Sabtu, 17 Disember 2016

Kemas mansuhkan sistem pendidikan Nuri

ARKIB : 09/03/2000
KUANTAN 8 Mac - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah memansuhkan sistem pendidikan Nuri di semua tabikanya di seluruh negara buat sementara waktu kerana gagal membantu meningkatkan keupayaan kanak-kanak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Kamalul Ariffin Abdul Rahim berkata, sistem yang dimansuhkan pada September tahun lepas itu juga gagal membantu kanak-kanak memperoleh kemahiran pembelajaran terutamanya membaca.

Beliau berkata, sistem itu juga menyebabkan kanak-kanak terbabit ketinggalan dari segi kemahiran apabila memasuki alam persekolahan sebenar.

''Kita mendapati ia kurang berjaya membantu mempertingkatkan keupayaan pembelajaran kanak-kanak, sebab itu kita menghentikannya buat sementara waktu,'' katanya di sini.

Sebelum itu beliau mengetuai kakitangan Kemas seluruh negeri mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob semalam.

Sistem Nuri mula diperkenalkan oleh Kemas di tabikanya tahun lepas dan merupakan satu sistem pembelajaran bagi meningkatkan keupayaan kanak-kanak.

Bagaimanapun, sistem itu dikatakan kurang berjaya dan terdapat aduan daripada ibu bapa bahawa anak-anak mereka yang menggunakan sistem itu tidak mahir membaca.

Sehubungan itu kata Kamalul, Kemas akan mengadakan kajian semula terhadap sistem berkenaan bagi memperbaiki mana-mana kekurangan yang ada.

''Kaedah Nuri banyak menekankan aspek mengingat dan berfikir yang didapati amat sukar untuk dikuasai oleh kanak-kanak,'' katanya.

Oleh: YUSWANDI MAJID

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_08.htm#ixzz4T6Be386O © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan