Sabtu, 3 Disember 2016

Pemberian khas RM600 -- Kakitangan kerajaan, pesara terima imbuhan mulai Julai

ARKIB : 04/06/1999
KUALA LUMPUR 3 Jun - Lebih satu juta kakitangan kerajaan dan pesara perkhidmatan awam akan menerima pemberian khas berjumlah RM600 yang dibayar dalam tempoh enam bulan mulai Julai ini .

Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin yang mengumumkan pemberian imbuhan itu berkata, pembayaran imbuhan itu bagaimanapun tidak meliputi anggota kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) yang berjumlah kira-kira 600 orang.

Kata beliau, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memulihkan ekonomi negara agar taraf hidup rakyat bertambah baik dan peluang-peluang untuk memperbaiki tahap pendapatan dan peluang pekerjaan terus meningkat.

''Kerajaan juga mengambil tindakan untuk meningkatkan tahap permintaan agregat menerusi pelaburan dan perbelanjaan penggunaan supaya kegiatan ekonomi negara terus menjadi kukuh.

''Selaras dengan hakikat ini, kerajaan dengan ini mengumumkan pemberian khas kepada pekerja-pekerja sektor awam kecuali kumpulan JUSA ke atas,'' kata beliau menerusi kenyataan dua halaman di sini, hari ini.

Ia merupakan kali pertama kerajaan memberi imbuhan khas kepada kakitangan dan pesara kerajaan sebagai tanda terima kasih kerana telah bersama-sama membantu memulihkan ekonomi negara.

Kini, saiz kakitangan awam dianggarkan 850,000 orang termasuk anggota tentera dan polis manakala pesara pula dalam lingkungan 300,000 orang.

''Pihak kerajaan berterima kasih kepada semua pekerja, khususnya kakitangan awam yang telah membantu mewujudkan iklim perhubungan industri yang positif dan sesuai dengan hasrat memulihkan ekonomi negara,'' kata Daim yang juga Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Kali terakhir kerajaan memberi imbuhan ialah tahun lalu iaitu sebanyak RM400 seorang sebagai sagu hati kepada kakitangannya bagi menggantikan bonus.

Dalam hubungan ini, Daim menyeru kakitangan awam bekerja kuat untuk mempertingkatkan produktiviti setiap masa bagi membantu pemulihan ekonomi negara demi untuk kebajikan bersama.

Pada tahun lalu, kerajaan yang sedar masalah kakitangannya telah bermurah hati memberikan bantuan khas meskipun ekonomi masih gawat dan kewangan kerajaan begitu berkurangan sehingga negara mengalami defisit sebanyak RM16 bilion pada 1999.

Ketika mengumumkan pemberian bantuan khas itu pada 2 Disember 1998, Dr. Mahathir berkata: ''Kerajaan tidak mampu untuk memberi bonus pada tahun ini dan bantuan RM400 setiap orang itu merupakan ganti bagi meringankan masalah perbelanjaan sekolah anak-anak mereka.

''Saya sedar akan ada yang tidak berpuas hati dengan tawaran ini tetapi ini sahajalah yang kerajaan mampu beri.''

Sebelum itu CUEPACS dan beberapa pertubuhan meminta kerajaan memberi insentif kepada kakitangan awam memandangkan kerajaan tidak dapat membayar bonus pada tahun berkenaan berikutan kegawatan ekonomi.

Kali pertama kerajaan membayar bonus ialah pada 1993 apabila 850,000 kakitangan awam mendapat setengah bulan gaji atau minimum RM400, diikuti dengan sebulan gaji atau minimum RM600 pada 1994 dan 1995.

Pada 1996, bonus yang diberikan ialah sebulan gaji atau minimum RM700 bagi kumpulan terendah manakala tahun 1997 sebulan gaji atau bayaran minimum RM700 yang dibayar dalam dua ansuran.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4RqE5H2UB © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan