Selasa, 6 Disember 2016

Rahman tidak tolak pemain jual permainan

ARKIB : 08/08/1999
JURULATIH Malaysia, Abdul Rahman Ibrahim tidak menolak kemungkinan ada pemain skuad bola sepak negara yang beraksi pada Sukan SEA XX Brunei, terbabit dalam skandal mengatur perlawanan.

Bagaimanapun menurut Rahman, anak buahnya tidak menunjukkan sebarang gerak-geri yang mencurigakan untuk dikaitkan dengan tuduhan menjual perlawanan sepanjang pengawasan beliau.

Beliau turut mempertahankan pemain negara dengan berkata, adalah salah menuduh mereka terbabit dengan gejala tidak bermaruah itu, tanpa bukti yang kukuh.

''Saya tidak menafikan bahawa mereka boleh terjerat dalam gejala itu tetapi menuduh pemain mengambil rasuah adalah satu tuduhan yang berat sesudah mereka tidak mempamerkan tahap kemampuan sebenar.

''Saya kecewa dengan tuduhan seumpama itu kerana ia membabitkan maruah keluarga, persatuan selain diri pemain sendiri,'' katanya di Bandar Seri Begawan, semalam.

Rahman berkata demikian ketika ditanya kemungkinan pemain-pemain di bawah bimbingannya terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan selepas mengalami kekalahan terburuk 0-6 kepada Indonesia pada perlawanan kumpulan B, Isnin lalu.

Menurut jurulatih itu, tidak wajar setiap kali pasukan kebangsaan kalah, pemain cepat dicap sanggup menggadai maruah dengan menerima rasuah.

''Kenapa setiap kali kalah, anda kaitkan dengan rasuah. Kalah dengan New Zealand (1-5) dikatakan rasuah, malah dengan Arsenal (0-2) sekalipun dikatakan rasuah.

''Tidak adil jika menuduh mereka tanpa bukti,'' tambahnya.

Sukan Utusan semalam melaporkan sepasukan pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia telah bergegas ke Bandar Seri Begawan untuk menyoal siasat beberapa pemain yang disyaki terbabit dengan kegiatan itu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Zaki Husin kelmarin menafikan menghantar pegawai mereka ke Brunei sebaliknya berkata, siasatan itu kemungkinan dilakukan oleh biro rasuah negara itu.

Sementara itu, Pengarah Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei, Datuk Paduka Awang Yahya gagal dihubungi untuk mengulas perkara itu.

Bagaimanapun, jurucakap pejabat biro berkenaan berkata, setiap perkara yang membabitkan rasuah di negara itu akan disiasat dengan segera.

''Mungkin ada kebenaran pegawai di biro kami sedang menyiasat keadaan itu,'' tambahnya.

Daripada sumber polis yang diperoleh, keputusan perlawanan antara Malaysia-Indonesia pada Isnin lalu di Stadium Balapan dan Padang, telah diatur di Malaysia sebelum temasya itu berlangsung. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4S7t2Q7vD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan