BARISAN pemain Chapecoense Real
bergambar pada pertandingan separuh akhir Copa Sudamericana 2016 baru-baru ini.
- AFP
GAMBAR di tempat kejadian
menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa yang mungkin terselamat. - Agensi
Agensi
Bogota: Sebuah pesawat
penerbangan khas membawa satu pasukan kelab bola sepak Brazil terhempas di
kawasan pergunungan di Colombia awal semalam, menyebabkan 75 orang terbunuh.
Menurut pegawai, hanya lima
orang terselamat dalam nahas itu.
Pesawat penerbangan khas
syarikat LAMIA itu menghantar isyarat kecemasan sekitar jam 10 malam waktu
tempatan (Selasa 11 pagi, waktu Malaysia), melaporkan ia menghadapi masalah
elektrik dan terhempas sejurus selepas itu berhampiran bandar Medellin.
Pesawat berkenaan membawa
pemain dan pegawai pasukan Chapecoense Real, kelab bola sepak Brazil yang
sepatutnya bertanding dalam perlawanan akhir Copa Sudamericana hari ini,
menentang Atletico Nacional dari Colombia.
Selain 72 penumpang, pesawat
itu juga membawa sembilan anak kapal.
“Kami berjaya menyelamatkan
enam orang tetapi seorang daripada mereka mati dalam perjalanan ke hospital,”
kata ketua polis, Jose Gerardo Acevedo.
Antara yang terselamat ialah
Alan Ruschel, 27, pemain pertahanan pasukan Brazil itu.
Dua lagi pemain ialah Marcos
Danilo Padilla dan Jackson Follmann – yang terselamat dan dibawa ke hospital
tempatan bersama seorang kakitangan pesawat dan seorang wartawan.
Dalam pada itu, seorang lagi
pemain, Helio Hermito Zampier Neto, juga ditemui mangsa terselamat.
Pesawat itu berlepas dari Sao
Paulo, Brazil sebelum berhenti di Santa Cruz, Bolivia dan menyambung
penerbangan ke Rionegro, bandar berhampiran Medellin.
Ia terhempas kira-kira 50
kilometer dari Medellin, bandar kedua terbesar Colombia.
Elkin Ospina, datuk bandar La
Ceja, bandar berhampiran tempat kejadian berkata, kawasan pergunungan itu
setinggi 3,300 meter dari paras laut dan sukar untuk dijejaki.
Pasukan penyelamat yang membawa
pengusung terpaksa berjalan kaki selama lebih setengah jam sebelum tiba di
tempat pesawat itu terhempas.
Menurut Ospina, cuaca buruk
merumitkan tugas mencari dan menyelamat.
Sementara itu, Persekutuan Bola
Sepak Amerika Selatan (Conmebol) secara rasminya membatalkan perlawanan akhir
sehingga diberitahu kelak.
Chapercoense yang dianggap
kelab kecil bola sepak Brazil memasuki perlawanan akhir selepas mengalahkan
pasukan San Lorenzo dari Argentina.
Sembilan pemain pasukan itu
tidak terbang ke Colombia semalam.
Dua minggu lalu, pesawat sama
digunakan untuk membawa pasukan kebangsaan Argentina, termasuk Lionel Messi, ke
San Juan, Argentina, untuk satu perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 30 November 2016 @ 7:32 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan