Jumaat, 15 Julai 2016

Perang dingin’ Olimpik

SUSUNAN SAIFUL HAIZAN HASAM (SUKAN@UTUSAN.COM.MY)  |  16 Julai 2016 12:10 AM 
Atlet Finland, Heikki Savolainen mengetuai bacaan ikrar Olimpik dalam Temasya Helsinki 1952.

SUKAN Olimpik Helsinki 1952 yang berlangsung dalam era pasca Perang Dunia II mempunyai signifikan besar dalam menyatukan seluruh masyarakat dunia walaupun hanya untuk seketika.
Antara yang menjadi topik hangat ialah penyertaan semula Kesatuan Soviet selepas mereka meninggalkan Olimpik berikutan Revolusi Bolshevik 1917.
Selain revolusi, dalam tempoh 40 tahun Kesatuan Soviet mengasingkan diri daripada O­limpik, berlaku dua perang dunia.
Ironiknya, Kesatuan Soviet memilih untuk kembali sewaktu temasya berlangsung di Finland, negara yang diceroboh mereka dua kali dalam Perang Dunia II.
Kedatangan kontinjen Ke­satuan Soviet ke Finland di­sambut baik oleh rakyat negara itu walaupun Finland berada dalam fasa pemulihan selepas tewas dalam dua pepe­rangan di tangan negara jirannya.
Penyertaan Kesatuan Soviet juga mencetus ‘perang dingin’ Olimpik antara negara itu dan seteru politik serta ketenteraan, Amerika Syarikat (AS).
Kontinjen AS pada peringkat awal dikejutkan dengan jumlah pungutan pingat oleh Kesatuan Soviet yang mendahului carta. Mereka terpaksa berjuang sehingga hari terakhir untuk meraih 76 pingat dan memintas Soviet yang mengumpul 71 pi­ngat.
Persaingan antara blok Barat dan Timur amat dirasai sebagaimana yang dinyatakan jaguh dekatlon AS, Bob Mathias yang menang buat kali kedua dalam acara ber­kenaan.
“Terdapat pelbagai tekanan terhadap atlet AS berikutan penyertaan Kesatuan ­Soviet. Mereka bagaikan musuh sebenar kami.
“Atlet amat berharap untuk menewaskan mereka dan mereka wajib ditewaskan. Perasaan itu amat kuat meresap semangat seluruh pasukan AS,” katanya dalam buku The Olympics: A History of the Modern Games.
Walaupun tidak menjuarai Olimpik 1952, pe­nyertaan Soviet berjaya memahat penguasaan dalam sukan tertentu seperti gimnastik berpasukan wanita. Mereka me­nguasai acara itu selama 40 tahun sehinggalah Kesatuan Soviet berpecah kepada beberapa republik.
Selain itu, Helsinki turut mencacat sejarah sebagai bandar yang mempunyai populasi te­rendah iaitu kira-kira 380,000 penduduk yang pernah me­nganjurkan Olimpik.
Sumber-http://www.utusan.com.my/sukan/perang-dingin-olimpik

1.353993#sthash.0Yas7Urv.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan