'Teratak Za'ba' terbengkalai 4
tahun
DANIAL Ismail menunjukkan
rangka 'Teratak Za'ba' di Batu Kikir, Jempol, semalam. Pembinaan teratak itu
tergendala sejak empat tahun lalu.
JEMPOL 5 Mac - Waris Pendeta
Zainal Abidin Ahmad (Za'ba), Danial Ismail, 59, kecewa dengan kerajaan negeri
kerana masih menangguhkan kerja-kerja pembinaan 'Teratak Za'ba' yang
terbengkalai sejak empat tahun lalu.
Menurut beliau, 'Teratak Za'ba'
yang bernilai kira-kira RM600,000 itu mula dibina pada 16 September 1995 dan
dijadualkan siap sepenuhnya pada 20 Mei tahun lalu.
Bagaimanapun setelah empat
tahun berlalu, pembinaan teratak tersebut di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir,
masih belum siap.
Kata Danial, yang kelihatan
hanya kerangka kayu sahaja.
Danial memberitahu, kerja-kerja
pembinaan teratak itu terhenti beberapa bulan selepas upacara menegak tiang
tengah oleh Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, pada 1995.
''Keluarga dan waris Za'ba
tidak marah dengan kerajaan negeri cuma rasa terkilan sedikit kerana pembinaan
'Teratak Za'ba' yang diheboh-hebohkan selama ini tidak dapat direalisasikan,''
katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Danial berkata, lebih
mengecewakan lagi apabila sehingga kini tiada tanda-tanda yang menunjukkan
kerja-kerja pembinaan teratak itu akan diteruskan.
Tambah beliau, seluruh ahli
keluarga Za'ba terusik hati setiap kali melihat keadaan tapak kawasan pembinaan
'Teratak Za'ba' yang terbiar semak dan sepi.
''Bahkan kadang-kadang kawasan
persekitaran tapak Teratak Za'ba kerap dilihat menjadi tempat berkeliaran
lembu-lembu ternakan penduduk kampung,'' katanya.
Malah apa yang membimbangkan,
kebanyakan kayu cengal yang ditinggalkan berhampiran kawasan di situ semakin
berkurangan dipercayai diambil orang.
''Kita juga khuatir sebahagian
kerangka kayu yang telah dibina akan dimakan anai-anai sekiranya tidak ada
usaha diambil untuk meneruskan semula projek ini,'' tambah Danial.
Menurut beliau, keluarga dan
waris Za'ba tidak pernah diberitahu atau dimaklumkan oleh wakil kerajaan negeri
tentang kelewatan pembinaan 'Teratak Za'ba'.
''Kita memang tidak pernah
diberitahu punca kelewatan pembinaan teratak ini.
''Cuma dengar khabar,
kontraktor yang dilantik tidak dapat mencari kayu cengal seperti yang
dipersetujui oleh kerajaan negeri,'' katanya.
Beliau masih menaruh harapan
agar kerajaan negeri dapat meneruskan projek tersebut.
''Teruskanlah semula
kerja-kerja yang tergendala kerana pembinaan 'Teratak Za'ba' ini mempunyai
makna tersendiri buat seluruh keluarga Allahyarham dan penduduk kampung ini,''
katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4T3EHhv2B
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan