ARKIB : 21/01/2000
DR. Koh Tsu Koon (tengah) dan
beberapa pemimpin kanan kerajaan melawat Stadium Batu Kawan di Seberang Perai,
semalam. Stadium itu akan digunakan pada Sukma 2000.
STADIUM Batu Kawan di Seberang
Perai Selatan akan siap sepenuhnya kira-kira dua setengah bulan lebih awal dari
tarikh bermulanya temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2000 iaitu pada 25 Mei depan.
Stadium tersebut yang bernilai
RM104 juta itu dan mampu menampung 40,000 orang penonton, adalah stadium
terbaru dan termoden bagi kawasan utara Semenanjung.
Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh
Tsu Koon berkata, walaupun termoden dengan peralatan canggih untuk kemudahan
pelbagai acara sukan, kos pembinaannya boleh dianggap murah.
''Saya berpuas hati dengan
kemajuan pembinaan stadium itu yang berkonsepkan stadium terbuka kerana
pembinaan strukturnya telah 100 peratus siap.
''Stadium ini sebenarnya telah
90 peratus siap dari segi keseluruhan seni bina dan 85 peratus siap dari segi
kerja landskap,'' katanya kepada pemberita di Nibong Tebal semalam.
Beliau selaku Pengerusi
Jawatankuasa Induk Sukma 2000, bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Hilmi
Yahaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perasmian dan Penutup acara itu, telah
menghabiskan lebih dua jam untuk mendengar taklimat kemajuan dan tinjauan pembinaan
stadium itu.
Turut hadir ialah Pengerusi
Jawatankuasa Belia, Sukan, Penerangan dan Perpaduan Negeri, Jahara Hamid;
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri,
Datuk Koay Kar Huah serta para pegawai kanan kerajaan termasuk Perbadanan
Pembangunan Pulau Pinang.
Dr. Koh berkata, keseluruhan
Stadium Batu Kawan dijangka siap pada bulan Mac ini dan dalam masa lebih dua
bulan ini sebelum bermulanya Sukma 2000, pelbagai kekurangan dalam kompleks
stadium ini boleh dibaiki.
''Dengan itu saya ingin ucapkan
terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam projek ini, kerana
bertungkus lumus untuk memastikan stadium ini siap mengikut jadual dan boleh
digunakan tepat pada masanya.
''Oleh itu juga, kerajaan
negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Koay
untuk membincang dan membuat persiapan rapi mengenai perabot dan peralatan yang
diperlukan dalam stadium ini.
''Pihak stadium juga akan
menyediakan peralatan canggih untuk memudahkan pihak media cetak dan elektronik
membuat liputan.
''Kerajaan negeri sememangnya
mengambil berat mengenai kemajuan sukan di negeri ini dan sebagai tuan rumah
Sukma 2000, kerajaan akan pastikan ia dilangsungkan dengan cemerlang,''
katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata,
mulai sekarang, setiap dua minggu, dua Exco kerajaan negeri yang terbabit,
Jahara dan Koay akan membuat lawatan dan selepas April nanti, mereka akan
membuat lawatan setiap minggu.
Mereka tambahnya, akan membuat
laporan kemajuan untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri.
Dr. Koh berkata, mulai bulan
depan, satu pasukan kerajaan negeri yang terdiri daripada beberapa Exco
kerajaan negeri termasuk Dr. Hilmi dan Jahara akan membuat lawatan ke seluruh
negeri untuk membuat promosi mengenai Sukma 2000.
''Mereka akan mengunjungi
Menteri-menteri Besar dan pihak-pihak yang terbabit dengan sukan, untuk membuat
jemputan rasmi ke negeri ini dan menyertai temasya sukan itu nanti,'' katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri
telah memperuntukkan lebih RM12 juta untuk menyediakan pelbagai aspek
persediaan Sukma 2000 termasuk promosi, persediaan para atlet negeri dan
subsidi kepada persatuan-persatuan sukan.
Di samping temasya Sukma nanti,
tambah beliau, kerajaan negeri juga akan mengadakan Pesta Pulau Pinang Khas.
Oleh itu, kerajaan negeri,
meminta rakyat negeri ini memberikan sokongan dan kerjasama untuk turut bersama
menyaksikan acara sukan terulang negara dan pertama di alaf baru di negeri ini,
pada akhir Mei depan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SszGDzAY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan