Isnin, 12 Disember 2016

Pele pemain terbaik abad ke-20

ARKIB : 21/11/1999
VIENNA - Legenda bola sepak Brazil, Pele yang meraikan ulang tahun ke-30 jaringannya yang ke-1000 kelmarin, dipilih sebagai pemain terbaik abad ini dalam satu majlis Anugerah Sukan Dunia Abad Ini di sini, kelmarin.

Sebanyak 11 bintang sukan dunia mendapat penghormatan dalam satu majlis yang berlangsung di Operahouse Vienna yang dipilih oleh panel 15 orang diketuai oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Juan Antonio Samaranch.

Para atlet, yang dipilih menerusi senarai awal 91 atlet, masing-masing menerima pasu kristal bernilai kira-kira AS$10,000.

''Saya terkejut mendapat penghormatan ini,'' kata Pele memberikan reaksinya sejurus selepas dipilih untuk menerima anugerah itu.

Juara tinju heavyweight dunia sebanyak tiga kali, Muhammad Ali dari Amerika Syarikat dipilih sebagai petinju abad ini, sementara juara dunia Formula Satu sebanyak empat kali, Alain Prost dari Perancis menerima anugerah bagi sukan bermotor.

Ali, yang menghidap penyakit Parkinson, mendapat penghormatan 'tepukan berdiri' sewaktu dia tampil menerima anugerah itu.

''Saya telah menerima banyak hadiah, tetapi ia tidak sebaik sepertimana petang ini,'' katanya selepas upacara itu yang dihiburkan dengan persembahan muzik Eros Ramazotti dari Itali, Vincente La Scola serta penyanyi Britain, Cliff Richard.

Steffi Graf yang baru mengumumkan persaraan mendapat pengiktirafan berikutan kejayaannya merangkul 22 gelaran Grand Slam, dengan legenda bola keranjang Amerika Syarikat dan juara Olimpik dua kali, Michael Jordan turut diberi penghormatan.

Dalam kategori olahraga, gimnas Nadia Comaneci memenangi anugerah wanita berikutan pencapaian cemerlangnya pada Sukan Olimpik Montreal 1976 apabila dia mencipta sejarah menjadi gimnas pertama mencatat 10 mata penuh, menang tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Anugerah olahragawan lelaki dimenangi oleh Carl Lewis dari Amerika Syarikat, berikutan kejayaannya memenangi sembilan pingat emas Olimpik.

Anugerah tertinggi untuk renang menjadi milik juara Olimpik tiga kali, Dawn Fraser dari Australia dan Mark Spitz dari Amerika Syarikat, yang mencipta 28 rekod dunia dan memenangi sembilan pingat emas Olimpik.

Bagi kategori sukan musim sejuk, peserta ski Austria, Annemarie Moser-Proll, juara Olimpik 1980 untuk kategori menuruni bukit menerima anugerah bagi wanita sementara Jean-Claude Killy juara Olimpik 1968 memenangi anugerah untuk kategori lelaki. - AFP

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Shb4QTNS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan