ARKIB : 09/05/1999
Istana yang dibina pada 1821
oleh Sir Stamford Raffles merupakan benteng terakhir kesultanan Melayu di
Singapura yang akan runtuh serta melenyapkan kekuasaan dan ketuanan Melayu di
republik itu yang sebelum ini dikenali sebagai Temasik.
Kawasan seluas kira-kira 23
hektar yang terletak di Sultan Gate, Kampung Glam yang dikhaskan untuk Sultan
Hussain Shah merupakan sultan terakhir Singapura sebagai tempat penginapannya
oleh Inggeris.
Perjanjian pemberian tapak
kawasan itu telah dibuat pada 1824 di mana Singapura diserahkan kepada British
kecuali kawasan Kampung Glam diserahkan kepada Sultan Hussain dan ia telah
terkandung dalan Ordinan Sultan Hussain.
Kemangkatan Sultan Hussain di
Melaka pada 1835 telah menyebabkan istana itu ditadbir oleh Tengku Mahmud dan
setelah Tengku Mahmud diracun, Tengku Ali yang berumur 12 tahun dilantik
sebagai pengganti Sultan Hussain dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Shah atas
persetujuan Kompeni Inggeris.
Sultan Ali dengan rasminya
telah menyerahkan kuasa pentadbiran Negeri Johor kepada Temenggung Daing
Ibrahim pada 1855 dengan beberapa syarat dalam perjanjian 1855 dengan
disaksikan oleh Gabenor Blundell dan perjanjian itu telah menyebabkan
perpecahan kerajaan Johor-Riau.
Pada 1877, Sultan Ali mangkat
di Umbai, Melaka dan Tengku Alam sebagai anak lelaki sulung mengambil alih
tugas sebagai wakil dan ketua pentadbir istana selama 14 tahun sehingga 1891.
Bertitik-tolak pada tahun itu,
telah mewujudkan sengketa dalam keluarga di mana tiga isteri Sultan Ali, Tengku
Ngah yang mempunyai dua orang anak perempuan, Daing Siti (mempunyai seorang
anak lelaki) dan Che' Sembuh Mokmin (tiga anak lelaki dan empat perempuan)
berebut harta tinggalan Sultan Hussain.
Perebutan kuasa itu telah
menyebabkan Istana Kampung Glam dibawa ke Mahkamah Straits Settlement pada
1897, walapun surat kuasa telah diberikan kepada waris Sultan Hussain,
pertelingkahan keluarga terus berlaku hingga menyebabkan Mahkamah Tinggi dan
Mahkamah Rayuan membuat satu keputusan.
Berdasarkan perjanjian 1819 dan
1824 di mana pihak Inggeris berjanji untuk melindungi Sultan Hussain, Hakim
Leach dan Chief Justice Collyer menetapkan tanah istana itu sebagai 'Crown
Land' pada 23 Disember 1897.
Satu rang undang-undang
dikenali sebagai Rang Undang-Undang Sultan Hussain 1905 telah digubal bagi
menjaga kepentingan waris Sultan Hussain.
Tanah tersebut yang ditadbir
oleh pejabat tanah sehingga sekarang dan bayaran sebanyak S$750 setiap tahun
kepada keluarga sultan ketika itu (Tengku Mohd. Hitam Besar, Tengku Andak,
Tengku Ali, Tengku Abdul Jalil dan Tengku Jaafar) perlu diberikan.
Bagaimanapun, sekiranya
terdapat lebihan hasil dari estet Kampung Glam itu, kerajaan perlu membayar
sembilan per sepuluh hasil keuntungan itu kepada keluarga.
Keadaan tersebut berterusan dan
pada awal tahun 90-an, Tengku Kadir Tengku Mohamed kemudian dilantik oleh pihak
istana untuk mentadbir istana itu sehingga Perang Dunia Kedua dengan kemasukan
tentera Jepun pada 1941-1945.
Istana tersebut kemudian
ditadbir oleh Tengku Hussain, Tengku Muda Mohd. dan akhirnya Tengku Aziz Tengku
Hussain sebelum meninggal dunia pada 1996.
Istana yang kini terlalu usang,
bagaimanapun didiami oleh kira-kira 300 orang yang terdiri dari kira-kira 20
keluarga waris Sultah Hussain dan baki kira-kira 5 keluarga dari kakitangan
istana.
Kini, pemerintah bercadang
untuk mengambil istana tersebut untuk dijadikan sebagai Pusat Warisan Melayu
dan kesemua waris dan mereka yang menghuni istana itu perlu mengosongkan premis
tersebut.
Bagaimanapun waris-waris Sultan
Hussain tidak bersetuju dengan cadangan Lembaga Perumahan dan Pembangunan
republik itu untuk membangunkan kawasan Istana Kampung Glam sebagai Pusat
Warisan Melayu Singapura.
Salah seorang waris Sultan
Hussain Shah, Tengku Mohamed Tengku Jamil berkata, beberapa perkara perlu
diselesaikan terlebih dahulu sebelum projek itu boleh diteruskan.
Katanya, satu surat yang
ditandatangani oleh waris Sultan Hussain Shah juga telah diserahkan ke Perdana
Menteri, Goh Chock Tong tidak lama lagi bagi menyatakan rasa tidak puas hati
berhubung dengan projek itu.
Projek pemulihan Istana Kampung
Glam oleh kerajaan Singapura itu dijangka dapat dimulakan pada tahun hadapan
dan dijangka siap pada tahun 2002.
Istana akan ditukarkan kepada
Pusat Warisan Melayu dimajukan bukan hanya sebagai tempat tumpuan acara-acara
kebudayaan dan penampilan budaya Melayu tetapi juga sebagai pusat kegiatan
komersial.
Kementerian Undang-Undang
Singapura baru-baru ini menyatakan, terdapat dua kegiatan yang akan dijalankan
iaitu kegiatan budaya dan komersial sebagai pendapatan untuk pusat itu.
Bagaimanapun, tumpuan utama
ialah mempamerkan warisan, sejarah dan budaya orang Melayu di Singapura dan
hubungannya dengan saudara-mara mereka di Asia Tenggara dan bahagian lain dunia
sebelah sini.
Tengku Mohamed berkata,
pihaknya beberapa cadangan projek itu cuba menidakkan waris Sultan Hussain dan
dengan adanya projek itu akan menamatkan serta melenyapkan warisan sejarah
kesultanan Melayu di Singapura.
Katanya, pihaknya bersedia
menerima rancangan kerajaan dengan syarat mereka dibenarkan terus menetap di
kawasan tersebut dan hak kawasan itu masih kekal seperti yang terdapat dalam
'Sultan Hussain Ordinance 1905'.
Beliau memberitahu, dalam
ordinan itu menyebut tanah seluas 23 hektar dilindungi daripada hilang atau
dijual oleh mereka yang tamak dan tidak bertanggungjawab.
Katanya, setelah pembangunan
termasuk membaik pulih bangunan itu, selesai dilakukan, pihaknya mahukan
keluarga mereka dibiarkan mendiami kawasan itu dan pada masa yang sama
membenarkan para pelancong melawatnya.
Keadaan itu adalah sama seperti
yang berlaku di sebuah kawasan istana di Indonesia iaitu di Kraton, katanya,
konsep itu boleh dijadikan contoh.
Pihaknya juga mahukan supaya
nama Istana Kampung Glam itu dikekalkan dan bukan sebagai Pusat Warisan Melayu,
kerana ia amat jauh berbeza, katanya.
Menteri Undang-Undang
Singapura, Prof. S Jayakumar dalam sidang Parlimen baru-baru ini menyatakan,
pemerintahan British ketika itu menggubal Ordinan Sultan Hussain bertujuan
menjaga keperluan kewangan keluarga Sultan Hussain yang disifatkan oleh Gabenor
British sebagai 'golongan melarat'.
Ordinan itu memperuntukkan
bayaran tahunan kepada keluarga Sultan Hussain yang ditetapkan berdasar hasil
pendapatan estet pusaka Kampung Glam.
Katanya, bayaran itu tidak
bertujuan diberikan untuk selama-lamanya tetapi bertujuan untuk keluarga Sultan
Hussain semasa ordinan itu digubal.
Bagaimanapun, atas sebab-sebab
sejarah, bayaran tahunan ini diteruskan oleh pemerintah selanjutnya untuk
selama lebih 100 tahun, ini telah menyebabkan keadaan yang tidak memuaskan.
Kata Jayakumar, keadaan itu
amat tidak memuaskan atas beberapa sebab, pertama, bilangan waris bertambah,
jumlah bayaran menjadi semakin kecil ekoran sumber pendapatan semakin susut.
Kedua, bayaran akan menjadi
semakin kecil kerana bilangan waris bertambah banyak.
Memandangkan faktor-faktor itu
dan pengumuman mengenai pemulihan projek bagi Istana Kampung Glam untuk
dijadikan Pusat Warisan Melayu, pemerintah telah memutuskan bahawa tepat
masanya untuk menyemak semula skim bayaran di bawah ordinan itu.
Di bawah satu skim baru yang
dibuat, pemerintah mengumumkan satu skim baru bayaran kepada waris Sultan
Hussain yang berjumlah 79 orang.
Sebanyak S$350,000 akan dibayar
kepada 79 orang waris berkenaan setiap tahun bagi tempoh 30 tahun mulai tahun
ini. Ini merupakan tambahan sebanyak 10 kali ganda daripada elaun yang
diberikan sekarang iaitu kira-kira S$29,200 setahun.
Oleh: ISHAK SALLEH
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4RjpLrSKL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan