ARKIB : 27/08/1999
DR. MAHATHIR Mohamad memegang
ikrar daripada siswazah ITM yang diserahkan kepada beliau pada Perhimpunan
Perdana Siswazah ITM bersama Perdana Menteri di Shah Alam, semalam. - Gambar
UTUSAN.
SHAH ALAM 26 Ogos - Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, hari ini mengumumkan kenaikan taraf
Institut Teknologi MARA (ITM) kepada sebuah universiti dan menukar namanya
kepada Universiti Teknologi MARA (UTM).
Menurutnya, kenaikan taraf ini
sesuai dengan peranan besar ITM dalam pembangunan negara.
Beliau bagaimanapun menegaskan,
pertukaran nama itu tidak akan melibatkan perubahan dalam dasar institut itu
yang hanya terbuka kepada pelajar-pelajar Melayu serta bumiputera Sabah dan
Sarawak sahaja.
Katanya, langkah itu sesuai
dengan kejayaan dan peranan ITM yang sudah 43 tahun dalam bidang pendidikan
tinggi dan melahirkan banyak graduan yang menyumbangkan ke arah pembangunan
negara.
Pengumuman Perdana Menteri itu
disambut dengan tepukan gemuruh oleh lebih 15,000 siswazah dan pelajar ITM yang
menghadiri Perhimpunan Perdana Siswazah ITM bersama Perdana Menteri di Stadium
Malawati, di sini hari ini.
Perhimpunan yang julung kali
diadakan itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abu Hassan
Omar; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak; Pengarah ITM, Tan Sri Ir.
Ahmad Zaidee Laidin serta bekas-bekas Pengarah ITM iaitu Tan Sri Arshad Ayob
dan Tan Sri Dr. Awang Had Salleh.
Pengumuman Perdana Menteri itu
juga merealisasikan hasrat beberapa orang pemimpin ITM sebelum ini yang mahukan
institut itu diberi taraf universiti.
Cadangan pertama untuk itu
telah dikemukakan oleh bekas pengarahnya, Arshad Ayub.
Hasilnya, pada tahun 1996 Akta
ITM telah dipinda bagi membolehkan ia berfungsi seperti universiti-universiti
awam lain.
Najib, ketika ditanya sama ada
penggunaan nama UTM akan berkuat kuasa serta-merta memberitahu: ''Dari segi
perundangan belum lagi tetapi untuk penggunaan biasa ia sudah boleh dipanggil
UTM.''
Katanya, sedikit pindaan akan
dibuat pada Akta ITM untuk mengesahkan ia sebagai sebuah universiti secara
perundangan.
Pindaan itu, kata beliau, akan
dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.
Sementara itu bercakap dalam
sidang akhbar kemudiannya, Perdana Menteri mengakui, beliau pernah menentang
untuk menaikkan taraf ITM kepada universiti.
Katanya, ketika itu institusi
itu di bawah pentadbiran pengarahnya, Arshad Ayob manakala Pengerusi Perhimpunan
Siswazah, Datuk Ibrahim Ali pula merupakan ketua pelajar.
Sambil berjenaka, Dr. Mahathir
berkata, ini kerana pada masa itu beliau melihat Ibrahim sebagai tidak layak
menjadi penuntut universiti.
''Saya mengaku saya pernah
menentang cadangan menaikkan taraf ITM sebagai universiti semasa Tan Sri Arshad
Ayob dan Ibrahim Ali ketua pelajar dan dia buat kacau.
"Tetapi ITM kini bertambah
besar dan ramai penuntutnya yang capai kejayaan dan mereka menyumbangkan kepada
pembangunan negara," tegasnya.
Perdana Menteri turut mengakui
penukaran nama itu juga agak lewat kerana ITM kini telah pesat berkembang dan
penuntut-penuntutnya sudah mencapai kejayaan cemerlang dalam membangunkan
negara ini.
Ditanya mengenai yuran UTM itu
pula, Dr. Mahathir berkata, Menteri Pendidikan akan membuat kajian teliti
kelak.
Bagaimanapun katanya, dengan
kenaikan taraf itu ITM tetap tidak akan mengabaikan peranannya sebelum ini
iaitu memberi peluang kepada pelajar-pelajar bumiputera yang kurang mampu untuk
melanjutkan pendidikan di peringkat yang lebih tinggi.
Sebab itu katanya, pada awal
penubuhan institut itu ia memberi penekanan kepada pendidikan peringkat diploma
kerana ia merupakan peringkat pertengahan yang menyediakan pelbagai latihan
teknikal dan profesional kepada golongan tersebut.
Oleh itu tegas Perdana Menteri,
beliau mahukan pengajian diploma itu diteruskan oleh UTM pada masa-masa depan.
''Kita tidak mahu dengan
dinaikkan taraf ini mereka (pelajar-pelajar miskin) tidak berpeluang untuk
melanjutkan pelajaran. Fungsi ITM untuk bantu pelajar-pelajar miskin akan
kekal. Sebab itu ditekankan supaya program diploma diteruskan,'' jelasnya.
Sementara itu, Najib turut
memberi jaminan, walaupun ITM kini sudah menjadi universiti, dasarnya untuk
menawarkan pendidikan peringkat tinggi kepada golongan Melayu dan bumiputera
tidak akan berubah.
Malah katanya, ia juga masih
memberi penekanan kepada kursus pada peringkat diploma kerana UTM akan
menawarkan 70 peratus kursus peringkat itu manakala baki 30 peratus untuk
kursus peringkat sarjana muda dan sarjana.
Beliau berkata, perkara-perkara
lain termasuk yang melibatkan gaji kakitangan dan sebagainya akan dibincangkan
kemudian.
Oleh: KAMARUZAMAN MOHAMAD dan
AZNAN BAKAR
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4S9fG5Ns6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan