Khamis, 8 Disember 2016

Dua juta rakyat Malaysia sertai Program Berjalan Untuk Negara

ARKIB : 14/09/1999
LEBIH dua juta rakyat Malaysia dijangka menyertai program Berjalan Untuk Negara sebagai tanda sokongan terhadap usaha menganjurkan Sukan Asia ke-15, Kuala Lumpur 2006, lapor LAWRENCE QUEK.

Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, program itu akan diadakan pada 6 November ini melibatkan semua peringkat daripada persekutuan, negeri, daerah, mukim dan kampung.

Menurutnya, pembabitan secara beramai-ramai dan menyeluruh akan menjadi mesej kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) bahawa Malaysia bersedia menjadi tuan rumah.

Beliau menjelaskan, sokongan rakyat amat penting bagi menjayakan penganjuran sukan itu seperti yang dibuktikan pada Sukan Komanwel XVI, Kuala Lumpur 1998, tahun lalu.

''Kita akan gerakkan kempen ini dan berharap mulai sekarang lebih ramai berusaha mendaftarkan diri sebagai peserta.

''Borang pun sudah mula kita edar ke sektor awam seperti kementerian-kementerian,'' kata Muhyiddin kepada pemberita selepas merasmikan laman web Sukan Asia Kuala Lumpur 2006 bersama Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd. Khalil Yaakob di Angkasapuri, Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu beliau menghadiri pelancaran kempen Berjalan Untuk Negara peringkat Kementerian Penerangan yang dirasmikan oleh Mohd. Khalil.

Berhubung kempen melobi hak menjadi tuan rumah Sukan Asia ke-15, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengemukakan pembentangan cadangan itu kepada OCA pada mesyuaratnya November ini di Qatar.

Menurut beliau, sebelum itu pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan wakil OCA negara-negara tertentu bagi memberi penjelasan mengenai hasrat Malaysia.

Tambahnya, usaha juga sedang dibuat untuk mengadakan pertemuan dengan duta negara-negara Asia di Kuala Lumpur yang sudah menyatakan hasrat masing-masing untuk menjadi penganjur.

Muhyiddin memberitahu, langkah itu diambil bagi menjelaskan kesungguhan dan hasrat kerajaan untuk menjayakan sukan itu di negara ini.

''Kita nak beri mesej yang kuat kepada negara yang turut menyatakan hasrat mengenai penawaran Malaysia menjadi tuan rumah melalui duta-duta yang ada di sini,'' ujarnya.

Mohd. Khalil semasa merasmikan kempen Berjalan Untuk Negara menyatakan keyakinan bahawa Kuala Lumpur mampu menjadi pilihan utama.

Beliau memberitahu, dengan adanya kemudahan bertaraf antarabangsa Malaysia mampu bersaing dengan India, Qatar, Syria, Hong Kong dan Jakarta.

Menurutnya, jemaah menteri turut memberi kelulusan yang diperkuatkan lagi oleh sumbangan kewangan sektor korporat dan semangat rakyat.

''Kempen ini akan diadakan di setiap kota dan desa antara sejauh dua hingga empat kilometer sebagai sokongan simbolik.

''Ini juga merupakan kali pertama kempen seumpama ini diadakan di negara ini dan mungkin juga di dunia,'' tambah Mohd. Khalil.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SG0q4onl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan