WARTAWAN SINAR HARIAN
28 DISEMBER 2016
Rahsia kehebatan Pawang Nong
Makam Pawang Nong yang bernisankan batu hidup. Gambar kecil: Pawang Nong.
Rahsia kehebatan Pawang Nong
JERANTUT - Mungkin ramai
khususnya golongan muda tidak mengenali siapakah itu Pawang Nong, atau nama
sebenarnya Haji Nong Taib Santan.
Masyarakat biasa didendangkan
dengan nama pahlawan Tanah Melayu seperti Mat Kilau dan Tok Gajah, namun masih
belum ‘biasa’ dengan nama Pawang Nong.
Namun bagi mereka yang tahu dan
mengikuti sejarah pejuang Melayu zaman Jepun dan komunis, tokoh sejarah ini
dikenali dengan bentuk fizikalnya berketinggian sekitar 5 kaki 3 inci, berdada
tegap, dan mempunyai senyuman yang tidak pernah lekang di bibir.
Malah penduduk Kampung Ulu
Cheka menggambarkan pahlawan ini bukan sahaja seorang yang peramah, malah
beliau sangat sukakan kanak-kanak.
Menjejaki sejarah Pawang Nong
bukanlah sukar kerana makamnya ditempatkan bersebelahan dengan Masjid Kampung
Ulu Cheka, Jerantut.
Pawang Nong dilahirkan pada
tahun 1874 di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Benta dan beliau merupakan
individu yang bertanggungjawab membuka Kampung Ulu Cheka bersama tujuh
rakannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan
dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ulu Cheka, Nazri Che Husin yang juga
cucu saudara Pawang Nong sendiri memberitahu, dia sempat bertemu dengan Tok
Pawang Nong (gelaran untuk Pawang Nong) sebelum pahlawan itu meninggal dunia.
Menurutnya, Pawang Nong
bersahabat baik dengan pahlawan terkenal Mat Kilau, namun mempunyai sejarah
perjuangan yang agak berbeza.
“Mat Kilau berjuang menentang
penjajah, namun bagi Pawang Nong, perjuangannya menentang tentera Jepun dan
komunis.
“Pawang Nong beranikan diri
meadakan rundingan dengan Pesuruhjaya British bagi dapatkan bantuan senjata
untuk diberikan kepada penduduk supaya mereka dapat menentang tentera Jepun dan
komunis ketika itu.’,” katanya.
Menurutnya, hasil dari
rundingan itu, penduduk Ulu Cheka dibekalkan senjata dan ditubuhkan pasukan
homeguard sebagai pertahanan kampung
termasuk untuk keluar membeli makanan di Kampung Damak, Kuala Lipis dan
juga Kuala Kubu, Selangor.
Bercerita lanjut tentang
kehebatan Pawang Nong, Nazri memberitahu, beliau memiliki ilmu persilatan yang
tinggi iaitu ilmu silat cekak yang kini dikenali sebagai silat seni Melayu
Pahang.
Katanya, kehebatan seni silat
Pawang Nong dikenali umum sehinggakan ramai yang bertemunya untuk berguru.
“Pawang Nong juga sering jadi
tempat rujukan termasuk dari kalangan pemimpin dan pembesar antaranya Perdana
Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dan
juga sultan ketika itu, Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah Ibni
Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mutasim Billah Shah,” katanya.
Beliau berkata, Pawang Nong
mendapat gelaran Pawang bukan sahaja kerana ilmunya yang dikatakan boleh
mengubati orang namun atas pelbagai pengetahuan yang dimilikinya.
Nazri juga berkata, Pawang Nong
terlibat dengan tiga peperangan bersama tentera Jepun dan Komunis sekitar tahun
1948 sehingga tahun 1952 iaitu peperangan di Terbol, Bukit Batu dan di Perlok
di mana peperangan di Perlok adalah peperangan yang paling hebat ketika itu.
Penglibatan Pawang Nong dalam
peperangan di Perlok diceritakan dalam buku bertajuk Askar Melayu 50 Tahun
tulisan Tan Sri Abdul Samad Idris.
Atas kehebatan menentang
penjajah Jepun dan komunis beliau diberi pengiktirafan menerima pingat British
Empayar Medal (BEM) yang dihantar sendiri Jeneral Sir Gerald Templer selain
menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK)
daripada Kerajaan Persekutuan serta Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dari Pahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan