’SAIFUL HAIZAN HASAM | 05
Julai 2016 12:01 AM
PELUMBA basikal trek individu
bersedia di garisan pelepasan sewaktu Olimpik London 1908.
SUKAN OLIMPIK 1908 sepatutnya
dianjurkan di Itali, namun pada 1906, gunung berapi Vesuvius meletus sehingga
mengorbankan banyak nyawa serta merosakkan ekonomi negara itu.
Lantaran kekangan tersebut,
Itali mengumumkan penarikan diri sebagai tuan rumah sewaktu temasya interim di
Athens pada 1906.
Selepas Olimpik St. Louis,
Great Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman telah membentuk Jawatankuasa
Olimpik Kebangsaan di negara masing-masing.
Pada temasya interim, peserta
lawan pedang, Lord Desborough ditanya sama ada Persatuan Olimpik Britain
berminat untuk menjadi penganjur Olimpik 1908. Dari situlah segalanya bermula.
Temasya berkenaan menjadi
antara yang terbaik pada masa itu kerana Great Britain mempunyai kepakaran
dalam menganjurkan acara sukan di samping kerjasama erat daripada
Franco-British Exhibition untuk membina stadium.
Bagaimanapun, terdapat
persaingan sengit kerana Great Britain amat serius untuk menewaskan AS. Keadaan
menjadi lebih buruk kerana pengasas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Pierre
de Coubertin menyokong supaya hakim pertandingan dilantik dalam kalangan orang
Britain.
Ini kerana Coubertin amat
mengagumi orang Britain sebagai jaguh sukan dan pemerintah yang berpengalaman
di dunia.
Berikutan pelantikan hakim
dalam kalangan orang Britain, terdapat beberapa keputusan kontroversi yang
menyebabkan rakyat AS merasakan mereka dilayan dengan buruk sehingga hubungan
antara kedua pihak menjadi tegang dalam temasya itu.
Punca yang menyumbang kepada
ketegangan tersebut bukanlah besar, ia hanya membabitkan perkara sampingan
seperti cara sorakan orang Inggeris terhadap kemenangan negara lain yang
berada dalam empayar mereka apabila menewaskan AS yang telah dikritik oleh New
York Press.
London Times pula mencemuh
bunyi garau ‘rah, rah, rah’ yang dilakukan oleh penyokong AS sewaktu meraikan
kemenangan atlet mereka. Selain itu, kealpaan pembawa bendera AS merendahkan
bendera sewaktu melalui pentas diraja dalam upacara pembukaan menimbulkan rasa
tidak senang dalam kalangan rakyat Great Britain dan akhbarnya.
Sikap suka membuat provokasi
oleh seorang pegawai kanan kontinjen AS, James Sullivan yang terlalu mahukan
kemenangan turut memburukkan keadaan. Dia mendakwa pegawai Britain bersikap
tidak adil sehingga akhbar AS melaporkan perkara itu besar-besaran.
Persatuan Olimpik Britain pula
tidak berdiam diri dan menerbitkan satu risalah bertajuk ‘Jawapan kepada
kritikan terhadap Sukan Olimpik’ yang menyebabkan persatuan Olimpik kedua-dua
negara memutuskan semua bentuk komunikasi.
Akhirnya, Great Britain menang
besar dengan menyapu bersih kebanyakan pingat namun AS pula cemerlang dalam
sukan olahraga apabila menang hampir semua acara, sekali gus menyelamat maruah
dan keegoan dua negara berkenaan.
- SUMBER-t:
http://www.utusan.com.my/sukan/great-britain-as-8216-tegang-8217-1.350366#sthash.lo1B5Gbp.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan