ARKIB : 11/11/1999
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Institut
Teknologi Mara (ITM) yang dinaikkan taraf sebagai universiti kini rasmi
dikenali dengan nama ringkasnya UiTM.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata, akronim UiTM dianggap paling sesuai daripada pelbagai
cadangan yang diterima sebelum ini bagi singkatan nama Universiti Teknologi
Mara itu.
''Akronim UiTM itu
menggambarkan bahawa perubahan nama dan status tidak mengubah falsafah
penubuhan organisasi ini,'' jelasnya.
Selain itu katanya, akronim
UiTM itu juga membolehkan penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bernafas
lega dengan lenyapnya kemungkinan timbul kekeliruan sekiranya akronim yang sama
digunakan untuk ITM.
Najib menyatakan demikian pada
majlis pelancaran logo baru UiTM di Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh timbalannya, Datuk Khalid Yunus.
Pada majlis itu, Najib beliau
turut mengumumkan pelantikan Rektor UiTM, Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Zaidee
Laidin sebagai Naib Canselor pertama UiTM.
Hadir sama Pengerusi Lembaga
Pengarah UiTM, Tan Sri Abdul Rahman Arshad dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk
Dr. Abdul Shukor Abdullah.
Beliau seterusnya berkata,
perisytiharan menaikkan taraf ITM kepada universiti telah diumumkan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 26 Ogos lalu sekali gus
menaikkan imejnya setaraf dengan institusi pengajian tinggi yang lain.
Najib menambah, menurut akta
baru UiTM yang dicadangkan di bawah Seksyen 19 (A), Canselor UiTM ialah Yang
diPertuan Agong.
Menurutnya, beliau telah
mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada minggu
lepas dan baginda telah berkenan untuk menjadi Canselor UiTM yang pertama.
Najib berkata, sungguhpun
institut ini sudah bergelar universiti, UiTM terus berperanan untuk
mengendalikan majoriti kursus-kursus peringkat diploma.
Sementara itu Khalid dalam
persidangan akhbarnya berkata, UiTM kini muncul sebagai universiti terbesar di
negara ini.
''Ini berdasarkan kepada jumlah
penuntut UiTM yang menjangkau hampir 70,000 dengan 11 kampus di seluruh negara
selain kampus induk di Shah Alam,'' jelasnya.
Beliau yakin jumlah penuntut
UiTM akan meningkat kepada 150,000 pada tahun 2005 dan pembinaan kampus
cawangannya juga akan bertambah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_05.htm#ixzz4SatKPXBq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan