Khamis, 15 Disember 2016

Mangsa Bukit Kepong wajar diberi penghargaan

SEJARAH
ARKIB : 27/02/2000
MUAR 26 Feb. _ Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin, berpendapat anggota-anggota polis yang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan pengganas komunis pada 23 Februari 1950 wajar diberi penghargaan.

Katanya, beliau sendiri akan membincangkan perkara tersebut dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Dalam Negeri tidak lama lagi.

Menurutnya, setakat ini beliau tidak mengetahui sama ada pihak PDRM atau lain-lain pihak pernah memberi sebarang penghargaan kepada anggota polis terbabit termasuk seorang daripadanya, Yusuf Rono, 70, yang masih hidup.

Zainal berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan empat kerusi roda kepada bekas polis anjuran Persatuan Bekas-bekas Polis Malaysia bahagian negeri Johor di sebuah hotel di sini hari ini.

Kelmarin Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Serampang, Tahir Mohamad Taat, mencadangkan kepada pihak berkenaan supaya menganugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) kepada Yusuf Rono dan 19 orang anggota polis yang terkorban dalam peristiwa tersebut.

Menurut Zainal, mereka yang membuat pengorbanan besar untuk mempertahankan negara itu memang wajar diberi penghargaan sebagai mengenang jasa perjuangan mereka.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_05.htm#ixzz4Sz6hI5tn © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan