Jumaat, 2 Disember 2016

Bekas pelajar Kwang Hua bakal cipta sejarah


 

ARKIB : 06/05/1999
PENGGERAK utama pengembaraan 4x4 Merentasi Tibet '99, Teng Choon Kwang (kiri) dan K.C. Beh yang akan meninjau laluan perjalanan pada 8 Mei ini.

MALAYSIA bakal mencatat satu lagi sejarah dalam pengembaraan lasak pacuan empat roda (4x4) merentasi negara asing apabila Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tinggi Kwang Hua Malaysia menganjurkan Ekspedisi Merentasi Tibet '99 (Passage to Tibet '99), Ogos depan.

Pengembaraan pemanduan 4x4 yang akan bermula di Kuala Lumpur sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos depan itu akan melalui empat negara yang melibatkan jarak keseluruhan lebih 10,000 kilometer dalam masa 40 hari.

Pengerusi projek, Teng Choon Kwang berkata, perjalanan yang akan bermula di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu akan melalui Thailand, Laos dan beberapa Wilayah selatan China termasuk Mengla, Kunming menuju ke Tibet dan berpatah balik ke Kuala Lumpur.

Ekspedisi Merentasi Tibet '99 merupakan program susulan rakyat Malaysia selepas mencapai kecemerlangan dalam Ekspedisi 4x4 Mongolia pada 1996 dan 4x4 TransAfrika tahun lalu.

Choon Kwang berkata, program tersebut mula dirancang selepas menyaksikan kejayaan cemerlang pasukan Ekspedisi Mongolia.

''Pengembaraan kali ini menghadkan kepada 16 buah kenderaan sahaja dan setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM12,000 seorang serta mesti memiliki 4x4 berkondisi terbaik dan lengkap dengan kemudahan pengembaraan lasak,'' katanya di majlis pelancaran Ekspedisi Merentasi Tibet '99 yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Teng Gaik Kwan, semalam.

Kemuncak pengembaraan Merentasi Tibet '99 nanti ialah memandu pada laluan berliku mendaki serta menuruni kecuraman pergunungan Tibet sehingga ke 'Base Camp' di Everest.

Sebelum itu, Choon Kwang dan pengarah projek, K.C. Beh akan membuat tinjauan mengenai laluan pengembaraan berkenaan pada 8 Mei ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RjQulxl3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan