PROSES pembinaan terowong ini
menggunakan banyak jentera berat dan bahan letupan.
PEKERJA merakamkan detik-detik
mesin gerudi yang dikenali sebagai Gabi memecahkan batu di seksyen terakhir
pembinaan terowong pada 2009.
BUNGA api dinyalakan sebaik
sahaja kereta api laju pertama melalui Terowong Gotthard Base pada 1 Jun lalu.
Sebuah terowong kereta api
terpanjang di dunia yang merentasi pergunungan Alps di Switzerland akhirnya
siap dibina selepas 17 tahun projek itu bermula.
Projek yang bernilai £8.5 bilion
(RM60 bilion) yang merangkumi terowong bawah tanah sepanjang 56.32 kilometer
itu siap mengikut jadual.
Apabila dibuka nanti, kereta
api berkelajuan tinggi yang membawa penumpang dan kargo hanya mengambil masa 17
minit untuk merentasi pergunungan yang memisahkan bahagian utara dan selatan
Eropah - antara Erstfeld ke Bodio, Switzerland.
Ketika kereta api pertama
melalui terowong itu pada 1 Jun lalu, pakar menggambarkan projek itu sebagai
‘karya agung masa, kos dan polisi’.
Kira-kira 260 kereta api barang
dan 65 kereta api penumpang akan mengembara melalui terowong dua tiub itu pada
setiap hari selepas ujian terakhir tamat pada hujung tahun ini.
Barangan yang diangkut oleh
sejuta lori setahun di laluan sama kini bakal digantikan dengan kereta api.
Bagi meraikan hari bersejarah
itu, Switzerland membuat majlis perasmian yang meriah dan menjemput semua
pemimpin dari negara jirannya.
Terowong yang dikenali sebagai
Gotthard Base itu terletak di laluan kereta api utama Eropah menghubungkan
pelabuhan Rotterdam, Belanda ke Genoa, Itali.
Landasan berkenaan melintasi
kawasan pergunungan dengan 2.4 kilometer laluan di bawah terik matahari dan
melintasi batu panas mencecah 46 Celsius.
Di sini, laluan kereta api akan
melepasi beberapa siri laluan berlingkar dan terowong.
Dengan pembukaan jalan baru
yang rata ini, kereta api yang berat hanya memerlukan satu lokomotif sahaja
berbanding dua atau tiga sebelum ini untuk melalui kawasan pergunungan.
Untuk membina terowong ini,
jurutera terpaksa menebuk dan meletupkan 73 jenis batu dari sekeras seperti
granit dan selembut seperti gula.
Projek ini turut meragut
sembilan nyawa pekerja.
Pelan kasar terowong yang
melintasi Laluan Gotthard ini kali pertama dilukis oleh jurutera Switzerland,
Carl Eduard Gruner pada 1947.
Bagaimanapun, kelewatan
birokrasi, kebimbangan mengenai kos dan pelbagai halangan menyebabkan pembinaan
projek ini tertangguh hingga 1999.
Apabila beroperasi sepenuhnya
pada Disember ini, tempoh perjalanan dari Zurich, Switzerland ke Milan, Itali
hanya mengambil masa dua jam, 40 minit, kurang sejam berbanding ketika ini.
Laluan baru ini juga bakal
menjadikan kereta pengangkut lebih efisien kerana mampu membawa kargo lebih
berat sekali gus mengurangkan jumlah lori di jalan raya.
Pengurangan jumlah lori
berenjin diesel ini mampu mengurangkan kesesakan jalan raya dan masalah
pencemaran udara.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 10:08 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan