Isnin, 4 Julai 2016

Masjid Jamek Alam Shah dibuka selepas naik taraf


 
Masjid Jamek Alam Shah, Kuala Lumpur yang berusia 66 tahun kini berwajah baharu.
BERNAMA
Kuala Lumpur: Masjid Jamek Alam Shah yang berusia 66 tahun kini dibuka semula dengan wajah baharu selepas kerja menaik taraf sejak tiga tahun lalu selesai.

Terletak di persimpangan Jalan Tun Razak dan Jalan Pasar, masjid ini dibina pada 1950, menjadikannya antara yang tertua di Kuala Lumpur.

Pengerusi masjid, Syed Amru Syed Abdullah berkata, kedudukannya di lokasi strategik di tepi persimpangan jalan utama membuatkan masjid itu sering dikunjungi umat Islam yang melalui kawasan itu selain mereka yang berada di sekitar kawasan Cheras.

“Kerja menaik taraf bermula pada 1 Januari 2013 berikutan jumlah jemaah semakin meningkat dan struktur bangunan uzur. Masjid ini kembali dibuka pada 27 Mei lalu,” katanya.

Menceritakan sejarah awal pembinaan masjid, beliau berkata, tapak asal masjid itu kawasan hutan dan ia diterokai secara berperingkat selepas perang dunia kedua.

Syed Amru berkata, cadangan mendirikan masjid dilakukan pada 1948 dan kerja pembinaan mula dilaksanakan pada 1950 dan siap dengan rasminya pada 23 Mac 1951.

Nama ‘Masjid Jamek Alam Shah’ diberi sempena nama Yang di-Pertuan Agong Kedua Sultan Hisamuddin Alam Shah yang berkenan merasmikan masjid dan kekal sehingga ke hari ini.

Jelasnya, masjid dua tingkat itu sekali lagi melalui fasa penambahbaikan dengan peruntukan RM15 juta sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Sebelum ini, Masjid Jamek Alam Shah dibina semula dan diperbesarkan pada 1985 namun ada jemaah yang menunaikan solat Jumaat di luar bangunan berikutan kunjungan jemaah yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, masjid itu kini mampu memuatkan 3,000 jemaah pada satu-satu masa dan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk ruang parkir bawah tanah lebih selesa, dewan serbaguna untuk majlis perkahwinan dan kedai jualan yang dijangka beroperasi selepas Syawal. -BERNAMA.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 9:57 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan