Ahad, 11 Disember 2016

Hadi Awang angkat sumpah jawatan MB

ARKIB : 03/11/1999
KUALA TERENGGANU 2 Dis. - Menteri Besar Abdul Hadi Awang hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua kerajaan negeri Terengganu yang baru.

Abdul Hadi yang berpakaian jubah hitam dan berserban putih mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu di Istana Maziah, di sini pada pukul 9.20 pagi.

Istiadat dimulakan dengan pengisytiharan pelantikan Menteri Besar dengan mambaca surat tauliah oleh ketua istiadat istana, Tengku Seri Indera Raja, Raja Zainal Karib Shah Raja Harun Al-Rashid.

Ini diikuti dengan Abdul Hadi membaca ikrar sumpah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan menandatangani surat sumpah pelantikan.

Abdul Hadi menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berikutan kemenangan Pas pada pilihan raya umum Isnin lepas.

Hadi mengumumkan, beliau turut mewujudkan satu portfolio baru, iaitu Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Bukan Islam selain membuat rombakan dan pertukaran nama bagi beberapa portfolio sebelum ini.

Portfolio mengenai Pembangunan Sains, Teknologi, Pengajian Tinggi, Pembangunan Manusia dan Hal Ehwal Agama Islam telah dimansuhkan dan peranannya diambil alih oleh Jawatankuasa Pendidikan yang kini turut menAnggung tugas berkaitan dakwah dan pelaksanaan syariah.

Seramai 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baru turut mengangkat sumpah termasuk dua Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Wan Abdul Mutalib Embong dan Harun Taib.

Wan Abdul Mutalib ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk sementara Harun anggota Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Manir.

Anggota lain yang dilantik sebagai Exco ialah Setiausaha Pas Negeri, Mustafa Ali, Ahli DewAn Undangan Negeri Kawasan Pengkalan Berangan yang dilantik Exco kanan dan Awang Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Cukai yang mengalahkan Wan Mokhtar pada pilihan raya umum lalu.

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain ialah Abu Bakar Chik, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Batu Rakit, Yahaya Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Alur Limbat, Abu Bakar Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepuh, Tun Mohd. Salleh Abas, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jertih, Mohd. Abdul Wahid Endut Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Wakaf Mempelam dan Wan Hassan Mohd. Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sura.

Pas memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan pada pilihan raya umum lalu manakala empat lagi kerusi dimenangi Barisan Nasional.

Parti itu juga memenangi tujuh daripada lapan kerusi Parlimen sementara yang satu lagi dimenangi Keadilan. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4SaXNBnw1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan