OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Selain dari itu
kecenderungan pengisian bahan-bahan penulisan di dalam akhbar-akhbar juga
ditentukan oleh jangka hayat sesebuah akhbar, dasar kerajaan, batasan sumber
kewangan atau pembiayaan dan sambutan pembaca. Contohnya Jawi Peranakkan yang
jangka hayatnya agak panjang iaitu 19 tahun telah menyiarkan berita-berita yang
berlaku “…di negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan di daerah -daerah seperti
Lingga, Jawa Barat, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Sumatera Timur dan Brunei.
Untuk kaum pedagang Jawi Peranakan menyiarkan harga barang-barang
dagangan seperti timah, gambir,lada hitam, lada putih…”.[1]
Akhbar Peridaran Syamsu Wal-Kamar,
Nujumul Fajar dan Idaran Bintang Timor gagal menyaingi Jawi Peranakan
dan “…tidak sempat hidup lama lantaran kepicikan pelanggan.”[2]
Akhbar Pemimpin Warita (1895-1897) juga tidak panjang umurnya “…kerana
kesulitan mendapat sokongan pembaca dan langganan yang tetap, Pemimpin
Warita diberhentikan penerbitannya pada penghujung bulan Ogos 1897.”[3]
Sementara itu, Cahaya Pulau Pinang (1900-1908) yang cuma mempunyai empat halaman
turut memuatkan pensejarahan tempatan dan luar negeri. Contohnya “Darihal Duli
Tengku Diauddin Yang Maha Mulia”[4]
dan “Istanbul”.[5]
Tetapi akhbar ini cuma hidup lapan tahun setengah dan terkubur pada 28 Mac
1908,[6]
kerana tidak mendapat sambutan. Bagi mengulas fenomena ini, Khoo Kay Kim
menegaskan, “…mengeluarkan akhbar dan majalah pada masa dahulu bukanlah satu
jenis perniagaan yang begitu viable. Bukan hanya pasarannya terbatas
bahkan pengedarannya sudah tentu menimbulkan masalah terutamanya pada waktu
sebelum Perang Dunia II kerana sistem perhubungan masih belum begitu efisien.”[7]
Pendapat ini diperkukuhkan lagi
oleh Hj.Muhammad Mohd. Said yang mengatakan; “…kehidupan surat-surat khabar
Melayu dan lainnya, sekiranya tiada siapa yang gemarkannya dan tiada pula
dibayar wang yuran langganannya tentulah
ia tiada hidup dengan berpanjangan umur.”[8]
Beliau juga menegaskan bangsa Melayu yang berpendidikan ketika itu menganggap,
“…membaca surat khabar itu disifatkan suatu perkara yang tiada memberi faedah
dan jauh sekali mereka itu hendak berlanggan dan membayar yurannya.”[9]
Manakala Utusan Melayu dan
Lembaga Melayu yang pro-kerajaan hidup segar kerana dibantu oleh akhbar
Inggeris Singapore Free Press dan Malaya Tribune. Pengasuh
pula walaupun mengalami kerugian akibat langganan tidak dibayar terus juga
diterbitkan kerana ia merupakan lidah rasmi
Majlis Ugama dan Istiadat Melayu Kelantan.[10]
Berdasarkan contoh-contoh tadi
jelaslah bahawa makalah pensejarahan Melayu dimuatkan berdasarkan keperluan dan
kepentingan semasa dan batasan kewangan. Ini kerana pelanggan akhbar ketika itu
tidak ramai dan lebih meminati karya sastera seperti pantun, cerpen, syair,
cerita adat dan hikayat. Contohnya akhbar Jawi Peranakkan yang mempunyai
empat halaman tidak mementingkan makalah pensejarahan, sebaliknya “…separuh
isinya dipenuhi dengan iklan.”[11]
Natijahnya dari sudut historiografi, maka nilai pensejarahan yang terkandung
atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar turut dipengaruhi oleh unsur-unsur yang
disebutkan tadi.
Salah sebuah akhbar
penting yang menyumbang kepada pensejarahan Melayu ini baik secara positif dan
negatif ialah Pengasuh. Bagi memahami peranan Pengasuh dari segi
pensejarahan Melayu ada lebih baik kita tinjau kedudukan peranan dan sumbangan
akhbar lain yang wujud sebelum dan semasa dengan Pengasuh. Dengan ini
kita dapat membuat penilaian sejauh manakah akhbar-akhbar yang wujud menjadi
penyumbang kepada pensejarahan Melayu dalam bentuk atau kebolehan masing -masing apabila dibandingkan dengan
akhbar Pengasuh yang menjadi fokus utama kajian ini.
Kaedah ini akan meningkatkan
lagi cara pengukuran terhadap Pengasuh dari segi historiografi kerana Pengasuh
umumnya merupakan sebuah akhbar yang sensitif kepada keperluan rakyat dan
menjadi sumber sejarah orang awam serta kepada penulisan sejarah dari bawah
yang melibatkan rakyat biasa. Antara sumbangan Pengasuh kepada
pensejarahan Melayu ialah menyumbangkan
pensejarahan sosial, pensejarahan riwayat hidup tokoh, pensejarahan
politik dan ekonomi, kemasyarakatan, keagamaan, tatanegara, peperangan dan
pensejarahan bahasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan