ARKIB : 20/04/1999
PADA Sabtu lalu, saya
dikejutkan oleh dua panggilan telefon. Panggilan pertama dari adik kandung saya
di Muar, memaklumkan saya bahawa ibu sakit kuat dan saya perlu pulang dengan
serta-merta. Dalam masa saya kelam-kabut bersiap sedia hendak berlepas dengan
kereta (perjalanan dari Alor Setar ke Muar melalui lebuh raya mengambil masa
kira-kira 7 hingga 8 jam), saya terima panggilan kedua dari seorang peguam di
Alor Setar. Beliau (lulusan kumpulan pertama mahasiswa Kulliyyah Undang-Undang
Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Petaling Jaya) memaklumkan bahawa Tan Sri
Prof. Ahmad Ibrahim telah meninggal dunia dan bertanya di mana agaknya
jenazahnya akan dikebumikan. Saya maklumkan peguam itu, oleh kerana UIA telah
pun berpindah dari kampus asalnya di Petaling Jaya ke kampus barunya di Gombak,
dan Allahyarham Prof. Ahmad telah pun berpindah rumah ke kawasan yang
berdekatan dengan kampus baru universiti itu, sudah pasti pengebumian
jenazahnya tidak jauh dari kampus universiti tersebut.
Disebabkan urusan keluarga yang
tidak dapat saya elakkan itu, saya katakan kepada peguam itu bahawa amat sukar
sekali bagi saya untuk singgah di Gombak bagi maksud mengiringi jenazah
Allahyarham ke tanah perkuburan. Dalam pada itu, saya katakan kepadanya sudah
pasti sahabat-sahabat kita yang lain yang masih menetap di Kuala Lumpur dan di
sekitar Lembah Klang akan menziarahi kaum keluarga beliau dan kemudian
menghantar jenazahnya ke tanah perkuburan.
Pertama kali saya menemui
Allahyarham Prof. Ahmad ialah di awal tahun 70-an. Pada masa itu, beliau
menjadi Dekan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya sementara saya
bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara.
Disebabkan pada ketika itu,
salah seorang pensyarah kanan di fakulti itu (Prof. Nik Rashid, kini sudah
meninggal dunia) mahu berangkat ke luar negara untuk meneruskan pengajiannya di
peringkat sarjana, saya telah 'dipinjamkan' oleh Jabatan Peguam Negara untuk
mengajar secara sambilan di fakulti itu.
Tempoh saya mengajar di situ
tidaklah lama. Ia 'terhenti' dengan tiba-tiba apabila satu rusuhan pelajar
besar-besaran meletus di kampus (yang semua tahu apa sebab ia berlaku dan siapa
yang terlibat dalam rusuhan itu). Ekoran rusuhan itu, saya maklumkan kepada
fakulti bahawa saya tidak berminat untuk meneruskan khidmat saya di situ.
Dalam pertemuan kami yang
pertama itu, saya dapati Allahyarham Prof. Ahmad seorang yang peramah, lemah
lembut, suka senyum dan berhemah tinggi. Oleh sebab dia cepat mesra dengan
sesiapa sahaja, saya tidak merasa kekok atau serba kekurangan bila berbual
dengannya _ hingga saya terlupa buat seketika bahawa orang yang saya temui itu
adalah bukan sebarang orang. Sebelum ini Allahyarham pernah memegang jawatan
sebagai Peguam Negara Singapura dan menjadi duta negara itu di sebuah negara di
Asia Barat.
Pada masa 10 tahun selepas saya
meletak jawatan di Jabatan Peguam Negara (iaitu antara 1974 hingga 1984 semasa
saya meneruskan kerjaya saya di bidang undang-undang dan korporat), sekali
sekala saya ada menghubungi Allahyarham bila timbul keperluan. Bagi saya (dan
saya pasti bagi ramai lagi di kalangan peguam yang pernah pada satu ketika
menjadi 'muridnya'), Allahyarham Prof. Ahmad menjadi 'pakar rujuk' yang amat
senang sekali dihubungi, kerana Allahyarham senantiasa bersedia membantu dan
memberi buah fikirannya. Saya sering menggelar Allahyarham (bila kami di
kalangan peguam berbincang sesama sendiri) sebagai walking encyclopaedia of
Malaysian law (ensiklopedia bergerak undang-undang Malaysia).
Mulai 1984 hingga akhir 1989
(semasa saya memegang jawatan sebagai pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang
UIA), hubungan saya dengan Allahyarham bertambah rapat. Kadangkala sebagai anak
dengan bapa, kadangkala sebagai pelajar dengan gurunya (mentor), kadangkala
sebagai sahabat dengan sahabat. Dalam masa inilah saya mempelajari satu dua
rahsia kekuatannya _ kenapa dia diiktiraf oleh banyak pihak sebagai seorang
tokoh undang-undang yang amat disegani.
Allahyarham adalah seorang yang
suka membaca dan menulis. Bukan hanya setakat satu hobi. Malahan kadang kala
saya lihat sebagai satu obsession (obsesi).
Ramai antara kita yang suka
membaca, tetapi tidak semuanya rajin, tekun atau berani menulis. Ada juga di
antara kita yang suka menulis, tetapi tak semua yang suka menulis ini sanggup
atau mahu terus menerus membaca dan membuat kajian _ apatah lagi di
bidang-bidang yang tak ada kaitan dengan bidang pengkhususannya itu.
Allahyarham Prof. Ahmad tidak begitu. Kerajinan dan kesungguhan beliau, baik
menulis atau membaca, melampaui semua bidang _ baik sivil mahupun syariah, baik
bidang komersial, jenayah, perlembagaan, keluarga, atau apa sahaja.
Setiap kali bila saya
berkunjung ke pejabatnya dan bertanya kepada setiausaha peribadinya di mana
Allahyarham, jawapan yang saya terima ialah (jika Allahyarham tidak ada dalam
dewan kuliah atau menghadiri mesyuarat di luar kampus) salah satu antara tiga:
* Allahyarham ada di biliknya
sedang menulis
* Allahyarham ada di
perpustakaan sedang membaca, atau
* Sudah pulang ke rumah kerana
berehat sebentar.
Antara kita di kalangan
pensyarah di UIA, kita faham benar bahawa waktu selepas zuhur, Allahyarham
biasanya rehat (tidur) sebentar. Tak akan ada sesiapapun yang berani mengganggu
beliau dalam jangka waktu itu.
Pada satu hari saya bertanya
Allahyarham, ''Apakah rahsia di sebalik kesihatan Tan Sri?''. Allahyarham
senyum sahaja, enggan menjawab. Saya tanya soalan itu kerana saya lihat
Allahyarham sentiasa sihat dan ceria, jarang-jarang sakit seperti kita (batuk
atau selesema dan sebagainya), dan walaupun usianya makin lanjut, saya tahu
Allahyarham tidak ada pantang larang bila makan. Walhal seleranya kadang kala
mengalahkan selera orang yang lebih muda.
Pada satu ketika semasa saya
berada di Sri Lanka bersamanya (kerana menghadiri satu persidangan), saya
mempelawanya makan malam di sebuah restoran. Makanan special yang saya pesan
pada malam itu ialah kari kepala ikan. Barang siapa yang sudah biasa makan lauk
kari di Sri Lanka, akan tahulah betapa pedasnya masakan orang di negara itu. Namun
begitu, saya lihat Allahyarham makan dengan penuh selera, setanding dan tak
kalah dengan selera saya dan kawan-kawan lain.
Juga pada satu ketika lain,
Allahyarham mengajak saya makan murtabak bersamanya di sebuah restoran
kegemarannya di Singapura. Tak cukup dengan apa yang dimakan di situ,
Allahyarham menasihatkan supaya saya membawa bekal pulang untuk anak-anak. Kata
beliau, sudah pasti isteri dan anak-anak saya akan sukakannya.
Berbalik kepada rahsia
kesihatannya, setelah puas bertanya, akhirnya saya peroleh rahsia tersebut.
Pertama, Allahyarham Prof. Ahmad jarang sekali putus wuduk (tidak batal air
sembahyang). Kedua, setiap hari, selepas zuhur, Allahyarham mesti tidur buat
seketika. Tidak perlu tidur lama, 15 minit sudah memadai. Yang penting mesti ada
masa untuk benar-benar rehat. Ketiga, setiap petang antara asar dan maghrib
(kecuali masa dan tugas rasmi tidak mengizinkan), Allahyarham membuat riadah
secara mudah (simple walking exercise di kawasan pekarangan rumah). Dan
keempat, akhir sekali, Allahyarham pastikan dirinya tidur awal (tidak pernah
tidur lewat).
Yang rumitnya bila kita melawat
ke luar negara dengan Allahyarham ialah disebabkan Allahyarham sudah masuk
tidur awal-awal lagi, sebelum subuh Allahyarham sudah bangun untuk wirid dan
membaca di biliknya. Sebaik sahaja masuk waktu subuh, Alalhyarham akan mengetuk
pintu kita supaya kita ramai-ramai boleh menunaikan fardu subuh bersamanya. Dan
bila kita sembahyang berjemaah, jarang sekali Allahyarham yang menjadi imam.
Pada saya, kekuatan Allahyarham
Prof. Ahmad adalah pada ilmu yang ada padanya, dan kesanggupannya untuk terus
mengajar dan mendidik orang lain. Allahyarham bukan seorang pemidato (public
speaker) yang hebat. Malahan ramai di kalangan bekas pelajarnya yang mampu
memberi pidato yang lebih baik daripadanya. Kekuatan Allahyarham bukan pada
public speaking. Kekuatan beliau adalah pada penulisannya yang sentiasa
mencerminkan ilmu yang ada di dadanya.
Jika kita selidiki latar
belakang di sebalik penggubalan berpuluh-puluh enakmen Islam di semua negeri di
negara kita ini, kita akan diberitahu peranan Allahyarham Prof. Ahmad. Jika
baca makalah undang-undang Islam di mana-mana jurnal undang-undang, kita tak
akan dapat lari daripada rencana dan makalah yang dihasilkan olehnya. Jika
tanya semua pelajar undang-undang yang lulus dari mana-mana universiti
tempatan, kita akan jumpa 'anak didiknya' (sama ada yang diajar olehnya sendiri
atau setidak-tidaknya telah mempelajari buku teks yang dihasilkan olehnya).
Bagi pemimpin negara ini,
kematian Allahyarham adalah satu kehilangan yang besar. Bagi Mahkamah Syariah
di negara ini, pemergiannya sudah pasti susah dicari ganti. Bagi saya, jasadnya
sahaja yang sudah tidak ada lagi. Tapi suara Allahyarham, buah fikiran
Allahyarham, nasihat Allahyarham, tulisan Allahyarham _ semua ini akan tetap
kekal bersama saya hingga ke akhir hayat. Allahyarham Prof. Ahmad tidak akan
mati selagi 'anak-anak muridnya' masih hidup.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4RbUOI7LI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan