Selasa, 20 Disember 2016

Pak Samad nyawa sastera negara

ARKIB : 04/05/2000
SEBENARNYA Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) satu-satunya satu 'manusia sastera' yang menghidupkan sastera Malaysia. Percayalah, tanpa Pak Samad 'sastera dan bersastera' dalam konteks 'hidup' akan sepi dan lesu.

Lihat saja mana sasterawan yang bergerak bebas seperti Pak Samad yang berkarya tanpa 'ada kasta'. Generasi lama dan baru dilihat sebagai satu kesatuan karyawan yang tidak dipisahkan oleh nama. Sesungguhnya kita banyak berguru dengannya.

Selain itu, tidak ada 'politik sastera' dalam diri Pak Samad. Sastera adalah untuk masyarakat dan sastera juga untuk sastera. Percayalah tindakannya untuk bersara daripada menghasilkan karya sastera yang diumumkan baru-baru ini seperti melumpuhkan sendi dan urat sastera yang bergerak (bukan sastera statik). Sastera bergerak adalah hidup sastera statik pula hanyalah di akhbar dan majalah.

Dalam perkembangan kesusasteraan kontemporari Malaysia jasa Pak Samad tidak wajar dipandang dengan sebelah mata sahaja. Sesungguhnya sumbangan penulisan dalam pelbagai genre amat besar.

Tulisan-tulisan kemanusiaan, ketuhanan dan romantisme telah memberi nyawa kepada sastera Malaysia. Pelbagai pendekatan dan gaya penulisan diketengahkan.

Dan, nama Pak Samad sendiri merupakan satu contoh hidupnya sastera di negara ini, mewakili beberapa zaman. Bermula di era pramerdeka, pascamerdeka hingga era pembangunan kini.

Lebih 50 tahun Pak Samad telah mengabdikan dirinya dalam sastera dan tidak sedikit menghadapi zaman jatuh bangun yang begitu memeritkan. Tapi itulah seorang sasterawan besar yang tidak pernah serik menghadapinya.

Tetapi kenapakah seorang sasterawan besar yang sangat sinonim dengan sastera Malaysia tiba-tiba mengumumkan untuk bersara ketika khalayak masih memerlukan sumbangannya?

Persoalannya apakah Pak Samad melihat sastera dan birokrasinya sebagai Shit. Dengan lain perkataan, struktur persekitaran pengkaryaannya merupakan 'bahang' yang sukar untuk dihadapi.

Atau mungkin dunia sastera Malaysia hari ini penuh dengan pelbagai kerenah yang begitu memenatkan untuk dihadapi oleh seorang karyawan 'tua' berusia 65 tahun seperti Pak Samad.

Mungkin, Pak Samad juga merasakan sudah tiba masanya beliau memberi laluan kepada generasi muda yang lebih sarat dengan pelbagai gagasan dan idea baru.

Juga dapat dipertanyakan, apakah dunia sastera Malaysia hari ini menuntut pembaharuan dalam konteks pengkaryaan. Dengan lain perkataan, aspek-aspek konvensional oleh penulis-penulis seperti Pak Samad sudah ketinggalan zaman.

Ini terbukti dengan karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan Di Mana Setangginya sudah kehilangan baunya untuk dipentaskan di Istana Budaya, berbanding dengan naskhah penulis lain.

Hasilnya naskhah itu dipinggirkan daripada perancangan asal untuk pementasan sempena pembukaan Istana Budaya tahun lalu.

Dan, Pak Samad juga pernah dikecewakan. Dulu beliau kecewa salah satu bukunya terlalu sukar untuk diterbitkan. Namun, akhirnya berjaya juga ke pasaran atas inisiatif Johan Jaaffar.

Sesungguhnya persaraan Pak Samad seperti yang diumumkannya merupakan kehilangan yang tidak mungkin dicari ganti.

Setelah pengunduran ke dunia politik Shahnon Ahmad, keuzuran Usman Awang, usia Abdullah Hussein yang melangkaui 80 tahun dan 'kehilangan' Arenawati, sastera tanah air kehilangan terasnya.

Patut dipertanyakan bagaimana dan ke mana hala tuju sastera Malaysia di tangan generasi muda tanpa pemerhatian dunia sastera Malaysia hari ini.

Selepas Al-Amin, sebaiknya Pak Samad buka pondok mengaji al-Quran. itu adalah lebih baik daripada Pak Samad dibebani masalah yang merenyahkan hidupnya itu.

Jika Pak Samad sudah bersara saya cadangkan diwujudkan sebuah kerusi Pak Samad di mana-mana universiti sebagaimana kerusi Za'ba di Universiti Perguruan Sultan Idris.

Shahnon nampaknya sudah meninggalkan dunia sastera dan terjun ke dunia politik. Kita telah kehilangan seorang Sasterawan Negara. Kini, Pak Samad pula akan pergi meninggalkan sastera kerana penatnya.

Saya harap pihak atasan melihatnya. Saya sokong jika ramai sasterawan yang mogok dan mahu bersara kerana mereka telah penat menjerit dan menangis. Mari kita sama-sama buka pondok mengaji al-Quran.

Saya pun rasanya mahu mogok sebab drama saya yang menang, Wayangan Mak Nang sudah hampir 10 tahun tidak terbit! - WAN AHMAD ISMAIL Kuala Terengganu

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4TOtcRO4S © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan