Khamis, 15 Disember 2016

Cessna terhempas 3 maut -- Pesawat rempuh kabel elektrik sebelum menjunam ke Sungai Tembeling

ARKIB : 08/02/2000
JERANTUT 7 Feb. - Sebuah pesawat jenis Cessna milik Kelab Penerbangan Selangor terhempas di Kampung Merting, kira-kira 60 kilometer dari sini petang ini, mengorbankan seorang jurulatih penerbangan dan dua penumpangnya.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6.05 petang ketika pesawat berkenaan dalam perjalanan pulang ke kelab penerbangan itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, Kuala Lumpur dari Sungai Tiang di Kuala Tahan.

Ketika dalam perjalanan pulang pesawat terbabit yang terbang rendah dipercayai merempuh kabel penyukat banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang melintangi Sungai Tembeling, berhampiran kampung itu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritendan Ibrahim Mohd. Kassim dalam sidang akhbar malam ini berkata, akibat rempuhan itu pesawat tersebut menjunam ke sungai berkenaan.

Mereka yang terbunuh ialah juruterbang pesawat, seorang rakyat India, Aswin R. Seshadri, 22, dan penumpangnya seorang warganegara Switzerland, Charles Estermann, 37. Turut terbunuh dalam pesawat itu ialah seorang wanita keturunan Cina yang belum dikenal pasti identitinya.

Menurut Ibrahim, kejadian itu dikesan oleh orang kampung yang sedang menaiki bot di sungai itu dan kemudian membantu mengeluarkan kesemua mangsa dari bangkai pesawat itu.

Katanya, kesemua mayat dibawa ke Balai Polis Kuala Tembeling sebelum dihantar ke Hospital Jerantut untuk dibedah siasat.

Pesawat terbabit dikatakan berlepas ke Sungai Tiang dari Sungai Besi kira-kira pukul 2.21 petang ini.

Sementara itu saksi kejadian itu memberitahu, mereka melihat pesawat tersebut menyusuri Sungai Tembeling dari arah Kuala Tahan dan penumpang kapal terbang itu dikatakan sempat melambai ke sekumpulan Orang Asli sebelum nahas itu berlaku.

Menurut mereka, pesawat tersebut merempuh kabel yang berada kira-kira 30 meter dari paras sungai itu.

Saksi itu memberitahu, pesawat berkenaan meletup selepas terjunam ke dalam sungai itu.

Ibrahim, dalam pada itu meminta orang ramai yang mengenali wanita di dalam pesawat itu supaya menghubunginya di balai polis daerah ini melalui telefon 09-2666546.

Kejadian nahas udara membabit pesawat ringan ini adalah yang kedua dalam tempoh dua hari. Kelmarin sebuah pesawat, Bulldog B-100 milik Kelab Penerbangan Perak terhempas di laut berhampiran Teluk Dalam, Pulau Pangkor. Bagaimanapun kedua-dua juruterbangnya terselamat.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4SuU6idJB © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan