) diperintah oleh seorang
wanita.
“Tersentak dengan kenyataan
itu, Raja Hijau dilaporkan turun dari takhtanya dan bersilat bersama 300
pengawal istananya yang juga kebanyakannya adalah wanita. Ketika itu barulah
Hang Tuah sedar bahawa Kerajaan Pattani juga mempunyai kekuatan sendiri.
“Jadi, Hang Tuah mengakui
dengan kekuatan berkenaan, maka wujudnya kata-kata popular ‘Takkan Melayu
Hilang di Dunia’,” katanya.
Hassan berkata, disebabkan
sikap sombong Hang Tuah, Raja Hijau tidak memberi layanan istimewa kepadanya.
“Jadi, Hang Tuah dan
rombongannya terpaksa menggali telaga untuk mendapatkan minuman,” katanya.
Wartawan yang turut ke
perkampungan berkenaan mendapati telaga yang dikatakan digali Hang Tuah
terletak tidak jauh daripada bekas tapak Kerajaan Pattani.
Disebabkan pembangunan jalan
raya, penduduk dikatakan menambah binaan di atas perigi berkenaan bagi
memeliharanya.
Selain kisah popular itu,
wartawan turut dimaklumkan seorang warga emas mahu dikenali sebagai Hashim, 74,
yang juga penduduk kampung berkenaan bahawa, Hang Tuah menggali perigi
berkenaan adalah disebabkan faktor keselamatan kerana bimbang diracun.
“Hang Tuah seorang yang
mempunyai banyak musuh dan dicemburui semua pihak atas ketokohan serta
kejayaannya, jadi bagi menjaga keselamatan diri dan rombongannya, mereka
menggali telaga ini,” katanya kepada wartawan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Rohaidah
Kamaruddin ketika dihubungi Harian Metro berkata, pihaknya sudah ke kawasan
berkenaan tahun lalu bagi melakukan kajian termasuk menemu bual penduduk dan
pengkaji sejarah di negara berkenaan.
“Perigi itu memang wujud cuma
bukti nyata masih belum ditemui. Disebabkan itu, kita masih menganggap ia
adalah cerita rakyat namun kajian lanjut masih diteruskan bagi membuktikan
kehadiran laksamana berkenaan di bumi Pattani.
“Sehingga kini, tiada bukti
sahih seperti monumen, catatan sejarah mahupun manuskrip yang mengesahkan
kehadiran pahlawan Melayu itu.
“Usaha kita masih diteruskan
bagi merungkai sejarah Pattani dan pahlawan Melayu itu kerana dipercayai banyak
urusan dilakukan dengan Hang Tuah menjadi sebagai orang perantaraan antara dua
kerajaan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 10:02 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan