Isnin, 4 Julai 2016

'Amanah ini sangat berat'

 
Noor Huda (kiri) dan Nenney Shuhaidah saling mengucapkan tahniah selepas menerima watikah pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.
Norrasyidah Arshad
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: “Amanah ini (sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah) sangat berat walaupun ia satu ‘lorong’ yang baik untuk wanita. Saya akan cuba menjadikan kerjaya ini sebagai satu perkara yang sentiasa dipandang positif,” kata hakim wanita pertama Mahkamah Tinggi Syariah di negara ini, Nenney Shuhaidah Shamsuddin, 41.

Selain Nenney Shuhaidah, seorang lagi pegawai undang-undang Noor Huda Roslan, 40, turut dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di negara ini.

Kedua-duanya menganggap pelantikan mereka sebagai satu peluang meletakkan wanita setaraf dengan kedudukan lelaki.

Nenney Shuhaidah berkata, pelantikan itu amanah berat walaupun ia baik untuk golongan wanita.

Berikutan itu, beliau dan Noor Huda akan cuba menjadikan kerjaya baru itu sentiasa dipandang positif dan bersikap amanah dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

“Kami yakin, selepas ini (pelantikan wanita), akan ada negeri lain yang turut melantik wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya selepas menerima watikah pelantikan berkenaan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.

Pelantikan berkenaan berkuat kuasa semalam selaras dengan Subseksyen 58(1) dan Seksyen 59(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Noor Huda berkata, mereka hanya menjadi hakim dalam kes membabitkan takzir (Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah) saja dan tidak membabitkan perihal berkenaan hudud dan kisas.

“Jantina seorang hakim itu tidak penting sebaliknya penguasaan hukum syarak serta undang-undang lebih utama,” katanya.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan melantik adinda baginda, Tengku Sulaiman Shah sebagai Tengku Laksamana Selangor.

Gelaran itu sebelum ini disandang Almarhum Tengku Badli Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj yang mangkat pada 1 Jun 1988.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 9:09 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan