Jumaat, 2 Disember 2016

73,000 keluarga di bawah paras kemiskinan

ARKIB : 06/05/1999
KUALA LUMPUR 5 Mei - Sebanyak 73,000 keluarga di negara ini berada di bawah paras kemiskinan akibat krisis ekonomi yang melanda negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 17,000 keluarga berbanding sebelum krisis ekonomi yang melanda negara ini bermula Julai 1997 lalu.

Sehubungan itu, kata Abdullah, kerajaan mensasarkan dapat mengatasi masalah itu menjelang akhir tahun 2000, sekali gus mencapai status ''kemiskinan sifar''.

''Dalam dua tahun lagi, kita berharap tidak ada lagi di negara ini rakyat yang dianggap sebagai termiskin,'' katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Petugas Peringkat Menteri Untuk Meningkatkan Pelaksanaan Pembangunan Luar Bandar di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.

Abdullah berkata, sehubungan itu, mesyuarat pada hari ini telah memberikan beberapa pandangan tentang langkah-langkah yang kemungkinannya boleh diambil untuk mengatasi masalah tersebut.

Untuk itu, katanya, kerajaan telah mengarahkan dua agensinya iaitu Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk berbincang, menyelaras dan mengemukakan pelan tindakan untuk dibincangkan oleh jawatankuasa itu pada mesyuarat akan datang.

Ini kerana, kedua-dua agensi kerajaan itu tidak lagi menerima kemasukan baru ke dalam mana-mana projek pembangunan mereka sebagaimana sebelumnya.

''Tetapi waktu ini belum lagi dapat diputuskan bentuk program untuk membantu mereka ini kerana ia turut melibatkan beban kewangan (agensi-agensi) yang terlibat,'' katanya.

Sementara itu, mengulas lebih lanjut mengenainya Annuar Musa berkata, kebanyakan golongan miskin terdiri daripada warga tua, golongan istimewa dan ibu tunggal, pesakit, penduduk luar bandar dan pendalaman.

Sehubungan itu, jelas beliau, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM107 juta tahun ini untuk menjayakan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara pada tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM500 juta juga telah diperuntukkan menerusi Rancangan Malaysia Ketujuh, selain RM300 juta lagi menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia.

''Matlamat kita ialah di bawah paras 1 peratus daripada jumlah penduduk negara, iaitu kemiskinan sifar,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4RjFgqUNI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan