Khamis, 8 Disember 2016

Utusan perkenal program Skytutor

ARKIB : 04/09/1999
KUALA LUMPUR 3 Sept. - Kumpulan Utusan hari ini memperkenalkan program pembelajaran berbentuk multimedia yang dibekalkan menerusi cakera padat dan Internet membabitkan empat mata pelajaran asas untuk murid-murid sekolah rendah.

Program berkenaan yang disediakan oleh Net Space Productions Sdn. Bhd. dikenali sebagai Skytutor, disasarkan khusus untuk kegunaan murid-murid sekolah rendah yang boleh mengikutinya secara langsung menerusi Internet dari rumah masing-masing.

Pengurus Besar Net Space Learning Sdn. Bhd., Chai Lee Fang berkata, program tersebut diperkenalkan seiring dengan pelaksanaan sekolah bestari di negara ini.

''Skytutor berdasarkan kurikulum Kementerian Pendidikan meliputi pengajaran dan pembelajaran dari tahun satu sehingga tahun enam.

''Ia akan mula dijual pada 1 Januari 2000 merangkumi mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik,'' kata beliau di sini hari ini.

Program berkenaan dipamerkan kepada para pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Malaysia 1999 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang merasmikan pesta buku itu turut mencuba program berkenaan pagi ini.

Net Space Productions merupakan syarikat usaha sama Net Space Learning dengan Sky Media Pte. Ltd. dari Singapura.

Chai menambah, pihaknya menghasilkan program berkenaan demi menawarkan bahan pengajaran dan pembelajaran murid-murid lebih menarik dan tidak menjemukan.

''Ini kerana program berkenaan mempunyai ciri-ciri multimedia sepenuhnya seperti animasi, grafik bermaklumat serta pembentangan audio dan video,'' katanya

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4SFEEK3M4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan