ARKIB : 04/06/2000
KEMESRAAN terjalin antara
Aishah dan keluarga dengan waris-waris Wan Yahya.
Bagai sirih pulang ke gagang,
sebaik menjejakkan kaki di Langkawi, generasi ketujuh Mahsuri, Aishah Nawawi
serta enam ahli keluarga dan saudaranya, sudah berhadapan dengan kejutan.
Tanpa diduga, mereka diberi
sambutan hebat di mana sahaja pergi, baik di Lapangan Terbang Antarabangsa
Langkawi, Kampung Buku Malaysia, Makam Mahsuri hinggalah di Laman Padi.
"Saya tak tahu nak kata
apa, cakap 'terima kasih' pun bunyi terlalu kecil, tak terbalas langsung,''
kata Wan Nawawi Wan Hashim, bapa Aishah.
Saat paling manis bagi mereka
sekeluarga ialah kesempatan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad pada majlis pelancaran Fiesta Langkawi dan buku Legends of Langkawi
pada 31 Mei lalu.
Waktu yang menyentuh perasaan ialah
semasa di Makam Mahsuri serta pertemuan yang diatur oleh Kumpulan Utusan dengan
generasi Datuk Pekerma Jaya atau Wan Yahya, abang kepada suami Mahsuri, Wan
Derus.
Hukuman terhadap Mahsuri yang
dijatuhkan oleh Wan Yahya semasa menjadi penghulu Langkawi pada 1819,
meretakkan perhubungan kedua-dua pihak selama enam keturunan. Pada malam 1 Jun
lalu, kemesraan antara mereka bersaudara itu, terjalin semula.
Matlamat Kumpulan Utusan
membawa keluarga itu ke Langkawi telah tercapai. Perhatian masyarakat, malah
kerajaan kini sudah diperoleh. Masa depan Aishah juga semakin terjamin dengan
adanya tabung pendidikan untuknya.
Begitulah tarikan yang ada pada
warisan sejarah Mahsuri. Legenda itu sendiri, kini ditandingi oleh generasinya
yang ketujuh, Aishah dengan wajah dan personaliti yang ceria.
Orang ramai yang
ternanti-nantikan Aishah, tidak melepaskan peluang untuk bergambar, tidak kira
tua atau muda. Hajat mereka tercapai kerana Aishah, biarpun pernah menangis
keletihan, tidak sesekali menolak permintaan, malah sentiasa melayan dengan
senyuman.
Begitu tingginya daya tarikan
Aishah, sewaktu dia ditemu ramah Radio Malaysia Langkawi, stesen itu menerima
panggilan masuk tanpa henti daripada para pendengar selama sejam sesi itu
berlangsung.
Ramai yang bertanyakan latar
belakang gadis manis ini. Dia sebenarnya seorang gadis yang simple, dari
berpakaian hinggalah soal peribadi. Dia sukakan warna putih kerana suci,
bermain bola tampar sebagai cara untuk bergaul dan jika mempunyai peluang,
makan di restoran KFC.
Aishah meminati Malaysia
khususnya Langkawi bukan semata-mata kerana pulau ini tanah tumpah darah
Mahsuri. Sebaliknya, dia melihat negara ini lebih ciri 'kemelayuan' dan peluang
pendidikan yang luas dengan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.
Dia juga ingin ke Malaysia
untuk mempelajari agama Islam. Katanya, di Phuket bukan seperti kawasan selatan
Thailand yang lain, agama Islam tidak diajar secara meluas. Kelas agama di
masjid cuma hujung minggu sementara di sekolah pula tiada kelas formal.
Gadis ini tidak suka mendesak
kerana sedar keluarganya bukan daripada kalangan yang berkemampuan. Bapanya
cuma pemandu 'tut-tut' (teksi), ibunya Sumaini Karim ialah perbersih bilik hotel.
Bila kekurangan pelancong,
pasangan itu terpaksa berkongsi wang untuk menampung perbelanjaan harian.
Namun, kehidupan ala kadar
keluarga Nawawi ini bukanlah faktor penggerak pada masyarakat termasuk kerajaan
Malaysia dalam menyatakan kesediaan menerima mereka sebagai penduduk tetap di
Langkawi.
Apa yang lebih penting ialah
kedudukan mereka daripada segi sejarah. Mereka dianggap keturunan yang sahih
mengikut pengkaji termasuk Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah. Atas
kepentingan ini juga, mereka popular di Thailand, apatah lagi ibu bapa Mahsuri,
Pandak Mayah dan Mahurai berasal dari negara itu.
Seperti kata Ahli Exco Kedah
yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Padang Matsirat, Md. Hasan Bulat:
"Daripada orang datang ke Langkawi sekadar tengok pusara, lebih baik
mereka dapat melihat dan mengenali keturunan Mahsuri itu sendiri.''
Sehubungan itu, banyak pihak
sedia memberi tempat pada keluarga ini untuk menjadi warganegara Malaysia
termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri yang berkata:
"Kita akan pertimbangkan jika mereka setuju tinggal di sini. Tapi tiada
paksaan.''
Namun satu persoalan yang
menarik perhatian ramai dan masih belum terjawab lagi ialah apakah dia
keputusan keluarga itu tentang berhijrah ke Langkawi.
Nawawi meletakkan masalah
pekerjaan, rumah, persekitaran baru dan berpisah dengan saudara-mara di Phuket
sebagai alasan untuk berfikir panjang dalam berkira-kira untuk menetap secara
kekal di Langkawi.
Dia juga keberatan membenarkan
Aishah melanjutkan pelajaran di Malaysia selagi pendidikan menengah anak
gadisnya itu di Phuket belum tamat.
Mungkin ini adalah halangan
awal, biarpun penyelesaiannya pasti boleh ditemui jika mereka bersetuju memilih
Langkawi. Lagi pula, Langkawi dan Phuket bukanlah jauh untuk berpisah dengan
sanak saudara. Semuanya boleh berubah kecuali warisan sejarah yang ada pada
mereka.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4TkKwqT3O
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan