Khamis, 15 Disember 2016

Mun Yee lakar sejarah

ARKIB : 12/02/2000
LEONG Mun Yee melakar sejarah apabila muncul penerjun pertama Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Sydney 2000 dalam acara platform 10 meter wanita.

Mun Yee, pemenang pingat gangsa Sukan SEA XX di Brunei Ogos lalu, layak beraksi pada temasya sukan terbesar di dunia itu selepas melepasi had kelayakan dalam Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA ke-12 di Sydney pada 25-29 Januari lalu.

Bersaing dengan penerjun-penerjun terbaik dunia, Mun Yee berjaya menempatkan diri sebagai penerjun Asia ketiga terbaik di belakang dua peserta China.

Memandangkan Piala Dunia FINA adalah gelanggang kelayakan ke Sukan Olimpik, kejohanan tersebut berjaya menarik penyertaan kebanyakan peserta yang dijangka menjadi pilihan di Sydney 2000.

Mun Yee menebus kegagalan meraih emas di Brunei dengan menumpaskan dua pencabar utama memusnahkan harapannya untuk muncul juara.

Penerjun wanita negara itu menjadi peserta terbaik dari Asia Tenggara selepas mengetepikan juara Sukan SEA, Amelia Shenny Ratna dari Indonesia dan Sukrutai Tommaoros dari Thailand, pemenang perak.

Di pusingan awal, yang membabitkan lima terjunan voluntari Mun Yee meraih 252.15 mata untuk melayakkannya beraksi dalam pusingan separuh akhir.

Beraksi dalam separuh akhir yang mengandungi empat terjunan wajib, dia memperoleh 155.40 mata untuk layak ke pusingan akhir, sekali gus melepasi kelayakan Sukan Olimpik bagi kategori A.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4SuoJGtad © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan