Selasa, 6 Disember 2016

Muzium pendidikan diwujudkan di IPSI

ARKIB : 08/08/1999
LANGKAWI 7 Ogos - Sebuah bangunan di Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) di Tanjung Malim, Perak akan dijadikan muzium pendidikan bagi menonjolkan keunggulan latar belakang sistem pendidikan negara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti, Adi Taha berkata, muzium yang pertama seumpama itu di negara ini akan memaparkan penglibatan tokoh-tokoh yang telah memacu kejayaan pendidikan negara.

"Muzium itu bertujuan menyanjung dan menghargai jasa guru yang telah banyak mencurah bakti untuk pembangunan negara", katanya ketika ditemui selepas pelancaran larian muziumton oleh Timbalan Ketua Polis Kedah, SAC II Abdul Halim Abdul Hamid di sini hari ini.

Seramai 800 peserta seluruh negara menyertai larian itu sempena Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan.

Adi berkata, pemilihan IPSI itu sesuai kerana ia menjadi institusi penting yang melahirkan ramai tokoh terkemuka termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba.

Menurutnya Kementerian Pendidikan akan turut membantu menubuhkan muzium itu yang antara lain akan mempamerkan bahan-bahan berkaitan sistem pendidikan masa lampau dan sekarang.

Sementara itu, beliau berkata, Muzium Negara juga sedang meningkatkan pelbagai program untuk menarik lebih ramai pengunjung kerana ia merupakan institusi penting bagi menimba ilmu selain sebagai produk pelancongan. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_06.htm#ixzz4S7le9IMB © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan