Rabu, 27 Julai 2016

Mara tubuh universiti -- Bagi melengkapkan peranan mendidik bumiputera

ARKIB : 04/03/1998
KUALA LUMPUR 3 Mac - Majlis Amanah Rakyat (Mara) bercadang menubuhkan universitinya sendiri untuk melengkapkan sistem pendidikan Mara dan menampung keperluan pendidikan negara.

Pengerusi Mara, Datuk Othman Abdul berkata, universiti yang mungkin dikenali sebagai Universiti Mara atau ringkasnya UniMara adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara.

Katanya, kertas cadangan penubuhan universiti itu akan diketengahkan pada mesyuarat Majlis Mara pada 24 Mac nanti sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan seterusnya kepada Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, dengan keupayaan Mara selama hampir 30 tahun berkecimpung dalam industri pendidikan, maka amat wajar bagi institusi itu mewujudkan sebuah universiti bagi mengisi perkembangan pendidikan sekarang.

''Ini akan melengkapkan lagi peranan Mara dalam menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar bumiputera bermula dari tingkatan satu hinggalah ke peringkat tertinggi,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Mara dengan MIMOS Berhad (MIMOS) dan Universiti Telekom (Unitele) di ibu pejabat Mara, di sini, hari ini.

Othman memberitahu, lokasi untuk universiti itu telah dikenal pasti di kampus Kolej Mara Banting (KMB) kerana berdekatan dengan ibu negara dan mempunyai keluasan yang cukup untuk kewujudan sebuah kampus universiti.

''Dengan kemudahan infrastruktur seperti bangunan asrama dan pengajian yang sedia ada, kampus KMB boleh dinaik taraf sebagai universiti memandangkan kampus seluas 45 ekar itu boleh menampung lebih banyak kemudahan.

''Lagipun, dengan pemberhentian program persediaan seperti A Level dan International Baccalaureate (IB) di kolej itu, sepatutnya ia diisi dengan program ijazah dan kursus universiti,'' kata Othman.

Katanya lagi, universiti itu kelak memilih konsep pengajian berteraskan sains dan kejuruteraan dengan menawarkan kursus-kursus teknikal, kejuruteraan, perubatan dan kursus lain yang berkaitan; dengan memberi keutamaan kepada bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pada majlis menandatangani MoU itu, MIMOS diwakili oleh Presidennya, Datuk Dr. Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen sementara Unitele diwakili oleh Presidennya, Prof. Dr. Ghauth Jasmon dan turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Nik Mohd. Affandi Nik Yusoff.

MoU di antara Mara dan MIMOS merupakan perkongsian bijak yang bertujuan mewujud, membangun dan melaksanakan program pembelajaran dan pengajaran berpersekitaran Teknologi Maklumat (IT) di MRSM dan Kolej-kolej Mara (KM).

Menurut Othman, peringkat percubaan projek itu berlangsung selama tiga bulan di tiga MRSM iaitu MRSM Jasin, MRSM Taiping dan MRSM Pengkalan Chepa yang melibatkan pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima.

Sementara itu, Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen berkata, pihak MIMOS akan mewujudkan konsep pembelajaran secara bufet (buffet learning) yang menyediakan maklumat bagi proses pembelajaran 4A iaitu anytime, anywhere, anyone dan anything.

Melalui konsep itu, Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen berharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan dalam mewujudkan sekolah bestari dan di MRSM, mewujudkan MRSM bestari atau Bitara.

Beliau mengajak semua pihak termasuk guru-guru, pihak pentadbir sekolah, ibu bapa dan keluarga turut serta dalam program itu secara berterusan bagi memastikan sekolah bestari menjadi kenyataan.

Sementara itu, Mara yang diwakili oleh pengerusinya turut menandatangani MoU dengan Unitele bagi menempatkan pelajar-pelajar universiti itu untuk kursus pra ijazah pengurusan dan bidang sains di Kolej Mara Banting.

Menurut Dr. Ghauth Jasmon, dengan termeterainya memorandum itu bermakna KMB menjadi kampus cawangan Unitele yang keempat selepas Kolej Inti, Kolej Antarabangsa dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Katanya, ia adalah permulaan bagi rancangan jangka panjang bagi memberikan KMB pilihan dalam melaksanakan program ijazah Unitele dan seterusnya beroperasi sebagai sebuah Kolej Universiti.

Oleh: NOR ZAINAH NORDIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4FcN9Tlo0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan