ARKIB : 31/08/1999
TAHUN ini tanggal 31 Ogos
genaplah negara kita mencapai kemerdekaan yang ke-42; ertinya 42 tahunlah
negara kita terlepas daripada cengkaman penjajah sejak beberapa tahun lamanya
bertuankan bangsa lain. Hidup di bawah penjajahan samalah macam melukut di tepi
gantang, masuk tak penuh keluar tak luak, duduk tak sama rendah berdiri tak
sama tinggi.
Bagi mereka yang umurnya 50
tahun hari ini, mungkin tidak berapa ingat peristiwa-peristiwa penting yang
berlaku, lebih-lebih lagi bagi anak muda sekarang. Mereka semua dilahirkan
dalam suasana menyedut udara merdeka, setelah kedaulatan negara kembali berada
di atas paksinya.
Sebagai salah seorang daripada
beribu-ribu pejuang kemerdekaan, ada juga baiknya saya catatkan serba sedikit
beberapa peristiwa penting yang telah membawa negara kita bebas dan mencapai
kemerdekaan sekarang ini. Peristiwa ini bolehlah dijadikan renungan bersama kok
baik jadikan teladan, kok buruk jadikan sempadan.
Belum perang
Sebelum perang, kedudukan orang
Melayu berpecah-pecah mengikut negeri masing-masing atau ditakrifkan sebagai
bersifat kenegerian. Mereka berbangga dengan negeri masing-masing bukan sebagai
satu bangsa di Semenanjung Tanah Melayu ini.
Perpaduan dalam bentuk nasional
boleh dikatakan tidak ada langsung walaupun terdapat usaha-usaha dilakukan oleh
beberapa orang pemimpin yang sedar betapa pentingnya orang Melayu bersatu, akan
tetapi tidak mendapat sambutan daripada orang ramai. Banyak sebab boleh
diberikan di sini namun biarlah saya tulis apabila tiba waktunya.
Malayan Union telah menjadi
satu hikmah kepada bangsa Melayu apabila mereka berada dalam keadaan perahu
sudah terasak ke tebing, ikan sudah sesak ke belat. Ledak kebangkitan semangat
ketika itu telah berjaya menyatupadukan orang Melayu, di samping lahirnya
seorang pemimpin besar dan berwibawa Datuk Onn Jaafar.
Kongres
Kelab Sultan Sulaiman di
Kampung Baru, Kuala Lumpur amat besar eritnya kepada pejuang-pejuang bangsa. Di
sinilah berkumpulnya pemimpin-pemimpin Melayu seluruh negara dalam satu
kongres, dengan melupakan sifat kenegerian masing-masing tetapi bersatu sebagai
satu bangsa di Semenanjung Tanah Melayu.
Kita semua tahu tarikh keramat
1, 2, 3 dan 4 Mac 1946 bermulanya inisiatif melahirkan UMNO di Istana Besar
Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Inilah peristiwa besar dalam sejarah bangsa
Melayu yang menjadi inti kepada perjuangan kemerdekaan. Kok dilipat sebesar
kuku, kok dibentang sebesar alam.
Selain daripada peristiwa
perpaduan Melayu, elok juga anak-anak muda diberitahu mengenai 31 Ogos 1957
sebagai tarikh kemerdekaan. Tarikh berkenaan dicadangkan oleh Pemuda UMNO
kemudiannya dilanjutkan dengan kejayaan rombongan Tunku Abdul Rahman ke London
membuat tuntutan. Wakil-wakil Parti Perikatan berjaya mempengaruhi kerajaan
Inggeris yang terpaksa bersetuju dengan tarikh kemerdekaan tersebut apabila
dikemukakan ke pejabat Tanah Jajahan di London ketika itu. Inilah kemenangan
besar UMNO; Sekali mendayung dua tiga pulau terlangsung, sekali membuka pura
dua tiga hutang langsai.
Dua tahun
Walaupun manifesto parti
Perikatan dalam pilihan raya 1955 menekankan bahawa kemerdekaan dalam masa
empat tahun, tetapi rekod pencapaian Parti Perikatan berjaya merebut
kemerdekaan dalam tempoh dua tahun sahaja.
Justeru, apabila Tunku balik
dari London, beliau telah diberi sambutan gilang gemilang di Melaka di hadapan
ribuan rakyat bagi mengisytiharkan tarikh kemerdekaan.
Satu lagi peristiwa yang patut
dikenang ialah detik wakil Pemuda UMNO Mohd. Tahir Majid menurunkan bendera
Union Jack, dan Hamzah Alang menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu
(sekarang Jalur Gemilang) pada 30 Ogos 1957 jam 12 tengah malam di padang Kelab
Selangor (sekarang Dataran Merdeka).
Sebelum itu dalam satu
mesyuarat Exco Pemuda UMNO yang diadakan di rumah ketuanya ketika itu Sardon
Jubir, satu perutusan diterima daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaya, Sir Donald
Mac Gillivary meminta supaya tidak diadakan upacara menurunkan bendera Union
Jack.
Menurut alasan yang diberi oleh
Mac Gillivary, kemerdekaan dicapai melalui setitik dakwat dan sehelai kertas
bukan secara revolusi seperti berlaku di Indonesia yang menumpahkan darah serta
mengorbankan nyawa. Justeru adalah wajar maruah penjajah dipelihara dengan
mempertahankan bendera berkenaan.
Tak berganjak
Tetapi Pemuda UMNO tetap tidak
berganjak dengan keputusan mahu melakukan upacara simbolik menurunkan bendera
Union Jack dengan tidak menghiraukan saranan Mac Gillivary. Bagi Pemuda UMNO
bukanlah bertujuan menghina Inggeris, tetapi sebagai satu pernyataan; Biar mati
berkalang tanah, daripada hidup bercermin bangkai. Pemuda UMNO Selangor telah
ditugaskan membuat persediaan bagi upacara menurun dan menaikkan bendera.
Apabila Pemuda UMNO diberi tugas menurunkan bendera Union Jack, maka wakil
Wanita UMNO, Dasimah Ibrahim pula membawakan dulang berisi bendera Persekutuan
Tanah Melayu untuk dinaikkan.
Gema pekikan mereka daripada
ribuan rakyat tidak dapat ditahan-tahan lagi. Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul
Razak dan lain-lain pemimpin Parti Perikatan turut hadir di atas pentas
menyaksikan kemenangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan. Keesokan harinya di
Stadium Merdeka diadakan upacara penuh istiadat apabila dengan rasminya wakil
Baginda Queen, Duke of Kent menyerahkan kuasa dan pemasyhuran kemerdekaan
kepada Tunku Abdul Rahman yang mewakili negara dan bangsa menerima haknya
semula.
Istiadat tersebut dihadiri sama
oleh Yang di-Pertuan Agong, raja-raja dan seluruh pembesar-pembesar Melayu.
Sesudah sahaja peristiwa penting ini selesai dengan tidak berlengah-lengah
wakil Baginda Queen, Pesuruhjaya Tinggi British dan lain-lain pegawai Inggeris
yang berkaitan terus menaiki kapal terbang balik ke London.
Langkah ini sebagai simbolik
berakhirnya penjajahan mereka, dan menunjukkan negara ini bukan lagi di bawah
pengaruh atau mengikut telunjuk British lagi. Tetapi setelah berlalu tempoh
masa 42 tahun, banyak perkara yang dilupakan kalau tidak diulang kaji semula.
Nasib baik
Sebenarnya kita bernasib baik
mendapat pemimpin-pemimpin yang bijaksana dalam mentadbirkan negara ini dalam
perjuangan merebut kemerdekaan hinggalah kemerdekaan dicapai selama 42 tahun.
Jasa-jasa mereka tidak boleh dilupakan laksana: Harimau mati meninggalkan
belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama.
Betapa Datuk Onn berjaya
menyatupadukan orang Melayu dalam muafakat: Bersatu teguh, bercerai roboh.
Tetapi disebabkan di penghujung perjuangannya hasrat Datuk Onn bertentangan dengan
jiwa dan naluri orang Melayu, maka beliau meninggalkan UMNO untuk mencari
landasan baru. Malangnya beliau gagal bersama parti barunya Parti Negara.
Apabila Tunku Abdul Rahman
mengambil alih kepimpinan UMNO dalam tahun 1951, beliau mengambil langkah bekerjasama
dengan MCA dan MIC bagi mewujudkan negara berbilang kaum di bawah dasar Parti
Perikatan.
Melalui kerjasama inilah
kemerdekaan lebih mudah dicapai setelah Parti Perikatan mendapat mandat mutlak
dalam pilihan raya 1955.
Patah tumbuh
Di bawah kepimpinan Tunku
inilah, Tun Abdul Razak menjadi tangan kanan Tunku. Sumbangan Tun Razak dalam
pembangunan negara terutamanya di luar bandar amat besar maknanya kepada bangsa
Melayu. Sayangnya, beliau pergi meninggalkan kita dalam usia terlalu muda pada
tahun 1976 ketika berusia 54 tahun. Selepas kepimpinan Tun Abdul Razak tahun
1976, Tun Hussein Onn mengambil alih sebagai juragan melayarkan bantera negara.
Manakala sekarang kepimpinan negara kita dilanjutkan pula oleh Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad yang terkenal dengan wawasannya mahu melihat bangsa Melayu
setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi.
Sesungguhnya Malaysia adalah
model kepada negara-negara lain di dunia yang mempunyai etnik berbilang kaum.
Mereka berasa hairan bagaimana Malaysia boleh menyatupadukan rakyatnya di bawah
kepimpinan yang kolektif seperti yang sama-sama kita saksikan.
Penghinaan
Di sini ada baiknya saya bawa
anak-anak muda mengimbau kembali sejarah perjuangan yang berliku itu. Memang
kita akui tidak ada perjuangan yang tidak memakan korban. Pahit manis adalah
satu permainan para pejuang kerana: Kalau takut di lambung ombak, masakan
berumah di tepi pantai. Tidak sedikit keringat dan air mata yang telah tumpah
ke bumi.
Ketika Pemuda UMNO mencadangkan
slogan Hidup Melayu ditukar kepada Merdeka dalam tahun 1951, bukan sahaja
sindiran dilemparkan malah ejekan dan penghinaan diterima oleh UMNO daripada
pembesar-pembesar Melayu sendiri termasuk juga akhbar-akhbar tertentu.
Mereka menganggap perjuangan
yang ditumpukan kepada menuntut kemerdekaan itu kononnya belum layak kepada
bangsa Melayu, disebabkan kelemahan yang menyelubungi bangsa Melayu dalam semua
bidang termasuk pendidikan, ekonomi dan kekuatan mental. Ada pihak yang
berpendapat bagaimana mahu merdeka sedangkan ''buat sebatang jarum pun tak
tahu'' bagaimana nak merdeka, begitu sekali cetek pemikiran mereka dalam
menilai erti merdeka. Malah berbagai macam lagi ejekan dan penghinaan terhambar
dari mulut mereka bagi melemahkan perjuangan UMNO. Tetapi berkat ketabahan
pemimpin-pemimpin merevolusikan pemikiran rakyat, pejuang-pejuang yang tidak
pernah kenal penat lelah ini akhirnya dapat meyakinkan orang ramai dengan
penjelasan-penjelasan yang diberikan kenapa kita harus memegang teraju kemerdekaan.
Saya masih ingat lagi ketika
menentang Malayan Union pada tahun 1946, pejabat penerangan kerajaan Inggeris
telah menampal poster di kampung-kampung di mana gambar seorang Haji yang
memakai serban memegang tali teraju layang-layang berbentuk kubung (sejenis
binatang seakan-akan kelawar atau keluang).
Tangan kanan Haji itu memegang
teraju yang ditulis dengan perkataan huruf besar ''siapa pegang teraju'' -
sebagai sindiran yang amat tajam, bahawa orang Melayu tidak layak memegang
teraju. Ertinya tidak ada rupa orang Melayu hendak menentang Malayan Union dan
kerajaan Inggeris yang gagah perkasa.
Demikianlah penghinaan kepada
orang Melayu apabila digambarkan sebagai seorang Haji itu adalah orang Melayu
memegang teraju layang-layang kubung, tetapi sebenarnya ialah Inggeris sendiri.
Bagi jabatan propaganda itu hanya Inggeris sahaja layak mentadbirkan negara
ini.
Apa sahaja kebolehan orang
Melayu dianggap bukan saja oleh Inggeris malah segelintir pembesar-pembesar
Melayu sendiri belum yakin orang-orang Melayu sudah layak, semata-mata untuk
menghina bangsa Melayu. Tetapi tujuan perjuangan menuntut kemerdekaan kita
adalah benar dan suci. Allah s.w.t membantu perjuangan suci ini, dan sekarang
kita dapat nikmati dan wariskan kepada generasi seterusnya. Ingatlah pepatah
berikut:
Sekarang perahu sudah di air
dayung sudah di tangan, kayuhlah dengan cermat dan hati-hati supaya selamat
sampai ke seberang.
Bila berjalan janganlah
sentiasa mendongak ke langit, pandanglah sesekali ke bawah supaya tidak
terantuk kaki terkena akar kayu yang melintang.
Bila dah sampai ke seberang
jangan lupa pangkalan tempat mula berkayuh.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4S9zRh8p4
© Utusan Melayu (M) BhD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan