SEPASANG mata seorang askar
pertahanan pantai British mengesan sesuatu yang aneh di ufuk Pantai Kuala Pak
Amat, Kota Bharu (KB) 15 minit sebelum tengah malam. Dia dan beberapa anggota
tentera daripada Rejimen Dogra ke-17 sedang berkawal di kawasan pantai itu
ketika tiga bayang-bayang besar muncul dari kejauhan.
Bayang-bayang besar itu datang
daripada tiga kapal pengangkut Jepun, Awagisan Maru, Ayatosan Maru dan Sakura
Maru yang sedang menurunkan sauh kira-kira tiga kilometer dari kawasan pantai.
Kapal-kapal itu membawa 5,200
anggota tentera Jepun dari Detasmen Takumi yang diketuai oleh Mejar Jeneral
Hiroshi Takumi. Gerombolan tentera Jepun itu turun ke kapal-kapal pendarat
ketika laut sedang bergelora. Mereka merupakan sebahagian daripada pasukan tentera
Jepun yang mahu menawan Tanah Melayu dan Singapura.
Beberapa minit selepas itu,
kapal-kapal perang negara Matahari Terbit itu melepaskan tembakan ke arah
pantai menandakan merebaknya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu.
Kira-kira 25 minit selepas tengah
malam, kumpulan hadapan Jepun mendarat di Pantai Kuala Pak Amat yang terletak
antara Pantai Badang dan Pantai Sabak. Berlaku pertempuran sengit antara
tentera Jepun dengan anggota Rejimen Dogra ke-17 di bawah pimpinan Leftenan
Kolonel George Preston.
Tentera Jepun yang mendarat di
kawasan pantai dibedil hebat oleh pasukan meriam British.
“Kubu-kubu kecil musuh yang
dibina dengan teliti bertindak dengan ganas dan sepenuh kekuatan sehinggakan
orang-orang kami terbaring di pantai, separuh dalam air, separuh di pantai,
tidak dapat mengangkat kepala mereka,” demikian gambaran pertempuran itu yang
ditulis oleh Kolonel Masanobu Tsuji dalam bukunya Rikusenshi-Shu.
70 minit lebih awal
Ads by Kiosked
LAKONAN semula pendaratan
tentera Jepun di Kota Bharu bertujuan untuk mendidik generasi muda mengenai
kepentingan sejarah tanah air.
Dengan bantuan kereta kebal,
tentera Jepun berjaya menawan Kota Bharu pada pukul 2 petang keesokannya,
manakala hanya sebuah pesawat skuadron pengebom Blenheim terselamat dalam
serangan udara Jepun di Butterworth, Pulau Pinang.
Pada 31 Januari, British
melengkapkan pengunduran ke Singapura sekali gus menandakan kejatuhan Tanah
Melayu ke tangan Jepun.
Kini, 75 tahun telah berlalu
sejak peristiwa yang menandakan era penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Kru Jurnal berkesempatan
mengikuti program Sambutan ke-75 Pendaratan Tentera Jepun di Pulau Kundor,
Kelantan baru-baru ini yang dianjurkan oleh Kelab Peminat Sejarah Militer
(KPSM) dengan kerjasama Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan dan Malaya
Historical Group (MHG).
Program itu diadakan bagi
menyuntik kesedaran kepada orang ramai mengenai peristiwa pendaratan Jepun di
Kota Bharu tanggal 8 Disember 1941 itu sebenarnya lebih besar daripada yang
disangkakan dari sudut sejarah.
Ketika penduduk dunia merasakan
pengeboman Pearl Harbor menjadi detik permulaan Perang Dunia Kedua di Pasifik
(Perang Pasifik), namun fakta itu ternyata salah kerana 70 minit sebelum
peristiwa itu, tentera Jepun sudah pun mendarat di pesisiran pantai Kota Bharu,
Kelantan.
Mungkin kerana pengaruh filem
Hollywood Pearl Harbor arahan Michael Bay, ramai yang merasakan Perang Dunia
Kedua di Pasifik (Perang Pasifik) bermula selepas Jepun mengebom pangkalan
Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Pearl Harbor. Ditambah pula dengan
kisah-kisah dan rekod mengenai Perang Dunia Kedua banyak ditulis oleh orang
Barat.
“Ramai antara rakyat Malaysia
masih belum menyedari fakta bahawa pendaratan tentera Jepun di Tanah Melayu
terjadi sebelum pesawat pertama Jepun muncul di pulau milik AS itu sekali gus
menjadi detik rasmi bermulanya Perang Pasifik.
“Menurut rekod, konvoi kapal
Jepun itu dilihat pada pukul 11.45 malam, 7 Disember dan tembakan meriam
bermula pada pukul 12.30 pagi 8 Disember di Kota Bharu, sedangkan serangan ke
atas Pearl Harbor bermula pada kira-kira pukul 1.20 pagi waktu Kota Bharu,
bersamaan 7.55 pagi pada 7 Disember di Hawaii, AS.
“Walaupun terdapat beberapa
catatan waktu yang berbeza daripada beberapa sumber, tetapi semua rekod itu
menunjukkan serangan ke atas Kota Bharu bermula 50 hingga 70 minit lebih awal
daripada serangan ke atas Pearl Harbor,” ujar Presiden KPSM, Rafely Rahmat.
Katanya, Jepun bertindak untuk
menguasai Tanah Melayu kerana negara itu kekurangan sumber asli untuk meluaskan
empayarnya.
Anjakan paradigma
Ads by Kiosked
TENTERA Jepun mendarat di Kota
Bharu, Kelantan sejam lebih awal daripada serangan Pearl Harbor.
“Tanah Melayu merupakan tempat
yang strategik untuk penguasaan sumber kerana ketika itu ia merupakan pengeluar
utama dua komoditi penting dunia iaitu getah dan bijih timah.
“Pada awal tahun 1940, Tanah
Melayu mengeluarkan kira-kira 35 peratus getah dunia dan lebih 50 peratus timah
dunia,” tambah Rafely.
Walaupun era penjajahan Jepun
dipenuhi dengan air mata dan darah, peristiwa itu juga menjadi pemangkin kepada
anjakan paradigma orang Melayu yang ketika itu merasakan mereka tidak boleh
melangsungkan hidup tanpa kehadiran British.
Pengkaji sejarah Persatuan
Pencinta Sejarah Kelantan, Zafrani Arifin berkata, orang Melayu mula membuka
mata terhadap sikap British yang hanya mengutamakan kepentingan sendiri.
“Pertahanan British yang tumpas
dalam masa singkat melemahkan pengaruh British dan selepas Jepun tewas,
semangat nasionalisme dalam diri bangsa Melayu mulai tertanam.
“Mereka sedar bahawa mereka
mesti mengawal negara sendiri dan menggunakan hasil sumber negara untuk
memakmurkan negara sendiri.
“Pendaratan Jepun itu secara
tidak langsung mempercepatkan kemerdekaan negara serta negara-negara Asia yang
lain,” tambahnya.
Jepun menyerah kalah secara
rasmi di Tanah Melayu pada 12 September 1945 apabila dokumen serah diri tentera
Jepun ditandatangani di Victoria Institution, Kuala Lumpur.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4TrmSw300
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan