ARKIB : 11/06/2000
CHONG Lih Ying, bayi yang
berjaya menjalani pembedahan pemindahan tangan (seluruh lengan) yang pertama di
dunia, dikelilingi jururawat di Hospital Selayang, dekat Kuala Lumpur semalam.
Chong Lih Ying, 1 bulan 21
hari, yang dilahirkan di Hospital Kuantan 20 April lalu tanpa pergelangan
tangan menerima organ itu daripada adik kembarnya yang meninggal dunia akibat
komplikasi otak.
Pemindahan tangan dari paras
lengan itu berjaya dilakukan oleh sekumpulan pakar bedah diketuai oleh Ketua
Pusat Pembedahan Hospital Selayang, Dr. V. Pathmanathan.
Petanda yang memberangsangkan
pada lengan kiri bayi berkenaan selepas 22 hari dibedah ialah warna kulitnya
sudah kelihatan kemerah-merahan dan kukunya mulai tumbuh.
Tanda-tanda itu menunjukkan
penyaluran darah telah berjalan seperti biasa di organ berkenaan.
Dalam pembedahan itu Dr.
Pathmanathan dibantu oleh kumpulan pakar bius dan pakar pediatrik yang
masing-masing diketuai oleh Dr. Arbayah Rais dan Datuk Dr. Lim Nyok Ling,
selain 56 kakitangan sokongan terdiri daripada pembantu perubatan dan
jururawat.
Keadaan bayi itu yang masih
ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin sihat tanpa sebarang tiub yang
dimasukkan ke badannya.
Dia juga boleh menyusu seperti
bayi biasa tanpa menggunakan sebarang alat bantuan.
Lih Ying dijangka berada di
hospital itu sebulan lagi.
Dr. Pathmanathan ketika diminta
mengulas mengenai kejayaan tersebut berkata, pemindahan itu dilakukan selepas
mendapati penerima dan penderma mempunyai persamaan dari segi genetik dan sel.
''Beberapa ujian terpaksa
dilakukan untuk melihat persamaan genetik dan sel. Hasil ujian yang dibuat
mendapati ia sesuai,'' ujarnya kepada para pemberita yang diberi peluang
melihat keadaan bayi itu hari ini. Turut serta melawat bayi itu ialah Menteri
Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng.
Kata Dr. Pathmanathan,
persamaan ini amat penting agar tidak wujud tindak balas daripada penerima yang
tidak dapat menerima lengan kembarnya.
''Jika ini terjadi, bayi ini
mungkin terpaksa menggunakan anti rejection drug seumur hidup,'' ujarnya.
Menurut beliau, para doktor dan
jururawat akan memantau perkembangan dan pemulihan bayi berkenaan sehingga
pulih dan lengannya akan dapat berfungsi seperti biasa.
Sementara itu Chua yang diberi
taklimat oleh pakar pembedahan itu memberitahu, hasil penuh pembedahan itu
hanya dapat diketahui selepas enam bulan.
Beliau berkata, masih terlalu
awal untuk menilai keupayaan sepenuhnya tangan Lih Ying tetapi para pakar yakin
ia akan pulih secepat mungkin dan tangan kirinya boleh digunakan.
Jelasnya, jari dan siku bayi
berkenaan tidak menunjukkan sebarang tindakan kerana urat saraf memerlukan
pertumbuhan selama enam bulan.
Menurut Chua, pembedahan ke
atas bayi itu bukan sahaja merupakan pembedahan pemindahan tangan pertama di
Malaysia malah juga yang pertama di dunia melibatkan seorang bayi.
Setakat ini, lima kes
pemindahan tangan di dunia melibatkan orang dewasa yang telah dilakukan di
Perancis (September 1998 dan Januari 2000), Amerika Syarikat (Januari 1999),
China (September 1999) dan Austria (Mac 2000).
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4TqRiMw1f
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan