ARKIB : 31/08/1999
PERKATAAN merdeka sungguh
tinggi nilainya di pandang dari sudut kehidupan mahupun dari aspek kenegaraan.
Tiada manusia yang mahu
diperhambakan, begitu juga tiada rakyat mana-mana negara yang rela melihat
negara mereka dijajah. Dengan memahami kehendak semula jadi ini maka sejarah
negara-negara di Asia Tenggara yang dijajah berputar dalam arus yang sama iaitu
kebangkitan semangat menentang penjajahan dan mencari kemerdekaan. Hanya yang
membezakan di antara satu negara dengan negara yang lain ialah dari segi cara
dan jangka masa perjuangan itu mencapai tujuannya.
Kemerdekaan negara ini,
misalnya, dicapai dengan cara yang paling diplomatik melalui meja rundingan
antara tokoh-tokoh politik tempatan dengan pihak pemerintah Inggeris. Meskipun
hasrat merdeka tercapai agak lewat berbanding dengan negara-negara Asia
Tenggara yang lain seperti Indonesia (1945) dan Filipina (1946) namun satu
fenomena sejarah yang paling digeruni dapat dielakkan iaitu tiada pertumpahan
darah yang berlaku dalam proses ini, tidak sebagaimana yang menimpa negara
Indonesia.
Meskipun negara Malaysia
mencapai kemerdekaan secara aman, ia tidaklah bermaksud proses mendapat
kemerdekaan daripada pihak British berjalan dengan mudah. Seperti juga
pengalaman negara-negara lain, perjuangan ke arah kemerdekaan berlangsung dalam
rentetan proses yang panjang.
Di negara ini, proses ke arah
kematangan dan kebangkitan semangat nasionalisme ini sekurang-kurang telah
kelihatan sejak awal abad ke-20 atau mungkin lebih awal lagi. Rakyat tidak akan
memahami proses ini mahupun jerit perih golongan yang berjuang ke arah tersebut
selagi tiada sikap untuk membelek helaian-helaian buku sejarah yang memuatkan
kisah dan pengalaman mencari kemerdekaan 42 tahun yang lalu.
Oleh kerana kurang kefahaman
tentang proses sejarah ini maka kerapkali pendapat atau buah fikiran yang
dikeluarkan apabila ditanya tentang erti merdeka kelihatan tidak memadai.
Memahami erti merdeka sewajarnya menuntut kita mengingati kembali perjuangan
orang-orang yang berusaha membebaskan negara ini daripada pihak British.
Namun malang sekali, seringkali
yang lebih diingati ialah perjuangan orang-orang yang bernaung di bawah UMNO --
bagaimana orang-orang UMNO dengan kebijaksanaan dan semangat juang Datuk Onn
menentang gagasan Malayan Union yang diperkenalkan pada 1945 yang banyak
mencabul hak orang-orang Melayu dan sultan-sultan Melayu dan seterusnya membuka
jalan ke arah kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
Yang terpinggir dalam sejarah
lalu terpinggir pula dalam ingatan generasi kini ialah perjuangan orang-orang
yang lebih awal sedar tentang nasib bangsa seperti Ibrahim Yaacob dan Ishak
Haji Mohammad atau lebih dikenali dengan nama pena Pak Sako.
Berbanding dengan kemunculan
Datuk Onn sebagai pemimpin orang Melayu yang hebat dan suaranya didengar pihak
pegawai British tetapi sering dikaitkan dengan hubungan rapatnya dengan pihak
pegawai-pegawai British, Ibrahim dan Ishak, yang kemudiannya menubuhkan Kesatuan
Melayu Muda (KMM) pada 1937 merupakan self-made leaders.
Kedua-dua muncul dengan usaha
dan semangat juang tersendiri. Mereka berani menegur tindakan raja-raja Melayu
dan pembesar-pembesar Melayu yang membiarkan diri mereka dikuasai oleh
pentadbir-pentadbir British di Tanah Melayu.
Meskipun tidak bernasib baik
seperti Datuk Onn, perjuangan orang-orang ini haruslah diberi perhatian dalam
memahami perjuangan orang-orang Melayu ke arah kemerdekaan. Malah sejarah
membuktikan, dalam banyak segi, perjuangan nasionalisme selepas 1946 sebenarnya
mewarisi perjuangan yang dipelopori golongan awal 1930-an.
Memahami erti dan menghayti
nilai perjuangan generasi lama ini maka Hari Kebangsaan yang diadakan pada
setiap tahun haruslah disambut dengan penuh kesedaran dan keinsafan tentang
harga sebuah kemerdekaan. Inilah tujuan utama setiap negara mengadakan sambutan
Hari Kebangsaan.
Kemerdekaan bermaksud bebas
daripada penjajahan. Secara fizikal ia bermaksud berundurnya pihak penjajah dan
diganti oleh kewujudan sebuah pemerintahan oleh rakyat tempatan. Peleraian
penjajahan secara luaran ini menjadi peristiwa bersejarah bagi sesebuah negara
dengan turunnya bendera penjajah dan dicatat dalam buku sejarah dengan tarikh
yang tepat.
Orang ramai mudah menghafal
tarikh-tatrikh ini. Walau bagaimanapun merdeka juga mencakupi aspek lain yang
lebih penting - aspek dalaman.
Dari segi mental, sekalipun
penjajahan sudah berakhir 42 tahun yang lalu tetapi adakah jiwa kita merdeka?
Sebagai rakyat yang mengisi sebuah negara yang merdeka, sejauh manakah kita
sudah berjaya membebaskan diri daripada jajahan mental yang ditinggalkan oleh
pihak penjajah.
Dalam pemerintahan kolonial,
ideologi yang ditanamkan bahawa dasar-dasar mereka adalah yang terbaik dan
tidak perlu dipersoalkan. Istilah-istilah lembut seperti protection dan
Protected Malay States benar-benar berkesan dalam melindungi niat sebenar
sebuah misi penjajahan.
Perkara inilah yang didebatkan
dengan lantang oleh puak-puak kiri seperti Ibrahim Yaacob dan Pak Sako.
Justeru, dalam konteks sebuah negara merdeka, kebebasan bersuara dan
mempertahankan hak menjadi begitu penting dan bermakna.
Sebuah kerajaan yang telus dan
bertanggungjawab seharusnya ada dalam mana-mana sebuah negara yang merdeka.
Kedua-dua kerajaan dan rakyat harus bergandingan, penuh tolak ansur dan
menggunakan cara yang betul dan jujur dalam menguruskan tanggungjawab
masing-masing.
Kekhilafan dalam organisasi
hubungan pemerintahan-rakyat tentu sekali membawa bencana - tidak salah untuk
mengatakan ia akan mengulangi sejarah kejatuhan empayar kesultanan Melayu yang
hebat di abad ke-16 - iaitu Kesultanan Melayu Melaka.
Walau bagaimanapun bebas
daripada penjajahan asing, juga harus bermaksud bebas pula daripada warisan
feudal - warisan sebelum era kolonial. Feudalisme memperlihatkan, dari segi
ideologi, satu budaya pak turut.
Perintah raja itu pantang
diderhakai, perintah pembesar itu wajib dituruti. Jadilah orang kebanyakan
sebagai orang 'kelu', tidak berani bersuara apatah lagi mempersoalkan apa
sahaja yang berkait dengan untung nasib diri mereka.
Justeru, persoalan bangsa dan
arah tuju negara adalah sepenuhnya di tangan golongan ini. Menguasai pengertian
merdeka bagi anak-anak muda atau generasi pemerintahan kini haruslah keluar
daripada budaya-budaya yang mengongkong hak bersuara dan bertindak dan
mempertahankan nilai murni - mendahulukan soal bangsa dan negara melebihi
kepentingan peribadi.
Suara-suara orang muda atau
orang bawahan atau orang di luar politik perlu didengar. Kerajaan harus lebih
peka, lebih bersifat terbuka dan bertanggungjawab. Dan rakyat, sebaliknya,
sebagai akar sebuah pemerintahan atau negara juga perlu memiliki ciri-ciri yang
sama. Masing-masing harus bergerak dalam landasan yang wajar demi keamanan dan
kesejahteraan semua. Pendek kata, kedua-duanya, kerajaan dan rakyat mempunyai
kuasa dalam menentukan jatuh bangun dan hayat kemerdekaan sesebuah negara.
* Mahani Musa, Pensyarah di
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4SAWzUf5n
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan