Khamis, 8 Disember 2016

Bimbang sejarah Pearl Harbor dilupakan

Susunan ZUBAIDAH IBRAHIM
 
Jepun melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera laut AS sehingga mengalami kemusnahan yang besar.

PEARL HARBOR, Pulau Oahu, Hawaii menjadi saksi serangan Jepun di Pangkalan Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang sukar dilenyapkan daripada ingatan Dorinda Nicholson.

Nicholson yang ketika itu berusia enam tahun tinggal bersama keluarganya berdekatan kawasan serangan tersebut.

Dia masih mengingati detik-detik cemas apabila kepulan asap tebal memenuhi ruang udara.

Menurutnya, muka juruterbang itu boleh dilihat dengan jelas kerana mereka terbang pada jarak rendah.

“Saya sangat takut dan memeluk ayah sambil hati kecil berdoa semoga kami selamat daripada bencana itu.

“Enam kapal induk Jepun terbang sejauh 482 kilometer ke Kepulauan Hawaii yang sarat dengan pejuang, torpedo dan bom,” katanya.

Sekelip mata sahaja pelabuhan itu lenyap dan pandangan ditutupi dengan asap hitam, sekali gus awam biru bertukar menjadi rona hitam kelam.

Bapa Nicholson, Seaman Dick Girocco, yang menyertai tentera laut sejak berusia 19 tahun juga tidak dapat melupakan peluru-peluru yang memecahkan tingkap rumahnya.

“Sudah tentu saya sangat takut dan trauma dengan serangan dahsyat itu apatah lagi melihat keadaan huru-hara serta bunyi yang sangat bising,” tuturnya.

Girocco merupakan salah seorang daripada 60,000 tentera yang ditempatkan di Pulau Oahu, Hawaii.

Sempena ulang tahun ke-75 memperingati serangan Pearl Harbor, Girocco menghadiri majlis itu bersama 100 orang rakan-rakan yang terselamat daripada tragedi itu baru-baru ini.

Seorang lagi tentera veteran yang terselamat dalam serangan itu, Ray Chavez, 104, berkata, ketika kejadian tersebut, dia berada di atas kapal Condor dan bertugas sebagai jurumudi serta pakar navigasi.

Dia masih ingat, sekitar pukul 3.45 pagi, anak kapal Condor mengesan kehadiran kapal selam asing dan memberitahu mereka ada ‘tetamu’.

“Anak kapal itu menyalakan lampu tanda bahaya dan memberi amaran terdapat penceroboh tetapi apabila diselidiki, kapal selam musuh tidak dijumpai,” katanya.

Selepas itu, tugasannya berakhir dan Chavez pulang ke kuarters tentera laut lantas tertidur kerana keletihan. Tiba-tiba, dia dikejutkan oleh isterinya sambil memberitahu Jepun telah menyerang pangkalan tentera laut itu.

Gelombang pertama

Sekitar pukul 8 pagi, Chavez melihat di luar rumah dan sangat terkejut apabila mendapati pesawat pejuang Jepun berada di merata-rata tempat.

Gelombang serangan pertama melibatkan 350 orang pejuang. Torpedo dan bom dilepaskan oleh enam buah pesawat yang mengambil masa 12 hari merentasi Lautan Pasifik dan gagal dikesan oleh tentera AS.

Pada 7 Disember 1941 Jepun melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera laut AS sehingga mengalami kemusnahan yang besar.

Kawasan tapak sejarah itu kini dijadikan muzium dan monumen kebangsaan yang dikenali sebagai Memorial USS Arizona untuk mengenang jasa mereka yang terbunuh dalam serangan tersebut.

Bimbang


MEMORIAL USS Arizona menjadi monumen kebangsaan untuk mengenang jasa pejuang yang terkorban.

Ahli Sejarah Pearl Harbor, Daniel Martinez yang sudah bertugas selama 32 tahun berkata, dia sangat bimbang jika generasi muda melupakan peristiwa itu.

“Kebanyakan anak muda yang datang ke sini tidak tahu tentang sejarah serangan tersebut dan Perang Dunia Kedua.

“Ia sangat membimbangkan jika bekas-bekas pejuang yang sudah lanjut usia itu meninggalkan kita buat selama-lamanya, maka sejarah juga terpadam bersama mereka,” katanya.

Sehubungan itu, bagi memastikan sejarah tersebut terus kekal dan diingati, sebuah pertubuhan dikenali sebagai Kumpulan San Diego aktif mengadakan mesyuarat dan perjumpaan dengan veteran tentera.

Di San Diego, anak-anak tentera yang terselamat daripada serangan itu tekun belajar mengenai sejarah tersebut.

Mereka juga berkongsi kisah itu bersama masyarakat umum dan menganjurkan majlis peringatan pada 7 Disember setiap tahun.

Ujar Presiden Kumpulan San Diego, Stuart Hedley, 95, Pearl Harbor bukanlah kekalahan tetapi peristiwa itu membuka mata banyak pihak.

Ketika kejadian itu, dia berusia 20 tahun dan bertugas di dalam kapal perang yang rosak teruk apabila terkena torpedo.

“Keadaan sangat panik dan kami berusaha menyelamatkan diri.

“Saya memang boleh berenang tetapi bukan di kawasan laut yang dalam. Demi menyelamatkan diri, saya sedaya mungkin menyelam dan menuju ke pesisir pantai sebelum diselamatkan oleh penduduk,” jelasnya.

Istihar perang

Dalam serangan itu, 19 buah kapal perang AS musnah termasuk kapal tambahan dan berpuluh-puluh mayat berterbangan di udara tatkala bom dilepaskan.

Serangan itu berlangsung kira-kira 75 minit dan membunuh 2,400 tentera AS.

Sehari selepas itu, Presiden AS ketika itu, Franklin D. Roosevelt mendapat kelulusan kongres untuk mengistiharkan perang lantas menjerumuskan AS ke dalam Perang Dunia Kedua.

Pada perkembangan yang sama, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe tidak menghadiri majlis memperingati mangsa tetapi akan mengadakan lawatan di Pearl Harbor bersama Presiden Barack Obama akhir bulan ini.

“Kita tidak seharusnya mengulangi peperangan seumpama itu dan saya ingin menghantar mesej perdamaian antara Jepun dan AS,” katanya.

Bagaimanapun, Abe tidak akan membuat permohonan maaf terhadap tragedi itu tetapi akan berdoa untuk mangsa yang meninggal dunia ketika pertarungan tersebut.

Malah, AS juga tidak pernah memohon maaf terhadap penggunaan senjata nuklear di Hiroshima dan Nagasaki.




SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1209&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4SIEUrYRJ Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan