Sabtu, 17 Disember 2016

PBB tubuh 'Global Gateway'

ARKIB : 09/03/2000
KUALA LUMPUR 8 Mac - Bank Dunia akan menubuhkan pusat laluan maklumat pembangunan dunia di Internet dikenali sebagai 'Global Gateway' yang dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan.

Pengurus projek infoDev, Jabatan Tenaga, Galian dan Telekomunikasi Bank Dunia, Carlos Primo Braga berkata, projek itu yang akan dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak menelan belanja antara RM19 juta (AS$5 juta) dan RM380 juta (AS$10 juta).

''Maklumat-maklumat mengenai pembangunan sememangnya banyak terdapat di dalam Internet tetapi masalahnya kesukaran mendapatkannya kerana terletak di merata-rata tempat,'' katanya pada persidangan berita pada hari kedua, Persidangan Pengetahuan Global Kedua (GK II) di sini hari ini.

Katanya, Global Gateway bukan sahaja akan menjadi gerbang (portal) kepada maklumat pembangunan tetapi juga menyediakan bahagian perbincangan, urusan transaksi perniagaan dan pangkalan data bagi projek-projek berkaitan dengan pembangunan di seluruh dunia.

''Kami dalam proses menyediakan pelan pembangunan projek tersebut yang dijangka siap menjelang April ini sebelum memulakan projek percubaan di beberapa buah negara sedang membangun,'' katanya.

Beliau berkata, pelbagai pihak akan bekerjasama dengan Bank Dunia untuk menjayakan projek itu termasuk Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak institusi pendidikan, kerajaan dan swasta.

Antara syarikat teknologi swasta yang terlibat dalam penyediaan pelan pembangunan projek pula, tambahnya, ialah Microsoft, IBM dan syarikat-syarikat perundingan teknologi maklumat (IT) yang membantu dalam menyediakan infrastruktur berstandard terbuka.

Katanya, selain menubuhkan gerbang di peringkat dunia, projek itu juga akan mempunyai sambungan kepada gerbang-gerbang maklumat di peringkat negara (Country Gateway).

Beliau menjelaskan, gerbang di peringkat negara tersebut akan dikendali dan diuruskan oleh negara-negara yang terlibat dan Bank Dunia bersedia membantu dari segi bantuan kewangan.

''Kami sedang mengadakan projek percubaan dengan beberapa negara sedang membangun seperti Romania, Ghana, Vietnam dan Kazakhstan yang akan mempunyai gerbang negara yang dihubungkan kepada gerbang dunia,'' katanya.

Katanya, apabila projek gerbang dunia diperkenalkan awal tahun depan, ia akan disambungkan kepada gerbang-gerbang negara tersebut yang menjadi projek perintis sebelum diperluaskan kepada negara-negara lain di seluruh dunia.

''Selepas itu kami menjangka akan berupaya menubuhkan antara 30 dan 50 gerbang negara yang akan dihubungkan kepada gerbang dunia setiap tahun,'' katanya.

Braga berkata, cabaran yang akan dihadapi dalam menjalankan projek itu ialah mendapatkan input untuk diletakkan dalam gerbang tersebut selain daripada penyediaan platform teknologi yang boleh dihubungkan kepada pelbagai gerbang negara-negara di seluruh dunia.

''Maklumat-maklumat itu mungkin akan dikumpulkan oleh agen-agen PBB, institusi pendidikan, agensi-agensi kerajaan dan swasta di seluruh dunia bagi menjayakannya,'' tambah beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4T67li3kL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan