ARKIB : 06/03/2000
PADA 16 Februari lalu, genap
usia Universiti Utara Malaysia (UUM) 16 tahun.
Dalam catatan sejarah UUM,
universiti yang terletak paling utara ini bermula di kampus sementaranya di
Bandar Darul Aman dekat Jitra dan kemudian setelah enam tahun di sana,
berpindah ke Kampus Sintok, kira-kira 30 km di utara Jitra. Sebelum terbinanya
kampus UUM di Sintok, kawasan Hutan Simpan Sintok seluas 4,000 hektar ini
adalah kawasan yang digazetkan sebagai kawasan hitam akibat aktiviti pengganas
komunis oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergerak di selatan Thailand.
Apabila PKM meletak senjata dan
menamatkan perjuangan mereka, kawasan Sintok telah digazetkan menjadi kawasan
putih semula pada Disember 1988 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad, selaku Menteri Dalam Negeri. Tindakan itu membolehkan UUM memulakan
pembinaan Kampus Sintok mulai 7 Januari 1989.
Perdana Menteri telah
memberikan tempoh masa selama 18 bulan untuk UUM menyiapkan Kampus Sintok. Ini
bermakna pembinaan harus siap menjelang Julai 1990 apabila sesi pengajian yang
baru akan bermula. Genap 18 bulan, Perdana Menteri membuat lawatan ke Kampus
Sintok untuk melihat perkembangan pembinaan kampus berharga RM580 juta ini.
Disebabkan beberapa masalah
yang tidak dapat dielakkan, termasuk mendapatkan pekerja binaan yang mencukupi,
UUM hanya mampu memulakan operasinya di Kampus Sintok dua bulan kemudian, iaitu
pada 15 September 1990 apabila pelajar-pelajar baru sesi 1990/91 mendaftar
disusuli dengan kemasukan pelajar senior seminggu kemudian untuk memulakan
pengajian. Jumlah pelajar UUM meningkat dari 3,500 orang pada ketika itu
menjadi 16,500 orang pada masa kini dengan 14,500 orang bermastautin di Kampus
Sintok manakala sebahagian yang lainnya adalah pelajar Pendidikan Jarak Jauh
(PJJ), pelajar francais dan pelajar di Kampus Transit Kuantan serta Kampus
Sungai Petani.
Kampus Sintok telah dibina di
atas sebuah lembah yang permai, dikelilingi bukit-bukau dan kehijauan hutan
hujan tropika yang indah dengan flora dan faunanya. Di kampus ini mengalir
Sungai Sintok dan Sungai Badak yang bertemu di tengah-tengah kampus, menambah
cantikkan lagi pemandangannya.
Di lembah Sungai Sintok ini,
sebelum terjadinya kampus UUM, terdapat sebuah lombong bijih timah terbuka.
Perlombongan dan pembalakan merupakan dua aktiviti utama penduduk di situ pada
masa dulu. Oleh kerana pengganas komunis mengeksploitasi penduduk yang
dianggarkan seramai 3,000 orang di Sintok pada masa lalu, pihak pemerintah
membuat keputusan memindahkan penduduk-penduduk tersebut ke kawasan lain di
negeri Kedah lalu menutup pekan Sintok dan mengisytiharkan kawasan ini sebagai
kawasan hitam.
Sejarah Sintok bermula apabila
ia diteroka oleh kaum Cina yang memulakan aktiviti melombong bijih timah di
kawasan itu pada awal 1900-an. Kawasan yang menjadi tumpuan kegiatan
perlombongan ialah di Sintok, Kampung Sungai Badak dan Bukit Kachi. Hanya
terdapat sejumlah kecil sahaja pekerja Melayu dan India di kawasan tersebut.
Sintok yang terletak 12
kilometer ke timur Changlun adalah kawasan yang terpencil. Keadaan fizikalnya
yang berbukit-bukau dan merupakan satu kawasan hutan rimba yang luas
menyebabkan perhubungan agak sukar, keselamatan penduduk sentiasa terancam oleh
pengganas komunis. Di kawasan hutan ini juga terdapat rangkaian denai yang
menghubungkan selatan Thailand, Sintok, Padang Sanai di Padang Terap hingga ke
Nami dalam daerah Sik dan terus ke Baling seterusnya hingga ke kawasan Hulu
Perak.
Parti Komunis Malaya yang
memulakan kegiatan subversif dan keganasan selepas Perang Dunia Ke-2
menggunakan keistimewaan alam semula jadi untuk bergerak cergas di kawasan
Sintok yang cukup strategik sebagai pangkalan aktiviti mereka di kawasan ini
yang juga menjadi pintu masuk dari Thailand ke negara ini.
Di Sintok pada masa itu
terdapat sebuah balai polis. Anggota polis di balai itu berfungsi hanya sebagai
pengawas kepada pelombong dan pekerja balak.
Tugas mereka hanya terhad di
kawasan balai sahaja. Bilangan anggota yang kecil dan kelengkapan senjata yang
lemah membuatkan mereka tidak berupaya melawan kekuatan PKM.
Dalam sejarahnya, Sintok
ditutup dua kali. Kali pertama apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948
bila mana kawasan Sintok dikosongkan daripada sebarang kegiatan perlombongan
dan pembalakan selama tiga tahun.
Apabila keadaan kembali aman,
lombong bijih timah dibuka semula pada 1952. Penduduk yang dahulunya berpindah
keluar dibenarkan pulang. Dalam masa yang singkat kawasan Sintok, Sungai Badak
dan Bukit Kachi dihuni oleh hampir 3,000 orang, sebahagian besarnya
berketurunan Cina. Pembukaan semula Sintok memberi kesempatan baru kepada
anggota PKM. Mereka mula menyusun semula strategi keganasan dan menjadikan
penduduk Sintok sebagai penyokong mereka. Balai Polis Sintok pada ketika itu
berfungsi sebagai tempat membuat aduan dan mengawasi kegiatan penduduk Sintok
untuk kes-kes biasa. Anggota-anggota polis memang sedar bahawa mereka sendiri
adalah di bawah ancaman anggota PKM.
Apabila penduduk Sintok
bertambah ramai dan PKM berjaya melakukan serangan hendap demi serangan hendap
ke atas anggota keselamatan, PKM bertambah yakin bahawa mereka akan berjaya.
PKM cuba menghidupkan kembali hubungan mereka dengan penduduk Sintok dengan
menyebarkan berbagai-bagai propaganda.
PKM juga mengambil peluang
untuk membuat dakyah dan menghasut pekerja supaya membenci kerajaan. Di samping
itu mereka juga meminta supaya membekalkan makanan. Para pekerja lombong itu
terpaksa melayan anggota PKM dengan baik.
Selepas 1969 PKM menjadikan
peristiwa 13 Mei sebagai isu propaganda. Mereka menyatakan bahawa Kerajaan
Perikatan melakukan kekejaman dan penindasan ke atas orang Cina. Mereka juga
telah menyebarkan risalah komunis seperti Awakening News dan Mao's Quotation.
Setelah diteliti dari segi
perkembangan kegiatan komunis dari awal maka pihak kerajaan melalui
Jawatankuasa Operasi Sempadan melancarkan Operasi Semai mulai 4 Ogos 1969 dan
tamat sepenuhnya pada 16 Mac 1970. Operasi tersebut bertujuan untuk memutuskan
rangkaian hubungan komunis dan menghalang propaganda daripada merebak dengan
meluas.
Di samping itu ia juga bagi
membolehkan pihak anggota keselamatan mengadakan operasi pembersihan di kawasan
Sintok. Operasi itu melibatkan pihak tentera, polis dan agensi lain yang
berkaitan. Buat kali kedua penduduk Sintok diarah meninggalkan kawasan
tersebut. Sebahagian mereka ditempatkan di kampung-kampung baru termasuk di
Padang Lembu, Gurun, Kedah. Pekan Sintok dimusnahkan dalam erti kata dibakar
dengan tujuan agar anggota komunis tidak dapat bertapak di Sintok.
Sejak tarikh itulah kawasan
Sintok menjadi lengang tanpa penduduk dan diisytiharkan sebagai kawasan hitam
sehinggalah ia digazetkan semula sebagai kawasan putih pada Disember 1988
memandangkan keadaan telah aman dan sekali gus bagi membolehkan pembinaan
Kampus Sintok, kampus tetap UUM.
Hasil penyelidikan yang telah
dijalankan oleh satu pasukan empat orang pegawai UUM terdiri daripada Abdul
Wahab Awang (kini Ketua Penolong Pendaftar STM), Mohd. Shahreza Kader Asna
(kini Pensyarah SBPS),
Allahyarham Hashim Yassin
(ketika itu Penolong Pegawai Kebudayaan) dan penulis sendiri, sebanyak 35 nama
anggota keselamatan dan juga orang awam termasuk dua orang isteri anggota polis
telah dikenal pasti sebagai mangsa yang terkorban akibat keganasan komunis di
sekitar kawasan Sintok.
Sebahagiannya tidak mempunyai
rekod yang lengkap dan sukar untuk mendapatkan nama penuh mereka.
Naib Canselor UUM ketika itu,
Tan Sri Datuk Dr. Othman Yeop Abdullah (kini Pengerusi Eksekutif Perbadanan
Pembangunan Multimedia (MDC) telah mengarahkan dibina sebuah tugu yang dikenali
sebagai Tugu Peringatan Sintok yang dirasmikan oleh Tuanku Sultan Kedah pada 21
April 1992.
Tugu ini didirikan di dalam
kawasan kampus berhampiran dengan markas Pasukan Pegawai Simpanan (Palapes)
UUM. Kawasan ini dinamakan Dataran Perwira. Pada tugu tersebut telah dipahatkan
nama 35 mereka yang terkorban itu. Reka bentuk tugu adalah hasil ilham Arkitek
UUM, Ismail Abdullah. Tujuan tugu ini dibina ialah untuk menjadi mercu tanda
peringatan dan menimbulkan keinsafan kepada warga UUM serta generasi akan
datang bahawa UUM yang tersergam indah dengan kemudahan serba canggih dan
mendapat Status MSC ini ditegakkan di atas keringat serta titisan darah dan air
mata generasi terdahulu.
Adalah menjadi harapan pucuk
pimpinan Universiti agar keinsafan itu akan mencetuskan semangat di kalangan
warga UUM semoga mereka menuntut ilmu, menabur budi dan mencurah bakti dengan
penuh ikhlas dan kesyukuran serta mengesampingkan kepentingan-kepentingan
peribadi sejajar dengan motto UUM 'Ilmu, Budi, Bakti.'
Bagi mencatat kisah di Sintok
ini sebagai dokumen sejarah, Arkib Negara Malaysia cawangan Kedah/Perlis dengan
kerjasama UUM menganjurkan satu majlis pengkisahan sejarah 'Darurat di Sintok'
di Pusat Konvensyen UUM Sabtu lalu.
Majlis pengkisahan ini akan dijayakan
oleh tiga orang lama yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan
sejarah di Sintok. Mereka ialah Syed Shahil Syed Muhamad, Ahmad Ariffin
(penyajak Affrini Adham) dan Puan Som Awang.
Syed Shahil, 77 tahun berasal
dari Arau, Perlis memulakan tugasnya sebagai Leftenan di dalam Rejimen Ke-3
Askar Melayu Diraja (3 Melayu). Pada masa Darurat beliau bertugas dengan
Rejimen Ke-5 Askar Melayu yang berpangkalan di Kepala Batas, Alor setar. Salah
satu tanggungjawab sebagai pegawai agama yang diamanahkan kepada beliau ialah
menguruskan jenazah mangsa yang terkorban dalam serangan-serangan hendap oleh
pihak pengganas.
Beliau menghadapi saat yang
mencemaskan dan berjuang seperti telur di hujung tanduk. Satu daripadanya ialah
apabila pengganas komunis memasang bom tangan pada mayat yang sedang diuruskan
jenazahnya. Beliau juga dapat menyaksikan banyak kekejaman yang dilakukan oleh
pengganas komunis semasa beliau menguruskan jenazah-jenazah anggota keselamatan
yang terbunuh.
Ahmad Ariffin yang lebih dikenali
sebagai Affrini Adham, 73 tahun, yang berasal dari Alor Setar mempunyai kenalan
yang ramai termasuk berkawan rapat dengan Din Ker iaitu Ketua Platoon, PKM
Kawasan Padang Terap.
Din Ker merupakan 'talibarut'
dan penghubung kuat antara pihak perisik polis dengan PKM dan memberi maklumat
mengenai saki baki pengganas komunis.
Semasa darurat di Sintok Din
Ker yang berketurunan Siam ini walau bagaimanapun telah menyerah diri dan
mendapat keampunan daripada kerajaan dan terus tinggal di Wad Siam Kampung Titi
Akar dalam daerah Pendang, Kedah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4T3wOJfuT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan