ARKIB : 08/03/2000
KETIKA ini stesen TV satelit
Astro menyediakan empat saluran untuk menyiarkan hal ehwal mengenai politik,
sosial dan budaya dari China, Hong Kong dan Taiwan. Satu saluran lagi khusus
bahan siaran dari India.
Empat saluran ini dianggap
melampaui keperluan tambahan pula isi kandungannya mengenai politik dan sosial
yang tidak sesuai dengan masyarakat majmuk negara ini.
Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab
mereka menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan import di Astro yang boleh
menjejaskan keharmonian dan mengundang kegelisahan kerana ada elemen berbau
perkauman.
Pendirian rakyat dalam soal ini
cukup jelas. Mereka tidak menolak rancangan Cina atau India. Tetapi yang
disuarakan ialah isi kandungan mengenai sosial dan politik yang boleh memberi
kesan yang negatif.
Rakyat sebenarnya tidak
mempunyai apa-apa kepentingan di sebalik kritikan itu kecuali menuntut diberi
sedikit pengawasan daripada sikap keterbukaan stesen TV tersebut.
Kritikan pula tidak bermakna
kita bersikap tertutup kepada gelombang baru dunia maklumat yang menjadi
pemangkin kepada perubahan pemikiran dalam arus globalisasi.
Keadaan sekarang memperlihatkan
kemasukan rancangan luar semacam tidak dikawal apabila berita yang bersifat
setempat juga menjadi tatapan 300,000 pelanggan Astro. Apa relevannya berita
politik dan sosial dari China, Hong Kong dan Taiwan dalam konteks Malaysia hari
ini?
Kerana itu Astro digesa
menggunakan kewarasan untuk mengawasi di pintunya. Bersikap terbuka bukan
bererti membuka diri kepada nilai-nilai yang boleh memberi kesan negatif.
Mesyuarat kabinet yang diadakan
hari ini diharap akan memberi perhatian terhadap rungutan yang disuarakan oleh
pelbagai lapisan masyarakat. Kepentingan rakyat apa lagi menyentuh kebimbangan
masyarakat majmuk sememangnya menuntut dibuat sesuatu.
Kerajaan sebelum ini juga telah
memberi jaminan akan meneliti semua pandangan yang disuarakan menerusi media
massa sebelum mengambil sesuatu tindakan untuk membendung keadaan ini.
Pentingnya kritikan ialah untuk
membawa sesuatu ke arah kebaikan. Rakyat sebenarnya realistik dengan dasar
langit terbuka yang menuntut mereka berfikiran sedikit terbuka. Tetapi tidak
bermakna tiada sekatan langsung terhadap anasir buruk dari luar.
Dalam menghadirkan diri di
tengah-tengah gelombang teknologi maklumat dan dasar langit terbuka, rakyat
tetap memerlukan sajian yang boleh mengukuhkan jati diri sebagai bangsa yang
merdeka.
Tanpa menafikan sumbangan Astro
membawa rancangan-rancangan yang berilmu, menyajikan mutu siaran yang jauh
lebih baik daripada stesen biasa, kehebatan Astro juga diukur sejauh mana
memahami hati nurani masyarakat pelbagai kaum.
Astro yang menjadi simbol
kecanggihan teknologi maklumat wajar berada di landasan betul untuk mewujudkan
masyarakat bermaklumat.
Sebagai stesen yang menjadi
laluan rancangan dari luar, Astro harus bijak memainkan peranan untuk mengawasi
unsur-unsur yang boleh meng-ganggu keharmonian masyarakat.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4T5xaSiNc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan